Pendahuluan
Mengimbau kembali sejarah perjalanan tokoh-tokoh tempatan yang menempuhi liku-liku perjuangan dalam menentang pihak British adalah signifikan bagi menghidupkan kembali semangat patriotisme serta menghargai kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini. Perjuangan menentang campur tangan asing dalam pemerintahan di Tanah Melayu bermula apabila kuasa luar cuba untuk mencampuri urusan pentadbiran dengan menafikan hak pemerintah tempatan. Mengikut pentadbiran negeri, lazimnya pembesar-pembesar dilantik daripada satu keturunan yang mempunyai hubungan yang lama dengan jajahan itu, atau yang banyak mempunyai jasa dengan sesuatu kawasan malahan ada juga pembesar yang diambil daripada keturunan.[i]Kenyataan ini menunjukkan kedudukan pembesar sememangnya telah diiktiraf di kawasan lingkungan pengaruh mereka. Walaupun bidang kekuasaan pembesar terhad, namun di peringkat jajahan merekalah “sultan”.[ii]Oleh sebab itu, apabila wujudnya campur tangan kuasa asing, pembesar bangkit menentang pihak British yang bukan sahaja telah mengaut keuntungan di negeri Melayu yang kaya dengan sumber bahan mentah malah mereka telah melampaui batas dengan mengambil alih tugas pembesar dalam mengutip cukai di kawasan pemakanan mereka.
TINDAK BALAS DATO MAHARAJA LELA
Pemimpin utama gerakan penentangan yang berpusat di Pasir Salak merupakan ketua Orang Besar Lapan Perak iaitu Orang Kaya-Kaya Maharaja Lela Tun Jana Putera Pandak Limo Machang Lela Tun Mahmud “Pandak Lam” “Pancung Tak Bertanya”.[iii] Beliau yang memegang jawatan sebagai pembesar di Perak melahirkan protes dan kemarahan kerana pihak British memungkiri fungsinya sebagai pembesar seperti yang tercatat dalam Perjanjian Pangkor. Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari 1874, menghasilkan kesan dramatik yang melatarbelakangi landskap politik di Perak.[iv]Faktor utama penentangan Dato Bahaman adalah disebabkan pihak British bukan sahaja cuba menguasai perdagangan bijih timah malah pembesar turut dihalang untuk memungut cukai. Perkara ini telah menyemarakkan lagi api kemarahan Dato Bahaman kerana hak dan maruah beliau telah dinafikan. Dato Bahaman berasa tergugat dengan kehadiran kuasa asing melalui pelantikan J.W.W Birch kerana hasil percukaian telah menjadi sumber pendapatan utama bagi para pembesar dan ianya telah diwarisi dari zaman berzaman. Setelah sekian lama rakyat perlu membayar pelbagai cukai yang dikenakan oleh pihak pembesar sebagai tanda kepatuhan kepada pihak pemerintah.[v]Namun, kehadiran Residen yang telah melanggar adat resam orang Melayu telah mencabar kewibawaan Dato Maharaja Lela kerana setelah Residen British mengambil alih urusan percukaian, kuasa beliau sebagai pembesar di kawasan Pasir Salak mula berkurangan. Hal ini boleh dilihat pada watak Datuk Maharaja Lela yang menentang Inggeris kerana pihak British mahu menghapuskan sistem cukai yang telah mereka warisi untuk jangka masa yang lama. Oleh itu, pemberontakan kolektif telah dijalankan oleh Datuk Maharaja Lela dan penduduk Kampung Pasir Salak terhadap penceroboh.[vi]
Selain itu, wujudnya percubaan untuk menghapuskan institusi perhambaan pada tahun 1883 di seluruh empayar British. Inggeris beranggapan bahawa amalan itu bertentangan dengan kerajaan ‘bertamadun’ bahkan Sir Andrew Clarke telah mengeluarkan arahan larangan pemilikan hamba abdi di mana-mana negeri di bawah perlindungan Inggeris.[vii] Tindakan Birch yang cuba menghapuskan perhambaan di Perak pada waktu itu dianggap tidak menghormati adat istiadat Melayu. Birch yang merupakan “orang luar” telah mengganggu budaya dan sistem masyarakat Melayu kerana mengikut pegangan masyarakat tempatan, institusi perhambaan merupakan suatu yang halal dan menjadi kebanggaan serta kemuliaan bagi pemerintah dan pembesar Melayu. Oleh itu, pengharaman institusi ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pembesar Melayu kerana hal ini telah melanggar organisasi sosial dan secara tidak langsung, ia telah mengubah sistem pentadbiran tradisional Melayu. Justeru itu, pada 2 November 1875, J.W.W Birch telah dibunuh di Pasir Salak.[viii] Namun demikian, setelah J.W.W.Birch dibunuh pada 2 November 1875, hukuman gantung dikenakan ke atas pengikut Dato Bahaman iaitu Seputum pada 20 Mei 1876 dan hukuman gantung ke atas Dato Maharaja Lela, Pandak Indut dan Dato Sagor pada 20 Januari 1877.[ix] Walaupun Dato Bahaman dan pengikut-pengikutnya tumpas di medan perjuangan, namun semangat perjuangan mereka telah memberi inspirasi kepada pejuang-pejuang kemudiannya bagi menentang British dalam menuntut kemerdekaan.
