Berdasarkan artikel bertajuk Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Di Tanah Melayu, buat satu ulasan kritis dengan menilai bahawa sudah terdapat pengaruh British di TM sebelum 1824.

Imperialisme British di Tanah Melayu bermula dengan bertapaknya kuasa British di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka antara tahun 1786 hingga tahun 1824 (Abdul Rahman Haji Ismail, 2007 m/s 229). Pernyataan ini menjelaskan bahawa British telah meluaskan kekuasaannya di Tanah Melayu sebelum tahun 1824 lagi. Sebelum Perang Dunia Kedua, negeri Pulau Pinang bersama-sama Singapura dan Melaka menjadi sebahagian daripada tanah jajahan British. Kewibawaan dan kekuasaan ke atas Pulau Pinang berpindah dari orang-orang Melayu kepada British melalui perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1786 di antara Francis Light bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan Abdulllah Marhum Shah dari Kedah (Md Salleh Md. Gaus, 1977, m/s 142-143). Namun, Francis Light memungkiri janji untuk memberikan bantuan ketenteraan kepada Kedah. Hasrat Sultan Kedah untuk mengambil semula haknya tidak berhasil kerana Francis Light bijak menggunakan tipu muslihat dan helah bagi menakluki Pulau Pinang. Melalui perjanjian yang termeterai di antara Sultan Kedah dan wakil British, maka bermulalah pendudukan pengaruh asing di Pulau Pinang.

Selain itu, Stamford Raffles juga telah berjaya meluaskan pengaruh British di Singapura. Dasar campur tangan kuasa asing iaitu British bermula setelah berlaku suatu perubahan dalam politik dan pentadbiran Johor apabila Stamford Raffles bertindak menabalkan pula Tengku Husin sebagai raja di Singapura tujuh tahun kemudian (Mardiana Nordin, m/s 22 ). 1819 sering kali dianggap sebagai tahun “penubuhan Singapura” oleh pihak British. Seperti yang ditulis oleh C.M. Turnbull pada permulaan bukunya A History of Singapore, “Era moden Singapura bermula pada 30 Januari 1819 apabila Temenggung Johor menandatangani perjanjian awal dengan wakil Syarikat Hindia Timur, Sir Stamford Raffles, bagi membolehkan pihak British menubuhkan sebuah pusat perdagangan” (Turnbull, 1989: 1). Pihak British telah menggunakan pertelingkahan antara kerabat Sultan Johor dengan Yamtuan Muda Riau, dan menipu Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman yang rakus dan lemah untuk “menjual” Singapura kepada Syarikat Hindia Timur British yang mengambil kuasa penuh ke atas pulau ini pada 1823. (Lily’s Room, 2011). British bijak mencari peluang keemas an dengan menggunakan taktik tipu muslihat dan memanipulasikan keadaan politik yang tidak stabil bagi tujuan untuk menduduki Singapura.

Pada tahun 1824, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda yang meliputi pembahagian tanah-tanah jajahan di mana pihak Belanda menyerahkan Melaka serta jajahan takluknya kepada Inggeris. Pihak Inggeris akan berundur dari Sumatera dan menyerahkan Bangkahulu serta segala hak miliknya di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka (Aliza Minai Rajab). Hal ini membuktikan, British berjaya menguasai Melaka secara mutlak setelah pihak Belanda dan British menjalinkan satu perjanjian hasil persetujuan bersama. Setelah British memperolehi Pulau Pinang pada tahun 1786, menguasai Singapura dalam tahun 1819 dan seterusnya memperolehi Melaka menjelang tahun 1824, pentadbiran ketiga-tiga negeri tersebut kemudiannya disatukan dan dikenali sebagai Negeri-negeri Selat pada tahun 1826 dan kekal di bawah penguasaan British di India (S D Reginald Mercer Nelson – ‎2002, m/s 53). Walaupun dasar campur tangan British secara rasminya diisytiharkan pada 1874 dengan penubuhan negeri-negeri Selat, namun pihak British telah mempunyai pengaruh di Tanah Melayu sejak pendudukan British melalui wakilnya iaitu Francis Light di Pulau Pinang pada 1781. Kemudian, pada 1819 Stamford Raffles telah telah menguasai Singapura manakala Melaka pula telah diserahkan oleh Belanda kepada British melalui Perjanjian London 1824. Perkara ini telah membuktikan sudah terdapat pengaruh British di Tanah Melayu sebelum 1824.  

RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Ismail. (2007). Malaysia Sejarah Kenegaraan dan Politik. Selangor: Dawama Sdn. Bhd.  

Md Salleh Md. Gaus. (1977). Pulau Pinang 1945-1957: Satu Kajian Politik Melayu. Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia.

S D Reginald Mercer Nelson. (2002). Campur Tangan British di Negeri Sembilan 1874-1895.

Lily’s Room, 2011, “A Muslim Novelist in Singapore” dlm.The Sun, 7 October, dalam talian http://d.hatena.ne.jp/itunalily2/20111007, capaian 10 Oktober 2013.

Aliza Minai Rajab. Arkib Negara Malaysia.