PENDAHULUAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), tamadun didefinisikan sebagai cara hidup yang serba berkemajuan. Edward L. Farmer et.al (1977), mendefinisikan tamadun sebagai unit budaya yang terbesar dalam organisasi manusia yang terdiri daripada perkongsian norma sosial, tradisi dan institusi yang berterusan dari satu generasi ke generasi. Pernyataan tersebut membuktikan bahawa wujudnya hubungan dan interaksi antara satu tamadun dengan tamadun yang lain. Pembentukan tamadun bermula apabila wujudnya penempatan kekal oleh sesebuah bangsa di sesuatu tempat sehingga berlakunya perkembangan dalam pelbagai aspek termasuklah sosiobudaya. Buktinya dapat dilihat dimana,Tamadun Malaysia yang terbentuk hari ini adalah hasil daripada kewujudan kaum yang berbilang bangsa. Interaksi antara bangsa yang masih berpegang kepada identiti nilai tamadun masing-masing iaitu Tamadun Melayu, India dan China, telah menyebabkan wujudnya kepelbagaian sosio-budaya di negara ini.
BANDING BEZA SOSIO-BUDAYA TAMADUN MELAYU, INDIA DAN CHINA
ADAT RESAM
PERSAMAAN (PERTUNANGAN)
Adat resam masyarakat Malaysia amat dititikberatkan dan dapat dilihat melalui amalan yang diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Kepelbagaian kaum yang wujud membawa kepada perbezaan adat resam yang diamalkan meskipun upacara sama diraikan. Dalam proses pemilihan jodoh, ketiga-tiga kaum mempunyai adat yang sama iaitu adat meminang. Menurut Norhuda Salleh (2017), meminang diertikan sebagai mengemukakan pertanyaan untuk berkahwin dan adat meminang dimulakan dengan pihak lelaki yang mengemukakan pertanyaan kepada pihak perempuan. Proses meminang penting untuk mengetahui sama ada bakal pasangan pengantin setuju atau tidak untuk berkahwin. Bagi kaum Melayu, upacara pertunangan adalah melamar gadis secara rasmi dan lamaran tersebut hendaklah diketahui dan direstui oleh keluarga kedua-dua pihak. Dalam Islam, pertunangan disebut sebagai khitbah yang perlu dilaksanakan supaya kedua-dua belah pihak dapat saling mengenali. Rasullullah S.A.W. bersabda;
| Maksudnya: “Apabila ada diantara kamu yang ingin meminang seseorang wanita, jika kamu dapat melihat apa-apa padanya yang mendorong untuk mengahwininya maka lakukanlah” (Riwayat Abu Dawud) (Riwayat Imam Tarmidzi dan An Nasa’i) |
Menurut Jasman Ahmad & Rosnah Ramli (1997), hari pertunangan bagi kaum Cina dijalankan dengan berpandukan kalendar Cina dan tempoh pertunangan kebiasaannya setahun. Menurut kepercayaan mereka, upacara pertunangan yang ingin dijalankan perlu ditentukan berdasarkan kesesuaian bintang kelahiran antara pasangan, Sekiranya diabaikan, perkahwinan yang bakal didirikan akan mengalami kegagalan. Menurut Wan Ramli (2006), upacara pertunangan bagi kaum India pula akan diadakan dua bulan sebelum perkahwinan dilangsungkan. Upacara diraikan dengan meriah oleh kedua pihak keluarga bagi mewujudkan hubungan mesra antara bakal pengantin dan ahli keluarga. Hal ini menunjukkan bahawa setiap kaum menitikberatkan aspek meminang dalam mencari pasangan yang sesuai.
PERBEZAAN (PERKAHWINAN)
Perbezaan pula dapat dilihat dalam upacara perkahwinan yang dijalankan. Menurut A. Aziz Deraman & Wan Ramli ( 1995), upacara perkahwinan kaum Melayu bermula dengan upacara akad nikah, berarak dan bersanding dan adat menyambut menantu. Upacara akad nikah menjadi simbol kesahihan ikatan perkahwinan yang disaksikan oleh wali perempuan. Semasa majlis akad, pengantin lelaki dan perempuan saling membalas hantaran dulang dalam jumlah yang ganjil. Majlis berarak dan bersanding pula merupakan majlis utama dalam adat perkahwinan melayu untuk menguar-uarkan tentang status hubungan pengantin kepada orang ramai. Bagi kaum Cina, Ann Wan Seng (1994) menjelaskan bahawa tanda termeterai ikatan perkahwinan hanya dengan menandatangani buku daftar perkahwinan. Pengantin lelaki akan berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk disandingkan dan sesi perkenalan diri kepada keluarga pihak lelaki. Tradisi yang penting adalah tradisi minum teh yang dipercayai mampu membina hubungan mesra antara pengantin dan keluarga. Menurut M. Rajantheran & S. Manimaran (1994), perkahwinan kaum India dilakukan dengan mengelilingi manavarai (mimbar) mengikut arah jam sebagai tanda memohon restu Dewa Ganesha dan diteruskan dengan upacara penyarungan cincin dan pengalungan thaali. Kedua-dua mempelai kemudian memberi hormat kepada ibu bapa sebagai tanda rasmi suami isteri. Perbezaan yang ditonjolkan dalam adat perkahwinan menunjukkan bahawa kepercayaan dan pegangan agama menjadi asas kepada kewujudan adat.
