1.0 PENGENALAN
Menurut Abdullah dan Ainon (1999), takrif komunikasi dalam konteks sekolah ialah proses guru berkongsi pengalaman dengan murid-muridnya dan begitu juga sebaliknya. Definisi komunikasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) ialah perhubungan (secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain). Menurut Faridah dan Lilia (2002) dalam Mohd Safiee Hj Idris et.al (2008), dalam sesebuah sekolah, guru mestilah berinteraksi sosial dengan pelajar dan rakan sekerja. Seseorang guru pasti akan berkomunikasi pada setiap hari sama ada secara sedar mahupun tidak sedar kerana komunikasi boleh berlaku dalam pelbagai cara. Komunikasi bukan hanya melibatkan pertuturan atau percakapan, bahkan bahasa tubuh juga merupakan suatu komunikasi. Pendapat ini disokong dengan penemuan Ab.Rahman (1996) dalam Mohd Safiee Hj. Idris et.al (2008) menyatakan bahawa komunikasi dalam bilik darjah boleh berlaku secara lisan dan bukan lisan. Komunikasi merupakan aspek yang terpenting dalam pendidikan khususnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Hashim Fauzy (1997) bidang komunikasi terbahagi kepada dua, iaitu intrapersonal dan interpersonal. Pearson (2000) dalam Mohd Safiee Hj Idris et.al (2008) berpendapat bahawa komunikasi yang lemah merupakan punca kepada kebanyakan masalah. Dengan kata lain, baik atau buruknya kaedah PdP yang dilahirkan boleh dihubung kait dengan corak komunikasi yang digunakan oleh guru. Oleh itu, seorang guru mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran berkomunikasi agar PdP dapat disampaikan dengan lancar dan berkesan.
2.0 KESAN KEGAGALAN KOMUNIKASI SESEORANG GURU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) DI BILIK DARJAH DAN CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH TERSEBUT
2.1 Menjatuhkan maruah murid dan cara untuk mengatasinya.
Guru yang tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi boleh menjatuhkan maruah murid. Hal ini disebabkan oleh terdapat guru yang menggunakan serangan verbal semasa PdP di bilik darjah. Jiwa murid yang menjadi mangsa serangan ini akan menjadi amat sakit dan derita. Cara yang paling popular ialah dengan menyerang peribadi murid itu. Contohnya, “kamu ini tak guna betullah” dan “kenapalah kamu ini bodoh betul?”. Selain itu, guru memanggil murid dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sangat menghina seperti “kepala samseng” dan “budak tak guna!” Perbuatan ini boleh menyebabkan kecederaan psikologi ke atas murid-murid kerana dengan menggunakan kata-kata, guru dapat menjatuhkan maruah murid.
Sebagai seorang guru, guru perlulah mengatasi masalah komunikasi dalam PdP di bilik darjah dengan segera. Islam mengajar umatnya supaya menjaga tutur kata. Rasulullah s.a.w. bersabda, “siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.” Walaupun seorang murid itu tidak mempunyai akhlak yang baik atau pencapaian akademik yang cemerlang, sebagai seorang guru, guru hendaklah menggunakan kata-kata yang positif. Contohnya, “jangan bersedih, muridku. Masih ada banyak masa. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh supaya awak mendapat keputusan yang cemerlang.” Guru yang kerap melakukan serangan verbal terhadap murid sebenarnya mempunyai masalah lain seperti masalah rumah tangga. Guru hendaklah bijak mengatasi masalah di rumah dengan cara tidak membawa masalah tersebut ke sekolah agar proses PdP di bilik darjah berjalan dengan lancar. Selain itu, guru hendaklah bersabar dengan setiap masalah yang dihadapi kerana sabar merupakan sebahagian daripada iman. Guru yang bersabar pasti tidak akan memarahi dan melakukan serangan verbal terhadap muridnya.
