PENDAHULUAN
Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, sultan merupakan golongan pemerintah yang mempunyai kuasa tertinggi dalam sesebuah kerajaan. Sultan dibantu oleh para pembesar yang dilantik melalui surat tauliah untuk menjalankan tugas-tugas tertentu di daerah masing-masing. Para pembesar yang mendapat pengurniaan daerah mempunyai hak untuk memerintah dan memungut cukai[1]. Pembesar mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan rakyat dengan memiliki kuasa politik, bertanggungjawab dalam adat istiadat, undang-undang, ekonomi dan ketenteraan sendiri dalam menjalankan tugas mereka[2]. Pengaruh yang dimiliki membantu memudahkan pemungutan cukai di kawasan pemakanan mereka. Kawasan pemakanan bermaksud kawasan taklukan yang diberikan oleh sultan kepada pembesar disebabkan oleh jasa yang telah diberikan oleh pembesar tersebut. Tugas umum seseorang pembesar antaranya ialah memelihara keamanan daerah pegangan, bertindak adil kepada rakyat dan memungut cukai. Keberkesanan para pembesar dalam menjalankan tugas mereka dapat dilihat apabila semakin ramai pengikut pembesar tersebut, semakin tinggi kuasa politik yang dimilikinya. Namun kedatangan British menjajah Tanah Melayu telah menyebabkan para pembesar mula kehilangan kuasa yang dimiliki.
TINDAK BALAS MASYARAKAT TEMPATAN
DATO MAHARAJA LELA
Penentangan di Perak dipelopori oleh Dato Maharaja Lela. Dato Maharaja Lela merupakan Orang Besar Delapan yang dilantik oleh sultan untuk mentadbir Kampung Pasir Salak[3]. Peranan beliau sebagai pembesar memberi kuasa untuk menguruskan hal pentadbiran di kawasan pemilikannya. Kebangkitan penentangan di Perak bermula apabila termeterainya perjanjian antara Sir Andrew Clarke wakil daripada British dan Sultan Perak yang dikenali sebagai Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874[4]. Syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Pangkor menimbulkan kemarahan dalam kalangan pembesar kerana bermulanya penguasaan British dalam hal ehwal politik dan ekonomi di Perak. Pengenalan kepada sistem Residen yang bertanggungjawab menjalankan segala urusan pentadbiran di atas nama sultan menjadikan pengaruh pembesar semakin berkurangan dan semakin kehilangan kuasa. Pemberontakan yang yang dicetuskan oleh pembesar adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah kehilangan hak untuk memungut cukai di kawasan pegangan mereka dan campur tangan pihak British dalam urusan adat istiadat. Pengenalan pelbagai jenis cukai seperti cukai perahu dan cukai padi juga menimbulkan kesusahan kepada masyarakat. Kedatangan Birch sebagai Residen di Perak telah mengubah struktur ekonomi di Pasir Salak dimana sistem kutipan cukai di sepanjang sungai akan dikutip oleh pegawai kerajaan dengan bantuan pihak polis[5]. Para pembesar tidak mempunyai hak dalam mengutip cukai untuk diri mereka sendiri tetapi perlu mengikut cara yang telah ditetapkan dan dikutip atas nama sultan[6]. Keadaan ini menggambarkan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Birch telah menidakkan kuasa yang dimiliki oleh pembesar dalam menguruskan hal percukaian. Tindakan Birch yang telah mengahalang para pembesar untuk mengutip cukai telah menimbulkan kemarahan para pembesar kerana cukai yang diperoleh merupakan hasil pendapatan kepada mereka dan sumber untuk menanggung anak buah mereka. Buktinya pihak British telah membakar rumah Raja Ngah di Bidor yang berkeras mengutip cukai di kawasan perlombongan[7]. Tindakan British dianggap bertentangan dengan konsep pemerintahan tradisonal Melayu yang menekankan peranan pemerintah dalam menguruskan hal percukaian.Campur tangan Birch dalam urusan perhambaan turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan pembesar. Penentangan Birch terhadap konsep perhambaan terutama hamba berhutang adalah kerana perhambaan yangn dilakukan oleh pembesar merupakan sesuatu yang tidak bertamadun[8]. Keadaan ini kerana Birch tidak ingin zaman gelap di Eropah berlaku di Perak kerana