1.0 Pengenalan
Malayan Union telah dirangka oleh Kerajaan Parti Buruh sejak tahun 1943 oleh Pejabat Perang. Pejabat India dan Pejabat Tanah Jajahan British bertujuan menubuhkan Malayan Union bagi melincinkan dan mencantumkan pentadbiran negeri-negeri Melayu bagi menyediakan kerajaan sendiri di Tanah Melayu. Ia juga dikatakan sebagai satu cara untuk mengajar Raja-Raja Melayu kerana berkerjasama dengan Jepun. Ada juga yang mengatakan untuk menjaga kepentingan ekonomi terutama getah dan bijih timah di Tanah Melayu dan Asia Tenggara daripada dikuasai oleh kuasa besar yang lain. Untuk membolehkan hal ini berlaku, kuasa undang-undang dan kedaulatan negari Melayu diletakkan dalam kuasa kerajaan British dan satu bentuk kerakyatan yang seragam diadakan.1 Rancangan Malayan Union ini menimbulkan bantahan yang hebat daripada orang Melayu kerana mendatangkan kerugian yang amat besar kepada mereka. Ia juga melahirkan satu kesedaran kebangsaan yang memuncak dan sangat jitu kepada orang Melayu untuk menentangnya. Antara perkara utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati orang Melayu ialah soal kerakyatan jus soli, kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, perundangan dan kedudukan Singapura yang diasingkan dari Tanah Melayu.
Oleh sebab tentangan yang hebat daripada bangsa Melayu ia menyebabkan kerajaan British membatalkan cadangan pembentukan Malayan Union. Pihak British sedar bahawa pembentukan Malayan Union tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan orang Melayu. Oleh itu, pada Julai 1946, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang dianggotai oleh empat wakil Raja-raja Melayu, dua wakil UMNO dan enam orang pegawai British. Tugas penting Jawatankuasa ini ialah merangka sebuah perlembagaan baru bagi menggantikan Perlembangan Malayan Union. Pada 1948, mereka mewujudkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang dipersetujui oleh pihak British untuk menggantikan Malayan Union.2
2.0 Bukti-Bukti Penerimaan PTM 1948 oleh Pihak British
2.1 Kongres Melayu Pertama
Seorang anak negeri Johor iaitu Dato’ Onn Jaafar, Pegawai Daerah Batu Pahat telah mengetuai orang Melayu mengadakan Kongres 1946 bagi menentang pelaksanaan Malayan Union. Pada 23 Jun 1946, Dato’ Onn menghantar sepucuk surat kepada Utusan Melayu untuk menyeru orang-orang Melayu berkongres. Surat-surat jemputan Kongres mendapat sambutan hangat daripada persatuan-persatuan negeri Melayu yang lain.
Persidangan orang Melayu ini tidak ditekan oleh British. Surat kebenaran mengadakan Kongres 1946 telah diberi pada 30 Februari 1946.3 Pada hari persidangan itu, pentadbiran British hanya menghantar beberapa orang “mata-mata gelap” dan polis untuk “menjaga” perjalanan Kongres.4 Tegasnya, British tidak melihat Kongres 1946 itu sebagai satu ancaman. Hari persidangan 1 Mac 1946 itu dianggap penting kerana pada hari inilah orang Melayu dari seluruh Semenanjung memperlihatkan perpaduan mereka untuk menentang Malayan Union. Hal ini telah menunjukkan bahawa pihak British memberi peluang kepada orang Melayu berbincang sesama mereka untuk menolak Malayan Union. Hal ini dapat dibuktikan apabila pihak British hanya menghantar beberapa wakil sahaja dari pihak mereka untuk menjaga perjalanan kongres tersebut. Jika pihak British tidak mahu Malayan Union dihapuskan sudah pasti pihak British menentang Kongres Melayu Pertama ini secara terang-terangan, tetapi ia adalah sebaliknya. Jelaslah di sini bahawa pihak British sendiri menyokong tindakan orang Melayu untuk hapuskan Malayan Union.
