BAHAGIAN A
KONSEP PERKEMBANGAN DAN PERTUMBUHAN
Konsep perkembangan dan pertumbuhan terhadap manusia merupakan satu proses terancang dan melibatkan perubahan fizikal dan mental seseorang individu. Menurut Santrock (2004), proses tersebut akan dilalui oleh setiap manusia melibatkan perubahan dalam pelbagai aspek bermula daripada alam kanak-kanak sehingga mencapai usia tua. Berdasarkan kenyataan, proses tersebut wajib dilalui oleh setiap manusia secara berperingkat menyebabkan berlaku perubahan dari rupa bentuk, perilaku dan cara berfikir. Perubahan dari aspek fizikal seperti berat badan dikaitkan dengan konsep pertumbuhan kerana perubahan yang berlaku dilihat dengan jelas dan bersifat kuantitatif. Konsep perkembangan lebih bersifat kualitatif serta tidak mampu diukur tahap kejelasan perubahan yang berlaku kerana perubahan berlaku dari aspek biologikal, emosi dan kematangan.
PRINSIP PERKEMBANGAN DAN PERTUMBUHAN
Perubahan yang berlaku kepada kanak-kanak adalah mengikut prinsip-prinsip asas perkembangan dan pertumbuhan individu. Menurut Mohd. Sharani Ahmad (2004), terdapat lapan prinsip asas yang menentukan proses perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Antaranya ialah perkembangan merupakan satu proses yang berterusan bermula dari proses persenyawaan sehingga ke akhir usia seseorang individu. Ini bermaksud, setiap individu akan sentiasa mengalami perubahan terhadap diri mereka sepanjang menjalani kehidupan dan setiap peringkat perkembangan saling mempengaruhi dan melengkapi. Seterusnya, corak perkembangan antara individu adalah berbeza antara satu sama lain. Menurut Wong Kiet Wah et. al. (2016), faktor genetik dan persekitaran memberi pengaruh besar terhadap perkembangan kanak-kanak. Berdasarkan pernyataan tersebut, kanak-kanak tidak semestinya mempunyai tahap perkembangan yang sama walaupun umur mereka sebaya.
BAHAGIAN B
PENGENALAN
CHOMSKY
Noam Chomsky dilahirkan pada 7 Disember 1928 di Philadelphia. Menurut Ernest Lepore (2004), Chomsky merupakan seorang professor dalam bidang Bahasa dan Linguistik dan kemudian menceburi bidang politik dalam kariernya. Menurut Jas Laile dan Suzana Jaafar (2016), Teori Nativisma yang dikemukan oleh Chomsky mengatakan setiap kanak-kanak mempunyai sistem Language Acquisition Device (LAD) dan perkembangan bahasa berlaku secara berperingkat.
PIAGET
Jean Piaget seorang ahli Biologi dan Fizik yang dilahirkan pada 9 Ogos 1896 di Switzerland, merupakan tokoh Psikologi yang mengkaji tentang perkembangan kognitif dan bahasa kanak-kanak dengan menggunakan pendekatan serta konsep biologi dalam kajiannya. Minat Piaget terhadap perubahan struktur dan pengetahuan yang berlaku terhadap kanak-kanak, mendorong beliau menjalankan kajian berkenaan perkembangan kognitif kanak-kanak. Menurut Wong Kiet Wah et. al. (2016), terdapat empat peringkat dalam perkembangan kognitif kanak-kanak iaitu peringkat sensori motor, praoperasi, operasi konkrit dan operasi formal.
VYGOTSKY
Lev Vygotsky merupakan ahli psikologi Rusia, dilahirkan pada tahun 1896. Penglibatan Vygotsky dengan kanak-kanak yang kurang upaya memberikan beliau idea untuk mengkaji dengan lebih lanjut berkenaan perkembangan manusia terutama aspek kognitif. Teori perkembangan Kognitif Vygotsky turut dikenali sebagai teori Sosiobudaya yang menekankan faktor persekitaran dalam membantu perkembangan kanak-kanak. Menurut Karim Shabani et. al. (2010), terdapat tiga aspek yang ditekankan dalam teori Vygotsky iaitu Internalization, Scaffolding dan Zon Perkembangan Proksimal (ZPP).
