Lapan peringkat telah dikenalpasti oleh beliau di dalam perkembangan manusia iaitu:  

(a)  Peringkat   kepercayaan lawan curiga (lahir – 18 bulan) Peringkat perkembangan  ini  adalah  sangat  penting kerana  ianya  mempengaruhi  perkembangan  bayi melalui pengalaman-pengalamannya.  Bayi mula belajar untuk mempercayai atau tidak mempercayai orang lain. Kepercayaan akan memudahkan individu menghadapi masalah dan kecurigaan akan melemahkan keupayan seseorang untuk mengatasi masalah. Oleh itu seorang guru mestilah memberikan penghargaan kepada murid agar mereka berasa dihargai dan dapat meningkatkan kepercayaan diri.

(b)  Peringkat Autonomi lawan perasan malu/ curiga (18 bulan – 3 tahun). Pada peringkat ini bayi akan membina keyakinan diri dan autonomi apabila beliau merasa bebas untuk melakukan sesuatu.  Jika terlalu banyak halangan atau bantuan yang diberikan kanak-kanak akan merasa curiga, terhina dan kurang keyakinan diri. Guru mestilah menggalakkan murid untuk mencuba sesuatu dan membenarkan mereka melakukan kesilapan agar mereka dapat mencuba sesuatu yang baru.

(c)  Peringkat Inisiatif lawan kesalahan (3-6 tahun) Kanak-kanak mula membentuk satu cara berdikari dan ingin meneroka serta mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.  Inisiatif merupakan trait yang akan membantu individu itu sepanjang hayatnya.  Melalui galakan, kanak-kanak akan menyedari potensi mereka sebaliknya jika tidak diberi inisiatif dan terdapat halangan akan mengakibatkan kanak-kanak sering rasa bersalah. Guru seharusnya merancang aktiviti pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kebolehan murid serta memberikan galakan kepada murid untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka.

(d) Peringkat Kerajinan lawan Kerendahan diri (6 – 12 tahun)

Pada peringkat ini kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan.  Kebolehan berbahasa   telah meningkat, mula mencapai operasi konkrit, memahami konsep ruang, kelajuan, masa dan sebab-musabab sesuatu kejadian.  Kanak-kanak lebih peka kepada ganjaran yang mengakibatkan mereka akan menjadi lebih tekun dan berminat dalam pelajaran. Sementara itu mereka akan merasa kecewa dan perasaan rendah diri akan terbentuk sekiranya keinginan mereka dihalangi. Sebagai guru, kita mestilah tidak merendahkan-redahkan kebolehan murid tetapi membantu mereka dengan memberikan pujian sekiranya mereka berjaya menguasai sesuatu perkara.

(e) Peringkat Identiti lawan Kekeliruan Identiti (12 – 18 tahun) Ini merupakan peringkat remaja di mana mereka cuba mewujudkan identiti dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka.  Mereka cuba mendapatkan  kestabilan diri  dalam  masyarakat  sekiranya  gagal  mereka  akan meragui peranan mereka dalam masyarakat. Guru perlu membimbing dan menunjukkan contoh yang baik dengan berkongsi pengalaman tentang kehidupan.

(f) Peringkat Kerapatan lawan Pengasingan (18 – 35 tahun) Individu akan melalui peringkat awal dewasa yang memerlukan perhubungan yang akrab dengan individu lain. Halangan akan menyebabkan pengasingan diri. Guru perlu membina hubungan yang baik antara guru dan murid dan tidak bersikap terlalu tegas dalam mengendalikan murid-murid.

(g) Peringkat Pewarisan lawan Pemusatan Kendiri (35 – 60 tahun). Pada peringkat  ini  individu  telah  boleh dipertanggungjawabkan,  boleh  diwariskan  untuk melakukan  kerja-kerja  yang  baik.  Bagi  mereka  yang gagal  menjalakan  tanggungjawab  akan  menjadi individu  yang  mementingkan  diri  sendiri  dan  akan merasa kecewa dengan hidupnya. Masyarakat sekeliling perlu membantu anggota masyarakat agar mereka tidak merasa terasing.

(h) Peringkat  Kesepaduan  lawan  Putus  Asa.  (60 tahun– akhir hayat) Individu  akan  menerima  hakikat  kehidupan  sebagai proses semulajadi dan sentiasa melakukan refleksi diri.  Jika individu itu berpuas hati dengan tentang kehidupan yang dilaluinya  akan  mencapai  rasa  kesepaduan. Oleh itu setuap individu perlu menjalani kehidupan mengikut perancangan agar tidak menyesal di kemudian hari.