Selama empat hari Kongres berjalan, tidak timbul sebarang masalah. Kesemua persatuan yang hadir memberi kerjasama kepada beliau. Cadangan Dato’ Onn untuk menubuhkan satu pertubuhan kebangsaan dipersetujui tetapi namanya telah diubah kepada United Malays National Organization (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR). Pada hari kedua, persidangan kongres membincangkan soal Malayan Union, ahli kongres mengutuk cara Harold MacMichael mengambil tandatangan Raja-raja Melayu dan mengutuk rancangan Malayan Union.5 Kongres 1946 itu akhirnya membuat beberapa resolusi di akhir persidangan. Resolusi ini dihantar ke Pejabat Tanah jajahan sebagi satu bantahan bertulis orang melayu secara kolaktif.6 Hal ini jelas menunjukkan bahawa Dato’ Onn menentang habis-habisan Malayan Union kepada pihak British.
Seterusnya, Kongres ini diadakan pula pada 11 Mei 1946 iaitu tarikh yang sangat bermakna. Di sinilah orang Melayu akan menetang Malayan Union melalui sebuah parti politik. Dengan tenang, Dato Onn mengumumkan pembubaran Kongres 1946 dan menisytiharkan penubuhan UMNO. Penisytiharan Dato Onn itu disambut dengan laungan “Hidup Melayu” oleh para perwakilan.7 Dato Onn dilantik sebulat suara sebagai Yang Dipertua UMNO yang pertama. Pelantikan itu membolehkan Dato’ Onn meneruskan peranannya dalam UMNO untuk terus menentang Malayan Union.
Gerakan UMNO menjadi lebih berkesan dengan sokongan daripada bekas pegawai British melalui akhbar di London pada April 1946. Antaranya R.O Winstedt, bekas Penasihat British di Johor pada tahun 1937 dan Frank Swettenham, bekas Residen Jeneral Negeri Melayu Bersekutu. Kedua-dua mereka melihat dasar Malayan Union itu sangat bertentangan dengan dasar kerajaan British selama ini. Namun, yang lebih berkesan lagi ialah kecaman kepada anggota pembangkang Part Konservatif Britain dalam “House of Commons”. Bagi mereka, Malayan Union ialah satu tindakan yang memusnahkan orang Melayu.8 Berdasarkan pernyataan di atas jelaslah bahawa pihak british sendiri telah menentang Malayan Union dan membela nasib orang Melayu yang tertindas hasil daripada pihak British sendiri. Jelaslah di sini bahawa Malayan Union harus digantikan dengan satu persekutan bagi membela nasib orang Melayu.
Seterusnya, Dato Onn dan wakil UMNO berbincang bagi pertama kali dengan Gabenor Malayan Union, Sir Edwrd Gent pada 29 Mei 1946 di Kuala Kangsar, Perak. Dalam perundingan itu, Dato Onn dan dato’ Hj. Wahab Toh Muda, Menteri Besar Perak dan ahli jawatankuasa UMNO menolak Malayan Union dengan tegas. Perbincangan yang lebih lanjut di antara Dato’ Onn dan pihak British berlaku pada 18 Jun 1946 di Pulau Pinang. Sekali lagi Dato’ Onn menolak Malyan Union. Bagi Dato’ Onn, selagi Perjanjian McMichael 1946 tidak dihapuskan, orang Melayu tidak akan bertolak ansur. Walaupun Edward Gent meminta Dato Onn memujuk orang Melayu dan UMNO, namun Dato Onn tetap tegas dengan pendiriannya. Hal ini jelas menunjukkan pihak British membuka peluang kepada orang Melayu untuk berunding dengan mereka. Sikap Dato’ Onn yang tetap dengan pendiriannya dan tegas telah berjaya menghapuskan Malayan Union sedikit demi sedikit. Sikap inilah yang menyebabkan pihak Britih menerima apa sahaja yang dikehendaki oleh orang Melayu untuk mengelakkan masalah politik yang tidak terkawal di Tanah Melayu yang boleh membahayakan kepentingan ekonomi British.9
2.2 Kuasa Undang-Undang di bawah Tanah melayu