2.2 Murid akan menjadi tidak bersemangat untuk belajar dan cara untuk mengatasinya.
Kesannya ialah murid akan menjadi tidak bersemangat untuk belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tidak faham pengajaran yang disampaikan oleh guru. Puncanya ialah guru tersebut menggunakan dialek negeri. Menurut Stewart (2011) dalam Azlina Kamaruddin (2017), halangan semantik berkait dengan masalah interpretasi atau bagaimana seseorang menterjemahkan sesuatu makna. Hal ini secara langsung berkait dengan perbezaan budaya dan fahaman yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pendengar. Guru yang menggunakan dialek negeri bukan sahaja menyebabkan murid tidak faham isi pembelajaran, bahkan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan murid. Pendapat ini disokong oleh Sayed Mahussain dan Fathiah (2010) yang menyatakan bahawa individu yang menggunakan dialek negeri boleh menimbulkan salah faham antara pendengar untuk berkomunikasi dan berinteraksi disebabkan penggunaan dialek negeri masing-masing yang sukar difahami oleh individu-individu dari negeri-negeri lain. Selain penggunaan dialek dalam kalangan guru, guru juga menggunakan bahasa rojak semasa berkomunikasi. Penggunaan dialek dan bahasa rojak boleh menyebabkan murid tidak bersemangat untuk belajar sekali gus menyebabkan keputusan peperiksaan yang tidak memberangsangkan.
Cara untuk mengatasinya ialah guru perlulah sentiasa berlatih bertutur dengan menggunakan bahasa baku. Apa salahnya jika guru tersebut bertutur dengan menggunakan bahasa baku, alangkah lebih baiknya ia dijadikan sebagai amalan kerana guru berbicara untuk menyampaikan ilmu. Jika guru menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuh digunakan perkataan-perkataan Melayu dan begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu perkataan tidak boleh diterima. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris untuk menambahkan perbendaharaan katanya. Sesungguhnya, bagi mengelakkan penggunaan dialek dan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh.
2.3 Hubungan antara seseorang guru dengan murid akan menjadi renggang dan cara untuk mengatasinya.
Kesan kegagalan komunikasi seseorang guru dalam PdP di bilik darjah yang seterusnya ialah hubungan antara seseorang guru dengan murid akan menjadi renggang. Hal ini disebabkan oleh bahasa tubuh yang digunakan oleh seorang guru. Sebagai contohnya, apabila seseorang guru membenci akan muridnya, guru tersebut menunjukkan mimik muka yang masam dan menjeling ke arah murid berkenaan. Kadang-kadang, bahasa tubuh badan lebih berkesan daripada bahasa verbal kerana kita lebih banyak menggunakan bahasa tubuh badan. Pendapat ini disokong oleh Che Su dan Mohd Fo’ad (1993) dalam Mohd Safiee Hj Idris et.al (2008) yang menunjukkan bahawa kita menggunakan 65% bahasa tubuh. Selain itu, hubungan guru dengan murid menjadi renggang kerana guru tersebut garang dan bercakap kasar. Murid pasti akan takut dan benci akan guru yang garang.
Tujuan komunikasi adalah untuk menjalin hubungan. Untuk menjadi guru yang dikasihi oleh murid-muridnya, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran berkomunikasi. Semasa mengajar, guru hendaklah menggunakan hubungan mata kerana murid berasa dirinya dihargai. Mata digunakan untuk memandang murid dengan penuh kasih sayang dan bukannya menjeling murid. Selain itu, guru perlulah menggunakan komunikasi dua hala supaya murid terlibat dalam proses PdP sekali gus dapat mengelakkan murid tidur di dalam kelas. Guru juga haruslah memanggil nama muridnya di dalam kelas supaya murid mendapat tahu bahawa gurunya mengingati namanya. Guru perlulah menyelitkan unsur kecindan dan bukannya unsur kemarahan semasa PdP di kelas. Hal ini boleh menyebabkan hubungan antara guru dengan murid menjadi semakin rapat.
