Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), karya bermaksud hasil kesenian atau ciptaan manakala agung pula membawa maksud tertinggi. Seri Jaya Lanang et. al (2016), mendefinisikan karya agung sebagai karya yang memberi kesan kepada budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah kepada sesuatu bangsa. Keadaan ini menjelaskan bahawa, karya-karya agung Melayu yang wujud merupakan karya yang melambangkan ketinggian tamadun Melayu.

Sejarah Melayu merupakan karya agung hasil daripada penulisan Tun Sri Lanang. Menurut Dr. C. Hooykaas (1951), tiada penulisan Melayu yang lain mampu menandingi karya Sulalatus Salatin kerana isi kandungannya yang lengkap. Keunikan yang wujud dalam Sejarah Melayu salah satunya adalah berkaitan dengan cara penulisannya yang memuatkan peristiwa-peristiwa yang mendorong pembinaan jati diri bangsa. Menurut Sejarah Melayu versi W.G Shellabear (1990), pada bab keenam belas menunjukkan peristiwa di mana Hang Tuah masih lagi menghormati dan menjunjung titah Sultan Mansor untuk menentang Hang Kasturi yang ingin menuntut bela atas kematiannya. Sedangkan Sultan Mansor yang telah menitahkan Hang Tuah dibunuh. Ini menunjukkan bahawa pegangan konsep daulat dan tulah kepada pemerintah terutama sultan memainkan peranan yang penting dalam pembinaan jati diri bangsa Melayu pada ketika itu. Keadaan ini menggambarkan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu menganggap raja sebagai keturunan yang mulia dan sanggup bergadai nyawa untuk pemerintah.

Hikayat Abdullah merupakan hasil penulisan yang dikarang oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyipada tahun 1894, memuatkan peristiwa yang berlaku di Melaka dan Singapura semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Menurut Siti Hawa Haji Salleh (1997), penulisan Abdullah Musnyi memberi impak besar terhadap kesusateraan Melayu pada abad ke-20 kerana penulisan yang dihasilkan menyentuh skop yang lebih luas dan bebas dari unsur mitos, serta tidak hanya tertumpu kepada hal ehwal istana. Hikayat Abdullah jelas dilihat dari aspek kritikan sosialnya dimana, kritikan yang lantang dan terbuka mengenai sikap orang Melayu pada waktu tersebut. Abdullah Munsyi (2007), mengkritik masyarakat Melayu pada bab ke 10 dimana kritikan adalah disebabkan oleh sikap dan sifat orang Melayu yang terlalu percaya kepada benda karut marut sehingga menjejaskan kebergantungan kepada Allah. Melalui kritikan tersebut, Abdullah Munsyi cuba untuk menyampaikan bahawa pegangan terhadap kepercayaan tersebut hanya akan membuatkan orang Melayu sentiasa mundur. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa orang Melayu mempunyai fikiran yang sempit sehingga membataskan pekerjaan meraka.

Tuhfat Al-Nafis adalah hasil karya Raja Haji Ahmad dan kemudianya diteruskan oleh Raja Ali Haji. Karya ini lebih memuatkan peristiwa ketika zaman Kesultanan Johor-Riau, salasilah raja Bugis dan Melayu serta asal usul kedatangan Bugis ke Tanah Melayu. Berdasarkan karya Tuhfat Al-Nafis, dapat dilihat bahawa wujudnya sifat jati diri Bugis yang menebal dalam diri Raja Ali Haji. Hal ini kerana, Raja Ali sendiri berketurunan Bugis yang mempunyai kuasa dalam pentadbiran pada masa tersebut di Istana Riau. Keadaan ini dapat dilihat melalui gaya penulisan yang bias dengan mengagungkan masyarakat Bugis.Abdul Rahman Kasbon (1970), turut menjelaskan bahawa pengaruh keturunan menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi corak penulisan Raja Ali Haji yang terlalu pro-Bugis. Hal ini dapat dilihat melalui penulisan Raja Ali Haji (1998) dalam Tuhfat Al-Nafis pada bab keempat dimana banyak pujian diberikan kepada Opu Lima Bersaudara yang dikata sebagai golongan yang berani, taat dan baik keturunannya. Hal ini menyebabkan wujudnya pertikaian kerana ianya seolah-olah ingin mengangkat kedudukan suku Bugis di Tanah Melayu pada ketika itu.

Hikayat Misa Melayu adalah hasil penulisan Raja Chulan berkaitan Sejarah Negeri Perak pada abad ke-18. Jelani Harun (2013), menjelaskan bahawa karya tersebut menggambarkan ketinggian seni penulisan pengarang tradisi Melayu pada zaman tersebut. Penulisan tersebut menonjolkan keunikan dari segi pemikiran masyarakat Melayu dalam aspek bernegara. Hal ini dapat dilihat dimana wujudnya interaksi dalam bidang politik antara pemerintah dan rakyat bagi membentuk sebuah kerajaan yang aman. Contohnya, Raja Chulan (1996), dalam hikayat tersebut menulis tentang Sultan Muzaffar Shah yang memberi pandangan untuk melantik Raja Muda sebagai pengganti baginda sekiranya baginda mangkat dan keputusan tersebut dibincang terlebih dahulu sesama pembesar untuk mendapatkan persetujuan. Ini menggambarkan betapa uniknya pemerintahan pada zaman tersebut kerana sistem pemerintahan beraja yang digunakan tidak bersifat mutlak, berbeza dengan kerajaan-kerajaan lain pada waktu itu. Konsep perbincangan terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang perkara menunjukkan bahawa hubungan sultan dan pembesar merupakan satu konsep yang penting dalam menjamin kepentingan rakyat kerana pembesar berperanan sebagai orang tengah antara rakyat dan Sultan.

Kesimpulannya, keempat-empat karya mempunyai keunikan tersendiri yang melambangkan keagungan penulisan karya Melayu pada zaman dahulu. Setiap karya pula memuatkan peristiwa yang berbeza bagi meningkatkan lagi pemahaman mengenai sejarah Tanah Melayu pada waktu tersebut.