Sebelum Malayan union, di negeri-negeri Melayu Bersekutu kuasa pentadbiran dan perundangan terletak kepada Residen British yang menjadi pengerusi Majlis Negeri (State Council). Bagi negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, kuasa pentadbiran terletak di tangan Perdana Menteri/Menteri Besar dan Majlis Kerajaan Negeri. Kuasa Penasihat British hanyalah menasihati sahaja. Di dalam Malayan Union, jawatan Menteri Besar dihapuskan, sebaliknya kuasa Residen British diperkenalkan di negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. “Federal Council” dan “State Council” kekal sebagai badan perundanagan yang dikuasai dan ditadbir oleh British sepenuhnya. Dalam persidangan kedua pada 25 Julai 1946, Dato Onn bertegang leher sekali lagi dengan Gabenor Malayan Union, Edward Gent sewaktu membincangkan bidang kuasa Perundangan di dalam Malayan Union ini. Dato Onn menolak kuasa meluluskan undang-undang diberikan kepada kerajaan British. Bagi Dato’ onn, setiap undang-undang Tanah Melayu patut diluluskan oleh Tanan Melayu. Walaupun, Malcolm MacDonald memberi jaminan bahawa kerajaan British akan sentisa menjaga kepentingan Tanah Melayu, Dato’ Onn tetap berkeras. Akhirnya, Gabenor Jeneral Malcolm MacDonald bersetuju “Federal Council” berkuasa dalam memutuskan undnag-undang Taman Melayu sepenuhnya tanpa campur tangan Parlimen British.10 Keadaan ini telah dapat diperbaiki dalam Persekutuan 1948. Jawatan menteri dihidupkan dan diselaraskan di semua negeri Melayu. Kuasa eksekutif diberikan kepadanya, dan Menteri Besar menjadi Pengerusi Majlis Mensyuarat Negeri rang undang-uandang di peringkat negeri dan menghantar wakil negeri iaitu Menteri Besar kepada Federal Council.11 Dengan itu, negeri Melayu dan rakyat tempatan mempunyai banyak suara di dalam pentadbiran dan perundangan negeri-negeri Melayu dan Tanah Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak British telah membuka ruang untuk menerima PTM melalui perundangan.
2.3 Peranan Raja-raja Melayu dikembalikan
Dalam Malayan Union, Raja-Raja Melayu yang telah menyerahkan semua kuasa pentadbiran kepada Ratu England dan Wales, telah hilang kedudukannnya sebagai Raja-Raja. Mereka hanya menjadi anggota Adivisory Council tentang agama Islam yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Orang melayu menentang kerana tidak puas hati dengan cara tandatangan Raja-Raja Melayu diambil. Harold MacMichael menggunakan ancaman12 dan tidak membenarkan Raja-Raja Melayu mendapat nasihat yang cukup daripada ahli-ahli Majlis mensyuarat Negeri.13 Hal ini dapat dibuktikan apabila ia terjadi kepada Sultan Kedah. Sultan kedah ketika itu ialah Sultan Badlishah. Baginda enggan menurunkan tandatangannnya, sehingga pihak British mengancam akan digantikan dengan adindanya. Mereka juga menetang kehilangan kedaulatan Raja-raja melayu sebagai ketua dan simbol ketuanan negeri-negeri melayu.14 Penghapusan kedaulatan Raja-Raja Melayu ini sangat berat kerana orang Melayu Kehilangan kepimpinan tradisional mereka.
Dalam mensyuarat ketiga pada 26 jun 1946, Dato Onn menolak kehendak Setiausaha Negeri bagi Tanah Jajahan, Sir George Hall yang mahu mengekalkan bidang kuasa negeri-negeri Melayu dalam tangan Raja England. Bagi Dato Onn, itu bererti kerajaan British tidak menarik balik Perjanjian MacMichael.15 Ini bercanggah dengan dasar penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Orang Melayu tidak bersetuju pengambilan penuh kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negeri-negeri Melayu oleh Perjanjian McMichael.