KESENIAN KRAF TANGAN
2.2.1 PERSAMAAN
Kraf tangan yang dihasilkan oleh setiap kaum mempunyai persamaan dari segi motif corak. Menurut Mahdi Shuid (2013), seni ukiran wujud sejak zaman perkembangan tamadun dan motif corak yang digunakan dalam penghasilan kraf tangan oleh ketiga-tiga kaum adalah bermotifkan flora dan fauna. Kewujudan motif tersebut di persekitaran mereka memudahkan berlakunya teknik peniruan alam dalam penghasilan kraf. Pada peringkat awal, penghasilan kraf kesenian kaum Melayu banyak dipengaruhi oleh agama Hindu Buddha namun, setelah kedatangan Islam kesenian berasaskan flora dan geometri menjadi tumpuan.
2.2.2 PERBEZAAN
Menurut Kymlicka (1999), salah satu tumpuan terhadap kepelbagaian yang wujud adalah dari aspek cara sesebuah kaum mengekpresikan budaya mereka. Penghasilan kraf tangan yang bermotifkan konsep tertentu dan mengetengahkan perbezaan kaum mampu menonjolkan keindahan dan kesenian kaum tersebut. Masyarakat Melayu terkenal dengan kehalusan seni ukiran kayu yang menggambarkan seni tradisi masyarakat sejak turun-temurun. Menurut Norhaiza Nordin (2009), ekspresi yang dipaparkan melalui ukiran kayu mewakili watak dan budaya masyarakat Melayu. Simbol dan identiti yang diukir pada kayu mencerminkan budaya kaum Melayu. Unsur ukiran dapat dilihat pada hiasan rumah, perabot, sampan dan sebagainya Masyarakat Cina pula sinonim dengan barangan tembikar yang menjadi warisan bagi kaum mereka. Menurut Jasman Ahmad & Rosnah Ramli (1997), tembikar dihasilkan bukan hanya untuk dijadikan perhiasan malah digunakan untuk tujuan tertentu. Grace Choong Ai May (2008), perhiasan motif yang digunakan dalam pembuatan tembikar adalah motif yang tidak menyinggung perasaan masyarakat Melayu kerana kesenian Islam tidak menggalakkan penggunaan gambar-gambar berbentuk figura. Keadaan ini menunjukkan bahawa wujudnya sifat toleransi antara kaum dalam mengekalkan hubungan yang harmoni. Bagi kaum India, seni lukisan kolam menjadi tarikan apabila tiba perayaan Deepavali. Menurut Robinson (2007), kolam digunakan untuk menghias kawasan rumah, kuil dan rumah sembahyang dengan menggunakan beras dan tepung. Penghasilan seni kolam memerlukan kemahiran serta kreativiti supaya cantik dan kemas. Seni kolam dalam masyarakat India dikaitkan dengan pegangan agama dan kepercayaan kepada Tuhan Hindu. Seni kraf yang dihasilkan oleh ketiga-tiga kaum menonjolkan kemahiran dan kehebatan yang dimiliki oleh kaum masing-masing.