PERINGKAT PERKEMBANGAN TEORI
CHOMSKY
Menurut Jas Laile dan Suzana Jaafar (2016), LAD merupakan satu sistem yang bergantung kepada sel-sel dalam serebrum korteks yang membuatkan kanak-kanak mempunyai keinginan untuk mempelajari bahasa sejak dilahirkan. Teori Chomsky mengatakan bahawa setiap kanak-kanak telah diprogramkan untuk mempelajari bahasa dan kewujudan desakan semulajadi membuatkan kanak-kanak mampu membezakan bunyi dan maksud perkataan yang disampaikan. LAD membantu kanak-kanak untuk menguasai pelbagai bahasa mengikut persekitaran mereka dan serebrum korteks memainkan peranan penting dalam menganalisa pelbagai bahasa yang didengar serta membantu untuk berkomunikasi dengan tatabahasa yang betul. Perkembangan bahasa berlaku secara berperingkat mengikut susunan biologikal dan kronologi yang telah ditetapkan. Menurut Atan Long (1982), penguasaan bahasa bermula dengan memahami percakapan yang didengar, kemudian diikuti dengan kebolehan bertutur. Ini bermakna, kanak-kanak mempelajari bahasa dengan memerhati serta mendengar orang lain berkomunikasi sebelum mereka mula bertutur dan mampu mempelajari perkataan yang kompleks.
PIAGET
Piaget berpendapat bahawa kanak-kanak terlibat secara aktif dalam membentuk kefahaman terhadap persekitaran mereka menerusi empat tahap perkembangan kognitif. Kanak–kanak ibarat saintis yang mempunyai sifat inkuiri meneroka dunia mereka sendiri untuk mendapatkan pengetahuan. Menurut Khadijah Rohani et. al (2003), empat tahap dikemukakan oleh Piaget adalah berkaitan dengan perbezaan umur dan cara kanak-kanak berfikir. Tahap pertama ialah sensori motor dimana kanak-kanak (0-2 tahun), menggunakan pelbagai deria yang dimiliki untuk mengenal dan memahami persekitaran mereka. Menurut Bobby Ojese (2008), sensori motor merupakan peringkat perkembangan mental dan kognitif bermula dari lahir sehingga mampu untuk bertutur. Pada peringkat tersebut, kanak-kanak lebih banyak melakukan aktiviti melibatkan pergerakan motor fizikal berbanding aktiviti kognitif. Contohnya, apabila kanak-kanak merasa makanan yang masam (deria rasa), mereka akan mula mengerutkan muka tanda tidak suka dengan rasa tersebut. Hal ini menyebabkan kanak-kanak menyimpan maklumat mengenai pengalaman tersebut dalam ingatan mereka. Tahap kedua ialah pra-operasi dimana kanak-kanak (2-7 tahun), berfikir secara simbolik dan mempunyai sifat egosentrik dalam interaksi mereka. Berfikir secara simbolik bermaksud kanak-kanak menggunakan perkataan, objek atau tingkah laku bagi menunjukkan pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara. Contohnya, seorang kanak-kanak menggunakan kotak tisu sebagai simbol untuk menggambarkan sebuah kereta yang bergerak atau berubah menjadi pelbagai objek mengikut imaginasi mereka. Menurut Ma’rof Redzuan dan Haslinda Abdullah (2004), teori Piaget menyatakan bahawa pada tahap ini kanak-kanak sukar menerima dan memahami pendapat orang lain dan mereka menekankan konsep “me, mine, I”. Kanak-kanak tidak mampu menilai sama ada pengetahuan yang dimilikinya logik atau tidak dan hanya menerima perkara yang ingin dipercayainya.