Revolusi Perancis menekankan kesedaran mengenai kebebasan dan hak-hak manusia[9] sedangkan di Tanah Melayu amalan perhambaan menjadi adat yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tindakan Birch yang membantu melindungi dua orang hamba sultan semasa mereka berlindung di kediaman Residen menunjukkan bahawa Birch melanggar intipati Perjanjian Pangkor dan menimbulkan kemurkaan Sultan sehingga mengeluarkan surat menitahkan Dato Maharaja Lela membunuh Birch[10]. Hamba-hamba yang telah melarikan diri seolah-olah merendahkan konsep Daulat dan Derhaka dengan menghiraukan sultan sebagai pemerintah yang paling berkuasa. Pembunuhan Birch dirancang oleh Bato Maharaja Lela dengan bantuan daripada Sultan Perak yang menyediakan keris dan peluru serta bantuan ketenteraan dari Kedah dan Pahang. Pembunuhan Birch berlaku setelah Mat Arshad iaitu jurubahasanya ditikam ketika sedang menampalkan notis cukai dan Birch ditetak oleh Sepuntum dengan pedang semasa beliau sedang mandi[11]. Kejayaan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya dalam membunuh Birch menunjukkan bahawa keberanian yang dimiliki dalam menghadapi penjajahan. Namun, perjuangan mereka terpaksa diteruskan apabila pihak British ingin menuntut bela kematian Birch dengan menyusun strategi menyerang Dato Maharaja Lela dan pengikutnya dengan maklumat yang diperoleh oleh orang Melayu. Dato Maharaja Lela memperkuatan pertahanan di kawasannya untuk menangkis serangan British. Serangan yang pertama telah digagalkan oleh Dato Maharaja Lela, dan dalam serangan kedua pihak British menggunakan teknologi yang lebih canggih sehingga mampu menawan kubu Dato Maharaja Lela sehingga menyebabkan beliau berundur ke Hulu Perak. Disebabkan oleh kesukaran untuk menangkap mereka, British menukar strategi dengan menawarkan sejumlah wang yang besar sekiranya Dato Maharaja Lela dan pengikutnya dapat ditangkap. akhirnya Dato Maharaja Lela menerima hukuman gantung sampai mati bersama-sama Dato Sagor dan Pandak Endut[12].
DATO BAHAMAN
Dato Bahaman merupakan salah seorang pembesar yang memegang jawatan dalam sistem Orang Besar Berlapan dengan gelaran Datuk Setia Perkasa Pahlawan. Kawasan pegangannya di Sungai Semantan diberikan oleh Sultan Ahmad semasa baginda berperang melawan abang baginda Bendahara Tun Mutahir merebut kerajaan Pahang[13]. Campur tangan British sehingga menimbulkan penentangan di Pahang bermula apabila berlakunya pembunuhan Go Hui iaitu rakyat British yang berketurunan Cina. Kesan daripada pembunuhan tersebut, pihak British Memaksa Sultan Pahang menerima Residen dengan menaiktaraf jawatan wakil British dimana Residen dapat membantu menasihati sultan dalam hal pentadbiran kecuali urusan agama dan adat[14]. Tuntutan tersebut pada awalnya tidak diterima namun British menggunakan pengaruh Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor untuk memujuk Sultan Pahang menerima cadangan tersebut bagi mengawal pentadbiran agar kejadian yang sama tidak berulang. Disebalik tuntutan tersebut, dapat dilihat dengan jelas sebenarnya pihak British hanya ingin menjaga kepentingan pemodal Inggeris yang banyak melaburkan modal di Pahang dengan melatik J.P Rodgers menjadi Residen di Pahang. Kedatangan Residen telah menyebabkan beberapa perubahan dalam pentadbiran telah berlaku sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pembesar antaranya ialah hak pengutipan cukai diletakkan di bawah tanggungjawab pihak British dan penghapusan sistem kerah dan perhambaan. Sebelum kedatangan British, tugas mengutip cukai adalah bebas di bawah tanggungjawab para pembesar yang memegang kawasan masing-masing kerana cukai yang diperoleh merupakan sumber pendapatan para pembesar. Namun tindakan Residen yang menyekat proses kutipan cukai menyebabkan mereka kehilangan hasil pendapatan. Untuk menghalang penentangan daripada para pembesar, British telah bertindak dengan membayar gaji kepada para pembesar namun tindakan tersebut ditolak oleh Dato Bahaman