PERAYAAN KAUM
2.3.1 PERSAMAAN
Setiap kaum di Malaysia mempunyai perayaan kaum masing-masing yang disambut dengan meriah berdasarkan pegangan agama masing-masing. Tiga perayaan yang utama adalah Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Perayaan Deepavali yang mewakili sambutan bagi tiga kaum utama. Setiap perayaan tersebut disambut dengan berpandukan kalendar agama masing-masing. Menurut Rahimy Rahim & Adrian Chan (2017), Aidilfitri ditentukan oleh kemunculan anak bulan pada malam 29 Ramadhan dalam kalendar Hijrah dan sekiranya anak bulan tidak kelihatan maka kaedah hisab akan digunakan bagi menentukan tarikh perayaan. Berdasarkan keterangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tahun Baru Cina disambut bagi menandakan kedatangan tahun baru berdasarkan kalendar mereka yang terbahagi kepada 12 kitaran tahun. Tahun-tahun tersebut dinamakan sempena nama haiwan dan setiap satunya membawa tuah tersendiri. Manakala bagi kaum India pula kalendar Hindu digunakan bagi menentukan tarikh sambutan perayaan. Menurut Rosmawati Mion (2008), Deepavali akan diraikan setiap kali tibanya bulan Aipasi iaitu bulan ketujuh daripada putaran 12 bulan. Hal ini menunjukkan bahawa setiap kaum mempunyai kalendar agama masing-masing dalam menentukan sesuatu peristiwa. Ketiga-tiga perayaan juga mengetengahkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat semasa perayaan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga. Hal ini membuktikan bahawa ikatan kekeluargaan amat dititiberatkan oleh semua kaum.
2.3.2 PERBEZAAN
Setiap perayaan yang disambut mempunyai keistimewaan dan keunikan masing-masing, namun berbeza dari segi tujuan sambutan dan cara perayaan tersebut diraikan. Menurut Asmad (1990), Aidilfitri adalah hari kebesaran agama yang dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia selepas Ramadan. Perayaan ini disambut bagi menggambarkan kesyukuran kepada Allah setelah tamat sebulan berpuasa. Mohd Shauki Ad Majid (2007), Aidilfitri merupakan kemerdekaan setelah Ramadhan dimana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Bermula malam Aidilfitri, takbir raya mula bergema memuji Allah. Firman Allah:
تَشْكُرُونَ وَلَعَلَّكُمْ هَدَاكُمْ مَا عَلَى اللّهَ وَلِتُكَبِّرُواْ
“Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 185)
Pada pagi Aidilfitri, masyarakat Islam disunatkan mandi sunat raya serta memakai pakaian baharu dan bersih bagi menyambut kedatangan Syawal. Kemudian, mereka akan menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Amalan bermaaf-maafan dan pemberian duit raya merupakan adat yang wajib pada pagi perayaan. Bagi masyarakat Cina, Tahun Baru Cina disambut bagi mengalu-alukan kedatangan tahun baru yang diharapkan mampu membawa tuah kepada mereka. Menurut Jasman Ahmad dan RosnahRamli (1997), semua ahli keluarga akan berkumpul bersama untuk jamuan “makan besar” bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Hari pertama perayaan, kaum Cina akan memakai pakaian tradisi iaitu cheongsam yang bewarna cerah untuk menggambarkan kebahagiaan. Pemberian angpau juga adalah wajib daripada mereka yang sudah berkahwin kepada yang belum berumahtangga. M. Rajantheran & G. Sivapalan (2004), menyatakan bahawa Deepavali merupakan perayaan yang disambut sebagai tanda kemenangan atas kezaliman rakyat pada masa dahulu. Menurut M. Thiruganana Sambathan (2018), Deepavali membawa maksud sebaris pelita yang digambarkan seolah-olah perjalanan kehidupan menuju cahaya yang direstui oleh tuhan dimana kebaikan mengatasi kejahatan. Penyediaan Kolam yang pelbagai bentuk dan rupa dihasilkan bagi menghiasi ruang masuk rumah. Pada pagi perayaan, penganut akan mandi bijan bagi menyucikan diri daripada sebarang dosa sebelum ke kuil untuk melakukan upacara sembahyang. Rosmawati Mion (2008), mengatakan bahawa pakaian baharu diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak untuk dipakai sebagai tanda pemberian restu. Ketiga-tiga perayaan yang disambut mempunyai nilai kepentingan yang tersendiri kepada kaum masing-masing.
PENUTUP
Kesimpulannya, kewujudan sosiobudaya yang penuh keunikan di Malaysia adalah hasil daripada kepelbagaian kaum yang menjadi khazanah warisan negara. Setiap kaum menonjolkan keistimewaan dan kehebatan masing-masing dalam mengangkat budaya yang diamalkan oleh mereka. Sosiobudaya masyarakat di Malaysia pada asalnya adalah berpegang kepada nilai tamadun masing-masing, namun disebabkan oleh penyatuan dan kesepaduan masyarakat maka berlakunya asimilasi dalam sosiobudaya tersebut. Usaha kerajaan dalam mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan menjadi asas utama dalam membentuk perpaduan antara kaum melalui perkongsian budaya.