TINDAK BALAS DATO BAHAMAN
Gerakan menentang British yang telah dilancarkan oleh Dato Bahaman di Pahang bertujuan untuk mengekalkan kuasa feudal dan kedudukan mereka sebagai pembesar.[x] Penentangan yang dilakukan oleh Dato Bahaman merupakan satu manifestasi ketaatan dalam mempertahankan hak, adat resam, kuasa politik dan status-quo golongan pemerintah. Peristiwa pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina, berhampiran dengan istana di Pekan telah dijadikan alasan bagi pihak British untuk menempatkan Residen di negeri Pahang.[xi]Setelah J.P.Rodger dilantik sebagai residen maka bermulalah campur tangan Inggeris di negeri Pahang. British menjadi besar kepala, peranan mereka bukan sekadar menjadi penasihat kepada Sultan tetapi British mula mengambil alih urusan mentadbir Pahang serta mencampuri adat dan agama penduduk tempatan hinggakan kuasa mengutip cukai dalam kalangan pembesar juga dinafikan.[xii] Perkara ini telah membuatkan Dato Bahaman membantah tindakan British yang mengubah polisi pentadbiran tempatan. Pihak British berusaha untuk menghapuskan kuasa yang dimiliki oleh pembesar supaya mereka mudah untuk menguasai Pahang secara mutlak. Namun, Dato Bahaman tidak berdiam diri tetapi beliau bangkit menentang British terutamanya J.P Rodgers yang telah menggubal undang-undang sedia ada. Tindakan yang diambil oleh beliau memaparkan semangat patriotisme yang tinggi dalam mempertahankan maruah bangsa daripada terus dipijak dan digadai oleh penjajah.
Selain itu, Pahang telah dibahagikan kepada enam daerah dan setiap satu diketuai oleh Pegawai Daerah yang berfungsi sebagai pemungut cukai dan majistret. Pegawai-pegawai Eropah yang lain diberikan tugas dalam jabatan-jabatan seperti kerja raya, polis dan perlombongan[xiii]. Pengenalan polisi baru dalam pentadbiran merupakan satu kejutan dan tamparan hebat kepada golongan pemerintah kerana hal ini mengancam kedudukan dan mata pencarian mereka. Jawatan seperti hakim, polis dan juga sistem residen diwujudkan oleh pihak British supaya orang Melayu tunduk dan patuh kepada sistem pentadbiran British yang baru. Di samping itu, pihak British telah mendirikan balai polis dan menjalankan undang-undang mereka tanpa melakukan sebarang perundingan dengan beliau.[xiv]Tindakan E.A.Wise yang membuat tindakan melulu dengan membina balai polis di Lubuk Terua tanpa berunding dengan pembesar di kawasan tersebut dilihat sebagai satu pencerobohan. Oleh itu satu serangan tergempar yang dilancarkan oleh Dato Bahaman bersama-sama beberapa pahlawan yang termasyhur seperti Mat Kilau, Teh Ibrahim dan Awang Nong.[xv] Mereka telah berjaya menguasai balai polis di Kuala Tembeling hasil muafakat dan kerjasama penduduk tempatan. Namun begitu, British mula menghasut Sultan hingga akhirnya gelaran Datuk Setia Perkasa Pahlawan, Orang Kaya Semantan dilucutkan daripada Datuk Bahaman.[xvi] Beliau merasa terhina dengan perbuatan British yang cuba menghapuskan kekuasaan beliau agar tidak meneruskan penentangan terhadap British.