Menurut Khadijah Rohani et. al. (2003), peringkat ketiga ialah peringkat Operasi Konkrit yang menunjukkan bahawa kanak-kanak (7-11 tahun), mula memahami perkara-perkara logik dan konkrit. Kanak-kanak mula berfikir dengan mengaitkan konsep dan prinsip sesuatu perkara sebelum memberikan jawapan. Contohnya, apabila kanak-kanak melihat objek yang diperbuat daripada besi tenggelam manakala span timbul apabila diletakkan di dalam air membuatkan mereka berfikir tentang konsep berat objek. Namun, perkara yang dapat difikirkan oleh kanak-kanak adalah terhad kepada perkara-perkara maujud sahaja. Pada tahap Operasi formal pula, kanak-kanak berumur 12 tahun keatas mampu berfikir perkara-perkara abstrak yang melibatkan konsep hepotetikal. Kanak-kanak berkemampuan untuk memikirkan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menghubungkaitkan pelbagai elemen serta menerangkan dengan sistematik tentang sesuatu perkara. Contohnya, kanak-kanak dapat menerangkan proses pembentukan pelangi yang terbentuk hasil daripada pantulan dan pembiasan sinar matahari apabila bertemu dengan titisan hujan. Keadaan ini menunjukkan kanak-kanak mampu untuk berfikir secara abstrak dan kompleks tanpa memerlukan objek tersebut wujud di hadapan mereka.
VYGOTSKY
Menurut Mohd Sharani (2004), teori Vygotsky menekankan interaksi sosial dalam perkembangan kanak-kanak. Pengaruh sekeliling sangat besar terhadap perkembangan kanak-kanak. Konsep pertama ialah Internalization dimana kanak-kanak menyerap maklumat yang diperoleh ke dalam pemikiran mereka melalui proses interaksi sosial dengan orang dewasa. Maklumat yang diterima oleh minda kanak-kanak akan menjadi satu arahan kepada mereka apabila ingin melakukan sesuatu sehingga berlakunya proses bicara kendiri dan bicara hati. Bicara kendiri berlaku apabila kanak-kanak bercakap dengan diri sendiri untuk mengkoordinasikan fikiran terhadap sesuatu perkara manakala bicara hati merupakan monolog dalaman yang membantu kanak-kanak berfikir dengan mendalam. Proses tersebut dapat membantu kanak-kanak bertindak dengan betul dan terkawal. Contohya, apabila kanak-kanak ingin bermain lumpur, mereka akan menghadapi konflik dalaman diantara kehendak bermain dan nasihat yang diberikan oleh ibu mereka. Scaffolding ialah proses kanak-kanak mendapatkan sokongan daripada orang dewasa yang mahir untuk membantu perkembangan mereka. Contohnya, seorang bapa mengajar anaknya yang tiada asas berenang, untuk berenang dengan betul. Orang dewasa membantu kanak-kanak dengan memberi tunjuk ajar supaya mereka dapat melakukan sesuatu tugas dengan baik. ZPP pula merupakan had yang menentukan perkembangan kognitif kanak-kanak dan terbahagi kepada dua iaitu had bawah dan had atas. Had bawah merupakan tahap perkembangan yang dimiliki kanak-kanak dimana had tersebut merupakan tahap tertinggi dicapai oleh kanak-kanak apabila tiada sokongan diberikan dalam melakukan sesuatu yang memberi ruang untuk kanak-kanak berdikari. Manakala had atas merupakan potensi yang mampu dicapai oleh kanak-kanak apabila mereka mendapat bimbingan daripada orang dewasa yang mahir. Misalnya, kanak-kanak pada awalnya kerap jatuh apabila mengayuh basikal tanpa roda jika dibiarkan sendirian (had bawah), namun dengan bantuan orang dewasa mereka mempelajari cara menyeimbangkan basikal dengan baik (had atas).