kerana gaji yang diperolehnya adalah rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diperoleh oleh Orang Besar Berempat[15]. Sedangkan pendapatan yang diperoleh hasil daripada kutipan cukai adalah banyak. Keadaan ini menunjukkan bahawa tentangan Dato Bahaman bukan semata-mata untuk menentang pembaharuan yang dilakukan oleh penjajah namun penentangan untuk menegakkan haknya sebagai pembesar. Larangan yang dikeluarkan tidak dihirau oleh Dato Bahaman kerana masih lagi bertindak mengutip cukai di Semantan, namun tindakannya dilaporkan kepada pegawai British oleh peniaga. Campur tangan pihak British dalam menghapuskan adat perhambaan dan kerahan tanpa pembayaran gaji ditentang oleh para pembesar kerana adat perhambaan menggambarkan kekuatan pengaruh yang dimiliki oleh seseorang pembesar. Penentangan Dato Bahaman juga adalah disebabkan oleh tindakan British yang membina Balai Polis Lubuk Terua tanpa berunding dengannya terlebih dahulu[16]. Status Dato Bahaman sebagai pembesar di kawasan tersebut akan tergugat sekiranya balai polis ditubuhkan kerana sebelum kedatangan British, corak pemerintahan yang dijalankan adalah bebas dan tidak mengikut mana-mana peraturan. Hal ini akan mengurangkan pengaruhnya dalam kalangan rakyat sebagai orang kuat di kawasan tersebut. Keenganan Dato Bahaman telah menyebabkan gelarannya dilucutkan oleh sultan kerana terpengaruh dengan nasihat Clifford[17]. Disebabkan itu, Dato Bahaman mengumpulkan pengikutnya dan melancarkan serangan bersenjata dengan menawan Balai Polis Lubuk Terua serta mara dengan menawan beberapa kawasan lain. Penentangan berterusan yang dilakukan oleh Dato Bahaman dan pengikutnya telah mendesak Sultan Ahmad untuk mengishtiharkan Dato Bahaman sebagai penderhaka dan mengarahkan Dato Bahaman ditangkap dan dibunuh. Tindakan British yang menggunakan kuasa sultan adalah tindakan yang bijak kerana konsep Daulat dan Derhaka amat dititikberatkan oleh rakyat. Serangan demi serangan yang dilakukan oelh pihak British telah menyebabkan Dato Bahaman dan pengikutnya terpaksa berundur ke Kelantan sebelum ke Siam dan dilantik menjadi pembesar di sana[18]. Kegagalan penangkapan Dato Bahaman dan pengikutnya menunjukkan bahawa semangat mereka tidak mampu dilunturkan dengan serangan British.
PENUTUP
Kedatangan British ke Tanah Melayu
telah menyebabkan munculnya gerakan penentangan dalam kalangan para pembesar.
Tindakan penentangan yang dilakukan adalah semata-mata untuk menunjukkan
penentangan terhadap tindakan British yang mencampuri uruusan para pembesar
dengan mengambil alih hak mereka sehingga mereka bangkit menentang. Pelbagai
cara telah dilakukan oleh pihak British untuk menghalang kebangkitan pembesar
dengan menggunakan pengaruh sultan dan penguatkuasaan undang-undang untuk
menundukkan rakyat. Sikap keberanian dan semangat juang yang tinggi ditunjukkan
oleh para pembesar dalam menentang pengaruh luar perlu dicontohi oleh
masyarakat bagi memastikan keaulatan negara dapat dipelihara dengan sebaiknya.
[1] Ruslan Zainuddin, 2003. Sejarah Malaysia. hlm, 18.
[2] Ibid hlm, 5.
[3] Haji Buyong Adil, 1981. Sejarah Perak. hlm, 77.
[4] Ruslan Zainudin, 2003. Sejarah Malaysia. hlm, 191
[5] R.O Winstedt & R.J Wilkinson. 1974. A History of Perak. hlm, 103.
[6] Ibid, hlm 104.
[7] Ibid.
[8] Arkinson C.N, 1964. British Intervention in Malay 1867-1870. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. hlm, 217.
[9] Sivachandralingan Sundara Raja (2002). Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributor, hlm,188
[10] R.O Winstedt & R.J Wilkinson. 1974. A History of Perak. hlm, 113.
[11] M.A Fawzi Basri. 2016. Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak. hlm, 72.
[12] Ibid, hlm, 82
[13] Haji Buyong Adil, 1984. Sejarah Pahang.hlm, 280.
[14] Ibid. hlm, 267.
[15] Ibid. hlm, 288.
[16] Aruna Gopinath, 1993. Sejarah Politik Pahang. hlm, 128.
[17] Haji Buyong Adil, 1984. Sejarah Pahang.hlm, 301.
[18] Norazit Selat. 1996. Pahang Dahulu dan Sekarang. hlm, 34.