2.4 Masalah disiplin murid semakin meningkat dan cara untuk mengatasinya.
Di samping itu, kesannya ialah masalah disiplin murid semakin meningkat. Terdapat guru yang bercakap dengan laju di samping terdapat juga guru yang gagap semasa bercakap di dalam kelas. Hal ini boleh menyebabkan murid tidak faham akan isi pembelajaran yang disampaikan oleh guru sekali gus menyebabkan murid berasa jemu untuk belajar. Apabila proses PdP dirasakan membosankan, murid tersebut akan melakukan pelbagai masalah disiplin seperti lepak, merokok, ponteng kelas dan vandalisme. Hal ini dapat dibuktikan melalui rekod kementerian pada 2010 yang menunjukkan seramai 111484 murid yang terbabit dalam pelbagai masalah disiplin dan untuk kes ponteng sekolah mencecah sebanyak 19545 kes.
Oleh
itu, guru hendaklah mengatasi masalah kegagalan berkomunikasi dengan segera. Dalam
Lilis
Suriani Omar (2013), Ketua
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UM,
Dr. Zahari Ishak berkata, keperibadian guru yang digemari murid akan
meningkatkan minat serta menggalakkan golongan itu hadir ke sekolah. Sebelum
memulakan kelas, guru hendaklah berdoa supaya dipermudahkan segala urusan dan
tidak gagap semasa mengajar. Guru perlulah menyediakan bahan-bahan yang hendak
diajar, fahamkan dan hafal bahan-bahan tersebut sebelum masuk ke kelas. Selepas
menghafal, guru hendaklah berlatih bercakap. Untuk menghilangkan gugup di dalam
kelas, guru hendaklah sentiasa berlatih bercakap di hadapan orang ramai.
Contohnya, guru boleh memberi ucapan semasa perhimpunan. Dengan adanya
pengalaman berucap di hadapan orang ramai, semakin lama guru semakin boleh
mengawal ketakutan.
2.5 Murid menjadi defensif, pendiam dan tidak berkeyakinan dan cara untuk mengatasinya.
Kesan yang seterusnya ialah boleh menyebabkan murid menjadi defensif, pendiam dan tidak berkeyakinan. Di dalam bilik darjah, pasti terdapat murid yang suka memberi pendapat namun pendapat ini tidak dipersetujui oleh gurunya. Selain itu, sikap guru yang suka membebel dan melabel murid menyebabkan murid lebih selesa untuk mendiamkan diri agar lebih selamat. Tujuan meleteri murid akan menyebabkan tujuan mendidik murid akan gagal kerana murid lebih cenderung untuk menjauhi guru berkenaan. Seterusnya, guru menggunakan teknik mengugut dan mengancam untuk mendorong murid-murid supaya menukar sikap, tabiat dan tingkah laku mereka yang negatif kepada yang positif. Sebagai contoh, guru-guru mengugut murid-murid mereka supaya jangan sampai gagal dalam peperiksaan.
Sebagai seorang guru, guru hendaklah bersifat terbuka dengan cara menerima pendapat orang lain. Jika pendapat muridnya salah, guru hendaklah menegur murid tersebut dengan bahasa yang positif. Terdapat beberapa cara supaya guru tidak menggunakan label semasa bercakap walaupun perasaan guru sangat marah pada masa itu. Caranya ialah menerangkan sahaja apa yang guru rasa dan jangan membebel murid. Contohnya, guru tidak boleh berkata, “kamu nakal,” tetapi guru boleh berkata “saya tidak suka kamu pukul kawan kamu.” Selain itu, guru tidak boleh menilai murid secara negatif. Sebagai contohnya, penggunaan ayat “kenapa kamu degil?” tidak boleh digunakan. Sekiranya terdapat murid yang gagal dalam peperiksaan, guru hendaklah menasihati murid dan bukannya mengugut murid.