ANALISIS TEORI
PERSAMAAN TEORI
Ketiga-tiga teori menekankan peranan orang yang mahir dalam memberikan bimbingan kepada kanak-kanak. Teori tersebut bersependapat bahawa dengan adanya tunjuk ajar dan bimbingan dapat membantu perkembangan kanak-kanak. Melalui proses tersebut, kanak-kanak mampu belajar mendapatkan maklumat semaksimum mungkin. Seterusnya, teori tersebut juga menunjukkan bahawa perkembangan kanak-kanak bermula sejak lahir. Pada peringkat bayi, perkembangan masih berlaku walaupun terhad manakala peringkat kanak-kanak merupakan peringkat optimum dimana kanak-kanak cepat berkembang dan mudah untuk menyebatikan ke dalam diri mereka.
PERBEZAAN TEORI
Perbezaan nyata dapat dilihat ialah teori tersebut diperkenalkan oleh tokoh yang berbeza dengan menekankan aspek berbeza. Teori Chomsky diperkenalkan oleh Noam Chomsky menekankan aspek bahasa, Teori Piaget oleh Jean Piaget menekankan aspek bahasa dan kognitif manakala Teori Vygotsky diperkenalkan oleh Lev Vygotsky menekankan aspek kognitif. Seterusnya, perbezaan juga dapat dilihat dari cara perkembangan kanak-kanak dibentuk. Teori Chomsky, kanak-kanak berkembang disebabkan oleh keinginan berbahasa (LAD) yang dimiliki oleh mereka sehingga mendesak mereka mempelajari bahasa. Teori Piaget mengatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman, penerokaan dan membina perkembangan kognitif secara sendiri. Teori Vygotsky pula mengatakan bahawa perkembangan kanak-kanak berlakunya apabila wujud interaksi sosial antara kanak-kanak dengan orang dewasa yang diibaratkan sebagai pengantar dalam pemindahan ilmu.
PANDANGAN
Ketiga-tiga teori tersebut boleh diaplikasikan oleh guru-guru dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan teratur. Teori-teori tersebut memberi gambaran jelas kepada guru untuk merancang aktiviti pembelajaran kerana konsep yang dibawa oleh teori tersebut meliputi pelbagai peringkat umur bermula daripada bayi sehinggga kanak-kanak remaja. Teori tersebut juga menekankan konsep pembelajaran secara bimbingan dengan menjadikan guru sebagai fasilitator untuk membantu kanak-kanak berkembang dengan cara masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan konsep pembelajaran abad ke-21 yang perlu diterapkan dalam proses PdP di mana, menurut Pengarah Pendidikan Putrajaya menerusi myMetro (24 Januari 2017), guru hanya menjadi fasilitator manakala murid akan mengambil bahagian secara aktif mencari pengalaman dan idea.
RUMUSAN
Teori-teori tersebut banyak memberikan manfaat kepada guru-guru dalam memahami murid-murid dengan baik dan menjadikan proses PdP lebih bermakna. Teori Chomsky pula dapat membantu guru untuk mengajar kanak-kanak mengenai bahasa dengan efektif. Kanak-kanak telah memiliki LAD yang membolehkan mereka menguasai bahasa namun bimbingan daripada guru diperlukan untuk memastikan mereka menggunakan bahasa dengan betul. Cara pemindahan maklumat kepada murid juga perlu bersesuaian iaitu daripada mudah kepada kompleks. Penggunaan teori Piaget oleh guru membantu melaksanakan PdP dengan seronok. Menurut Dorothy G.Singer dan Tracey A Revensen (1996), kajian oleh Piaget menunjukkan aktiviti bermain sambil belajar membuatkan murid meneroka perkara-perkara baru dan mendorong menggunakan pelbagai motor fizikal. Kesannya, proses PdP akan menjadi lebih interaktif sesuai dengan minat murid-murid.
Teori Vygotsky dapat membantu guru-guru untuk menilai kemampuan yang dimiliki oleh murid dalam pembelajaran. Apabila guru-guru dapat mengenalpasti had bawah dan had atas murid, program “guru-guru muda” dapat dilaksanakan dimana, murid-murid yang lebih mahir membantu rakan-rakan mereka yang lemah. Interaksi sosial antara murid-murid dan dibimbing oleh guru membantu meningkatkan perkembangan mereka.