Seterusnya, tentangan secara terbuka berlaku pada tahun 1891 apabila Dato Bahaman melancarkan serangan mengejut ke atas rombongan C.E.B. Desborough yang menangkap tiga orang pengikut Bahaman yang didakwa mengambil hasil hutan tanpa surat kebenaran.[xvii] Dengan berbekalkan semangat jihad, angkatan Dato’ Bahaman bersama-sama Tok Janggut dan Mat Kilau telah menyerang kubu British di Kuala Tembeling, dan seterusnya menawan Jeram Ampai.[xviii] Kemudian, Dato Bahaman dan pengikutnya terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu setelah British menyerang Lubuk Terua. Gerakan memburu pejuang Pahang dilakukan oleh pasukan British di bawah Hugh Clifford ke Kelantan dan Terengganu, tetapi gagal kerana tidak mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan.[xix] Hal ini kerana Dato Bahaman mendapat sokongan daripada 600 orang dan 100 orang asli.[xx] Sokongan ini membuktikan rakyat tempatan tidak menerima kedatangan British yang menceroboh keamanan Pahang. Serangan British telah diteruskan dan orang-orang Melayu telah menentang habis-habisan hingga saat akhir sebelum mereka terpaksa berundur dari kubu mereka.[xxi] Usaha untuk menghalau penjajah yang merampas hak dan kedaulatan Pahang ternyata tidak kesampaian kerana penentangan yang dilakukan tidak mempunyai perancangan yang sistematik serta kekurangan dari segi bantuan ketenteraan.
PENUTUP
Kedua-dua pejuang terbilang ini,
kematian mereka bukanlah sia-sia kerana kesanggupan mereka dalam mempertahankan
maruah bangsa dan daerah pusaka. Dato Maharaja Lela dan Dato Bahaman secara
amnya tidak bersetuju dengan pengenalan kadar kutipan cukai yang tinggi kerana
membebankan orang ramai dan juga penghapusan kawasan pemakanan pembesar dalam
memungut cukai. Pada hakikatnya, seluruh rakyat tempatan tidak boleh menerima
nilai Barat yang bercanggah dengan nilai tempatan. Iktibar yang dapat kita peroleh daripada
peristiwa penentangan ini ialah kita sebagai rakyat tidak wajar membuka
kelemahan pentadbiran kepada orang luar kerana hal ini dapat menggugat kestabilan
dan keamanan negara. Konflik yang berlaku di Perak dan Pahang membuktikan ‘tak
kan Melayu hilang di dunia’. Peranan pahlawan terdahulu yang mengorbankan nyawa
demi maruah bangsa akan diteruskan hingga ke hari ini kerana tanggungjawab dan
perjuangan tidak akan padam sampai bila-bila. Hal ini membuktikan bangsa Melayu
bukanlah bangsa yang mudah diperalatkan. Walaupun tokoh pejuang tempatan
seperti Dato Maharaja Lela dan Dato Bahaman dilihat sebagai pesalah di mata
penjajah, namun mereka dianggap sebagai pejuang di hati rakyat. Peristiwa yang
terjadi ini haruslah diambil sebagai pengajaran agar rakyat di negara ini sentiasa
bersatu padu dalam menjaga kedaulatan negara.
[i] Norbi Husin, ‘Sistem politik dan masyarakat negeri Perak sebelum 1874: Suatu Gambaran Umum,’ Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 3/4 (1973): 27-39, Hlm 28.
[ii] Ahmad Nazri Abdullah, Melayu dan Tanah, Petaling Jaya: Media Intelek, 1985, Hlm 108.
[iii] Noraini binti Mohamed Hassan, ‘Perjuangan Pemimpin Tempatan Menentang British,’ Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 10 Ogos 2017, Hlm 7.
[iv] Maxwell, W. G. & Gibson, W. S., Treaties and Engagements Affecting The Malay States and Borneo, London: James Truscott & Son, 1924, Hlm 62.
[v] Shahril Talib, History of Kelantan 1890-1940 (Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1995, Hlm 73.
[vi] Maizatul Akma Aziz, Nik Rafidah Nik Mohamad Affendi, Halis Azhan Mohd Hanafiah & Kamariah Kamarudin, ‘Elements of Patriotism in “Pahlawan Pasir Salak” Novel’ International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 7/3 (2017): 842-850, Hlm 846.
[vii] Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan, 1983, Hlm 12.
[viii] Rosliha Muhammad, ‘Kesan kolonialisme ke atas peradaban Melayu: Rujukan Khas Kepada Kuasa Penjajah British’ Tesis Master, Universiti Malaya, 2000, 42-62.
[ix] Philip Loh Fook Seng, The Malay States 1877-1895 Political Change and Social Policy, Singapore: Oxford University Press, 1969, Hlm 16.
[x] Ramlah Adam, Pejuang-pejuang Kemerdekaan, Melaka: Graha IKSEP, 2003.
[xi] Arkib Negara Malaysia, Campur Tangan Inggeris Di Pahang, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2009.
