Oleh Zatty Zulaikha

1.0       PENGENALAN

Pengajaran makro merangkumi segala proses pengajaran, sekurang-kurangnya satu unit kemahiran, dalam sesuatu waktu pelajaran. Ia merupakan simulasi satu pengajaran yang lengkap bermula dengan permulaan pengajaran, perkembangan dan penutup. Pengajaran makro merupakan kesepaduan teknik-teknik pengajaran mikro yang disokong oleh perancangan pengajaran pembelajaran yang telah dipelajari dalam kursus PRKA3012 Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran. Bagi memenuhi tugasan kerja kursus, satu simulasi pengajaran makro telah dijalankan secara berkumpulan. Rancangan Pengajaran Harian (RPH) turut dibina bagi memudahkan pelaksanaan pengajaran makro yang meliputi semua fasa pengajaran lengkap.

            Pengajaran makro yang dilaksanakan adalah berdasarkan mata pelajaran Sejarah Tahun 4 dengan memilih standard kandungan Kehidupan Manusia Zaman Prasejarah dan standard pembelajaran, menghuraikan ciri kehidupan dari aspek kegiatan sosial dan ekonomi manusia Zaman Prasejarah serta menjelaskan sikap bersedia untuk menghadapi perubahan persekitaran. Laporan refleksi dibina setelah selesai proses pengajaran makro bagi menganalisis kekuatan dan kelemahan yang terdapat pada pengajaran. Refleksi amat penting untuk memberi peluang kepada guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan kelemahan diri semasa mengajar. Dengan ini, guru dapat membuat pengubahsuaian serta membaiki proses pembelajaran mereka dengan efektif (Kanippan, 2013). Oleh itu, refleksi pengajaran makro adalah berdasarkan analisis SWOT bagi mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman semasa merancang dan melaksanakan pengajaran makro.

2.0       ANALISIS SWOT

Analisis SWOT meliputi proses merancang pengajaran, menyediakan bahan mengajar dan pelaksanaan simulasi pengajaran makro.

2.1       KEKUATAN

Kekuatan yang dikenalpasti dalam pengajaran makro yang telah dilaksanakan adalah dari aspek kepelbagaian kaedah, pembelajaran koperatif dan penggunaan bahan bantu mengajar (BBM). Aktiviti yang dirancang mengintegrasi pelbagai kaedah seperti kaedah pembelajaran koperatif, kaedah pemetaan i-Think, kecerdasan pelbagai dan pembelajaran berbantukan komputer. Garapan pelbagai kaedah ini adalah bagi memghasilkan satu set pengajaran yang menarik serta mencapai hasil pembelajaran, malah memberi kefahaman yang lebih jelas kepada murid terhadap isi pelajaran. Misalnya, kaedah pembelajaran berbantukan komputer dan pemetaan i-Think. Murid perlu menganalisis video yang ditayang oleh guru dan menyusun maklumat yang diperolehi dalam bentuk peta i-Think. Proses analisis maklumat oleh murid akan membolehkan murid untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai ekonomi sara diri masyarakat zaman Prasejarah.

            Selain itu, kaedah-kaedah yang digunakan juga turut menggalakkan elemen kolaboratif iaitu kerjasama dan muafakat antara guru-murid dan murid-murid secara aktif dan menyeluruh yang membolehkan pertukaran idea dan pandangan antara murid (Kementerian Pendidikan Malaysia, t.t.). Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan memerlukan murid untuk bekerja sebagai satu kumpulan untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru. Malah, teknik sumbang saran adalah bagi menggalakkan pertukaran idea serta mendapatkan pandangan murid tentang kegiatan ekonomi masyarakat zaman Prasejarah. Pembelajaran kolaboratif dapat membantu pelajar membangunkan tanggungjawab bersama semasa berinteraksi, yang mana idea-idea dan pemikiran mereka sendiri boleh berkembang dan boleh menguatkan lagi pemahaman mereka sendiri (Jasmi, et. al, 2012). Tambahan pula, kaedah-kaedah yang digunakan adalah selari dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) yang mementingkan proses pembelajaran yang berpusatkan murid berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, dan kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika (Kementerian Pendidikan Malaysia, t.t.).