3.0 KESIMPULAN
Sesungguhnya, matlamat dan wawasan pendidikan itu sendiri merupakan usaha untuk melahirkan masyarakat prihatin dan penyayang. Oleh itu, usaha golongan pendidik menggembleng tenaga mendukung dan mencapai lunas berkenaan merupakan usaha yang murni dan disanjungi. Falsafah Pendidikan Kebangsaan sendiri jelas menyatakan bahawa pendidikan di negara ini bertujuan untuk melahirkan kelompok murid yang mencapai kejayaan dan kemajuan dalam pembentukan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Komunikasi yang berkesan merupakan asas pendidikan yang bermutu. Menurut Che Su dan Mohd Fo’ad (1993) dalam Mohd Safiee et.al (2008), seorang guru mestilah mempunyai ciri-ciri positif semasa berkomunikasi supaya pengajaran menjadi berkesan. Masalah guru yang tidak menjaga tutur kata semasa PdP sering terpapar di dada-dada akhbar mahupun di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Oleh itu, saya berharap agar masalah kegagalan komunikasi dalam kalangan guru dapat diatasi dengan segera supaya proses PdP dapat berjalan dengan lancar.
RUJUKAN
Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (1999). Kemahiran Interpersonal untuk Guru Bestari. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2000). Komunikasi Untuk Guru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abu Hassan Abdul et. al. (Ed.). (2003). Bahasa Melayu Profesional. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Anuar Ahmad. (2009, April). Kurang Leter, Tingkat Pengurusan Kelas Berkesan. Pendidik, 5:58-59.
Azlina Kamaruddin. (2017). Analisis Kualitatif terhadap Faktor Kegagalan Komunikasi Pembujukan dalam Konteks Pengucapan Awam. Jurnal Komunikasi, 33(3), 89-106.
Rajiee Hadi. (2010, Oktober). Pendekatan Kasih Sayang dalam Pengajaran. Pendidik, 4:44-45.
Entri 4: Dialek dalam Pengajaran Bahasa Melayu? (2012) (t.p). Dicapai pada 28 Januari 2018, daripada http://nabsiahsulaiman.blogspot.my/2012/03/dialek-dalam- pengajaran-bahasa-melayu.html
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kesan-kesan dan Cara-cara untuk Mengatasi Masalah Penggunaan Bahasa Rojak. (2009). (t.p). Dicapai pada 30 Januari 2018, daripada http://farihinzul1974.blogspot.my/2009/10/kesan-kesan-dan-cara-cara-untuk.html
Khairuddin Mohammad, Maridah Alias, Siti Normaniseh Zakaria, Azmi Ayub, Faiziah Shamsudin, Abd. Rahim Ismail & Maria Mansur. (2012). Bahasa Melayu Kontekstual. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Lilis Suriani Omar. (20 September 2013). Guru Punca Pelajar Ponteng. Utusan Melayu. Dicapai pada 1 Februari 2018 daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/ Dalam_Negeri/20130920/dn_19/Guru-punca-pelajar-ponteng
Mohd Safiee Hj. Idris et.al. (2008). Komunikasi Interpersonal dalam Pengajaran di Kalangan Guru-Guru Teknikal Sekolah Menengah Teknik di Negeri Melaka. Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2008. Universiti Teknologi Malaysia, 22-23 Oktober.
Sayed Mahussain Sayed Ahmad & Fathiah Mustaffa. (2010). Kemahiran Berkomunikasi Secara Berkesan Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam). Shah Alam: Universiti Teknologi Malaysia.
Sikap Guru Punca Ponteng..Adehhh Doktor Zahari Ishak.. Lu Sihat ke Broo!!! (2013). (t.p). Dicapai pada 2 Februari 2018 daripada http://budakbakong.blogspot.my/ 2013/09/sikap-guru-punca-pontengadehhhh-doktor.html
Roslawaty Raieh. (18 April 2017). Lima Ciri Guru Idaman Pelajar. Sinar Harian. Dicapai pada 1 Februari 2018 daripada http://www.sinarharian.com.my/mobile/ gps-bestari/lima-ciri-guru-idaman-pelajar-1.661678
Yaacob dan Hashim Fauzy. (1997). Pengantar Komunikasi Manusia. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.