Tetapi dalam Persekutuan 1948, Raja-raja melayu diiktiraf semula sebagai ketua, negeri-negeri melayu meletak kedudukannya Ruler-in-Council sebagai ketua agama dan adat istiadat negerinya. Kerjasama Raja-raja Melayu dan UMNO telah berjaya membentuk sebuah persekutuan, pengiktirafan kedaulatan Raja-raja Melayu. Hal ini kerana British berasa goyah apabila Raja-raja Melayu bersatu dengan UMNO dan tidak menyokong Malayan Union lagi . Hal ini jelas menunjukkan bahawa PTM telah diterima oleh pihak British apabila mereka sedia untuk melepaskan kuasa kepada Raja-raja Melayu semula.
2.4 Kerakyatan di Tanah Melayu
Di dalam Malayan Union, kerakyatannya terbuka kepada sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu, Singapura dan Tanah Jajahan Takluk British yang lain. Ia juga mengadakan tempoh masa menetap yang pendek iaitu lima tahun sahaja, bagi sesiapa yang berminat. Seorang yang berumur 18 tahun mempunyai kelakuan yang baik dan sanggup taat setia kepada Raja England, layak menjadi rakyat Malayan Union. Syarat-syarat yang longgar akan menyebabkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang melayu.16 Sekiranya orang bukan melayu mendapat hak yang sama, ini akan menggugat hak istimewa dan kedudukan politik orang Melayu.17 Keadaan ini dianggap berbahaya terhadap kedudukan politik, ekonomi pada masa hadapan orang Melayu.
Dalam perbincangan terakhir pada 20 November 1946, Dato’ Onn tidak bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung Gabenor Jeneral Asia Tenggara, Sir Ralph Hones yang mahu kerakyatan Persekutuan didasarkan kepada sesiapa sahaja yang mengaku taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu sebagai tanah airnya. Dalam soala kerakyatan, Dato’ Onn membantah sumpah taat setia rakyat Persekutuan ditujukan kepada Raja England. Bagi Raja-Raja Melayulah yang berhak kepada kesetiaan rakyatnya. Jika rakyat Persekutuan Mengangkat sumpah kepada Raja England, ini beerti negeri-negeri Melayu adalah jajahan takluk British.18 Bagi Dato’ Onn yang disokong oleh Raja-Raja Melayu, Kerakyatan Persekutuan itu hanya terbuka dan didasarkan kepada rakyat Raja, negeri-negeri Melayu sahaja. Dato Onn, Umno dan Raja-raja Melayu tidak berganjak daripada kehendak mereka. Ini menyebabkan perbincangan panas berlaku selama satu jam di antara ketiga-tiga pihak.
Akhirnya, mereka mengambil jalan tengah. Dato’ Onn dan Raja-Raja Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai Rakyat Persekutuan dengan syarat yang ketat dan British pula menerima kerakyatan jus soli bagi orang Melayu sahaja.19 Gabenor Jeneral Malcolm MacDonald bersetuju dengan Dato Onn kerana perkara itu sangat jelas. Dengan itu, angkat sumpah rakyat Persekutuan diarah kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dengan persetujuan itu, rangka Perjanjian Persekutuan 1948 diadakan. Ia diterima oleh ketiga-tiga pihak pada November 1946. Hal in jelas menunjukkan bahawa pihak British telah menerima PTM dan menolak jus soli dalam Malayan Union.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, hasil daripada semangat nasionalisme penduduk Melayu yang kuat, maka mereka telah berjaya memujuk Kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union yang dianggap sebagai satu bentuk penjajahan baru di Tanah Melayu oleh Kerajaan British. Dengan itu, bolehlah dikatan bahawa penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union dari tahun 1946-1948 itu telah menghasilkan beberapa natijah yang jelas dalam gerakkan kebangsaan orang lain. Dengan mansuhnya Malayan Union, maka kedaulatan serta maruah rakyat Melayu berjaya dikekalkan dan seterusnya berjaya membawa Tanah Melayu kepada satu bentuk Kerajaan baru, iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu,maka ia telah membuka ruang kepada orang Melayu untuk melibatkan diri dalam politik negara dan memerintah tanah air sendiri. Proses penentangan Malayan Union ini juga telah dapat melahirkan UMNO sebagai parti utama orang Melayu yang bertahan sehingga kini. Ia turut membuka ruang para pemimpin Melayu untuk membawa kemerdekaan kepada negara yang akhirnya berjaya diperolehi pada 31 Ogos 1957. Disamping itu, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah perjuangan sebelum merdeka perlulah diambil iktibar bagi pedoman kepada masyarakat kini dan generasi –generasi yang akan mendatang bagi mempertahankan kedaulatan negara kita.