[xii] M.Feisal Norawi, ‘Sejarah Tercipta di Mempateh,’Sinar Harian, 30 Ogos 2014, 12.
[xiii] MOHD Samsudin, ‘Identiti Kemelayuan Dalam Pentadbiran,’ Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, 37/4 (2010): 105-121.
[xiv] Shansuddin Bin Ahmad, ‘Politik Melayu Pahang Dari Tahun 1955 Hingga 1984’ Tesis Ijazah Sarjana Muda, Universiti Sains Malaysia, 2016, 1-38.
[xv] J. Chandran, ‘Jatuhnya Kubu Jeram Ampai Pada 1894: Suatu Peristiwa Penting Dalam Sejarah Pahang,’ (Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972, 29-38. Hlm 35
[xvi] M.Feisal Norawi, ‘Sejarah Tercipta di Mempateh,’Sinar Harian, 30 Ogos 2014, 12.
[xvii] Norazil Selat, Pahang: Sejarah Dan Budaya, Pekan: Lembaga Muzium Negeri Pahang, 2000. Hlm 102
[xviii] Abdullah Zakaria bin Ghazali, Dato ‘Sagor: Peranan Dalam Gerakan Menentang British di Perak 1874-1876, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1993, Hlm 74.
[xix] Hugh Clifford, Report of an expedition into Terengganu and Kelantan in 1895, Kelantan: MBRAS, 1992, Hlm 48.
[xx] Jang Aisjah Muttalib, ‘Pemberontakan Pahang 1891-1895,’ Jurnal Universiti Malaya, 13/1 (1972): 85-112.
[xxi] J. Chandran, ‘Jatuhnya Kubu Jeram Ampai Pada 1894: Suatu Peristiwa Penting Dalam Sejarah Pahang,’ Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972, 29-38.
RUJUKAN
Abdullah Zakaria bin Ghazali, Dato ‘Sagor: Peranan Dalam Gerakan Menentang British di Perak 1874-1876, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1993.
Ahmad Nazri Abdullah, Melayu dan Tanah, Petaling Jaya: Media Intelek, 1985.
Arkib Negara Malaysia, Campur Tangan Inggeris Di Pahang, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2009.
Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan, 1983.
Hugh Clifford, Report of an expedition into Terengganu and Kelantan in 1895, Kelantan: MBRAS, 1992.
Jang Aisjah Muttalib, ‘Pemberontakan Pahang 1891-1895,’ Jurnal Universiti Malaya, 13/1 (1972): 85-112.
J. Chandran, ‘Jatuhnya Kubu Jeram Ampai Pada 1894: Suatu Peristiwa Penting Dalam Sejarah Pahang,’ Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972, 29-38.
Maizatul Akma Aziz, Nik Rafidah Nik Mohamad Affendi, Halis Azhan Mohd Hanafiah & Kamariah Kamarudin, ‘Elements of Patriotism in “Pahlawan Pasir Salak” Novel’ International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 7/3 (2017): 842-850.
Maxwell, W. G. & Gibson, W. S., Treaties and Engagements Affecting The Malay States and Borneo, London: James Truscott & Son, 1924.
M.Feisal Norawi, ‘Sejarah Tercipta di Mempateh,’Sinar Harian, 30 Ogos 2014, 12.
MOHD Samsudin, ‘Identiti Kemelayuan Dalam Pentadbiran,’ Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, 37/4 (2010): 105-121.
Noraini binti Mohamed Hassan, ‘Perjuangan Pemimpin Tempatan Menentang British,’ Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 10 Ogos 2017.
Norazil Selat, Pahang: Sejarah Dan Budaya, Pekan: Lembaga Muzium Negeri Pahang, 2000.
Norbi Husin, ‘Sistem politik dan masyarakat negeri Perak sebelum 1874: Suatu Gambaran Umum,’ Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 3/4 (1973): 27-39.
Philip Loh Fook Seng, The Malay States 1877-1895 Political Change and Social Policy Singapore: Oxford University Press, 1969.
Ramlah Adam, Pejuang-pejuang Kemerdekaan, Melaka: Graha IKSEP, 2003.
Rosliha Muhammad, ‘Kesan kolonialisme ke atas peradaban Melayu: Rujukan Khas Kepada Kuasa Penjajah British’ Tesis Master, Universiti Malaya, 2000, 42-62.
Shahril Talib, History of Kelantan 1890-1940, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1995.
Shansuddin Bin Ahmad, ‘Politik Melayu Pahang Dari Tahun 1955 Hingga 1984’ Tesis Ijazah Sarjana Muda, Universiti Sains Malaysia, 2016, 1-38.