Nota Hujung
- Ramlah Adam, Gerakan Politik Melayu 1945-1957, 2013, hlmn 1-2
- International Law Book Services, Pengajian Malaysia Sejarah Tanah Melayu, 2010, hlmn 162
- Akhbar Majlis, 28/2/46
- Ramlah Adam, Gerakan Politik Melayu 1945-1957, 2013, hlmn 9
- Ibrahim Mahmood, Sejaran Perjuangan Bangsa Melayu, 1981, hlmn 87
- Ibid, hlm 87-89
- Ibid, hlmn 103
- Ramlah Adam, Gerakan Politik Melayu 1945-1957, 2013, hlmn 15
- Mohamed Nordin Sopiee, From Malayan Union to Singapore Separation Communal Relations in Malaya, 1967, hlmn 36
- CO 537/1530, Record of Meetings Held with Malays Rulers and Leading Malays at King’s House on the 25th July, 1946
- Ramlah Adam, Gerakan Politik Melayu 1945-1957, 2013, hlmn 243-246
- Ramlah Adam, UMNO: Organisasi dan Kegiatan Politik, Kota Bharu: Mohd Nawi Book Store, 1978, hlmn 31.
- Mohamad Yunus Hamidi, Sejarah Pergerakan Kebangsaan Melayu, 1966, hlmn 89.
- R.J. Stockwell, British Policy and Malay Politics during The Malayan Union Experiment 1942-1948, 1979. hlmn 80
- Ramlah Adam, Gerakan Politik Melayu 1945-1957, 2013, hlmn 19
- Ibid, hlmn 247
- K.J. Ratnam, Communalism and Political Process in Malaya, 1965, hlmn 46-47
- Akhbar Majlis, 25/5/48
- Federation of Malaya, Government Gazette Extraordinary, The Federation of Malaya Agreement 1948, hlm 73-75
RUJUKAN
Akhbar Majlis 1946.
Akhbar Majlis 1948.
CO537- Supplementary Correspondence Straits Settlements, Federated Malay
States and Singapore 1946-1953.
Federation of Malaya, Government Gazette Extraordinary, The Federation of Malaya
Agreement 1948, Kuala Lumpur.
Ibrahim Mahmood. (1981). Sejaran Perjuangan Bangsa Melayu. Pustaka Antara:
Kuala Lumpur.
International Law Book Services. (2010). Pengajian Malaysia Sejarah Tanah Melayu.
Selangor: Golden Books Centre SDN.BHD.
Kassim Thukiman. (2002). Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik. Johor Bharu:
Cetak Ratu SDN.BHD.
K.J. Ratnam. (1965). Communalism and Political Process in Malaya. Kuala Lumpur:
University of Malaya.
Mohamad Yunus Hamidi. (1966). Sejarah Pergerakan Kebangsaan Melayu. Pustaka
Antara: Kuala Lumpur.
Mohamed Nordin Sopiee. (1967). From Malayan Union to Singapore Separation
Communal Relations in Malaya: UMP: Kuala Lumpur.
Ramlah Adam. (1978). UMNO: Organisasi dan Kegiatan Politik. Kota Bharu: Mohd
Nawi Book Store.
Ramlah Adam. (2013). Gerakan Politik Melayu 1945-1957. Kangar: Unit Penerbitan
Univeristi Malaysia Perlis.
Simandjundantak, B. (1995). Federealism Tanah Melayu 1945-1963. Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti.
Stockwell R.J. (1979). British Policy and Malay Politics during The Malayan Union
Experiment 1942-1948. Monograph No.8. JMBRAS: Kuala Lumpur.