            Kekuatan seterusnya adalah penggunaan BBM dalam pengajaran bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menarik serta menyeronokkan. BBM yang pelbagai seperti gitar untuk mengiringi nyanyian sampul misteri yang mengandungi gambar peralatan, video tayangan kegiatan ekonomi sara diri, gambar dan lembaran kerja dapat memberi keseronokan, mendorong perasaan ingin tahu serta menimbulkan keterujaan dalam diri murid. Penggunaan BBM turut digunakan untuk menyatakan gambaran sebenar teori yang dipelajari dan hal ini dapat menarik minat murid serta meningkatkan motivasi mereka untuk memberi sepenuh perhatian kepada pengajaran guru (Mohd. Izham et. al, 2007 dalam Jasmi et. al, 2011). Penggunaan bahan semasa mengajar juga dapat menggalakkan murid untuk berimaginasi (Abdul dan Nor, 2015). Inovasi terhadap peta i-Think dengan menggunakan bahan maujud yang diperoleh di luar bilik darjah turut menjadikan pengajaran guru lebih menarik dan mengasah kemahiran murid menyelesaikan masalah apabila mereka perlu memilih bahan maujud yang mempunyai perkaitan dengan peralatan masyarakat zaman Prasejarah. Jelaslah bahawa penggunaan BBM bukan sahaja menjadikan pengajaran lebih menarik, malah menjana kreativiti murid semasa proses pembelajaran.

2.2       KELEMAHAN

Antara kelemahan yang didapati adalah perancangan aktiviti yang terlalu banyak serta penguasaan teknik atau kemahiran dan isi kandungan oleh guru. Bagi aspek perancangan aktiviti, penerapan pelbagai kaedah tidak dinafikan akan menghasilkan pengajaran yang menarik dan menyeronokkan. Namun, isi kandungan dan aktiviti yang banyak akan menyebabkan pengurusan masa menjadi tidak efisien (Dallat, 2013). Keadaan ini boleh menjejaskan kelancaran pengajaran dan menyukarkan guru untuk mencapai matlamat pembelajaran. Aktiviti-aktiviti yang dirancang terlalu banyak dan pembahagian tempoh pengajaran bagi setiap fasa tidak bersesuaian dengan jumlah serta pelaksanaan aktiviti. Misalnya, bagi fasa aktiviti pengajaran, murid perlu menganalisis video, mencari bahan maujud di luar kelas, membina peta i-Think dan melaksanakan aktiviti gallery walk. Masa yang diperuntukkan bagi aktiviti pengajaran pertama hanya 12 minit sedangkan aktiviti-aktiviti ini memerlukan masa yang lebih lama terutamanya bagi murid mencari bahan maujud serta membuat persediaan bagi aktiviti gallery walk. Kelemahan pengurusan masa semasa merancang pengajaran akan menyebabkan proses PdP menjadi tidak sistematik.

Kelemahan seterusnya adalah dari segi penguasaan kemahiran mikro dan teknik pengajaran serta isi kandungan turut mempengaruhi keberkesanan pengajaran serta kesediaan guru. Rajendran (2010) yang menyatakan kesediaan guru semasa proses PdP bergantung kepada aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap yang perlu dimiliki untuk mengajar. Melalui pengajaran makro yang telah dilaksanakan, terdapat beberapa kemahiran mikro yang masih lemah dan perlu diperbaiki. Antaranya adalah kemahiran menerang menggunakan contoh dan illustrasi. Kelemahan terdapat pada cara penyampaian iaitu kualiti suara dengan variasi dalam pic dan intonasi yang sesuai. Penerangan yang menggunakan satu intonasi akan menyebabkan murid berasa bosan. Kesesuaian isyarat badan dan pergerakan yang statik semasa menerangkan illustrasi gambar juga akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru. Selain itu, penguasaan isi kandungan yang lemah mengenai masyarakat zaman Prasejarah turut mempengaruhi penyampaian guru apabila guru tidak dapat menyampaikan maklumat dengan jelas.

2.3       PELUANG

Peluang bagi penambahbaikan pengajaran makro ini adalah guru perlu merancang pengajaran dengan sebaik mungkin terutamanya pengurusan masa pengajaran. Perancangan pengurusan masa adalah penting untuk memastikan masa yang ada dapat digunakan dengan tepat dan berkesan oleh guru. Perancangan masa yang baik dapat mengelakkan dari berlakunya pelaksanaan PdP yang tidak bersistem (Husairi, 2004). Semasa merancang masa, guru juga perlu bersedia dengan kemungkinan dan ancaman yang bakal berlaku semasa pengajaran seperti kawalan kelas, masalah teknikal dan kesediaan murid. Semua ini penting agar guru lebih bersedia dan memastikan guru dapat mengajar dengan berkesan. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu guru menyesuaikan diri dengan pelbagai tuntutan dan kebuntuan kerja yang dihadapi sewaktu melaksanakan tugas sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran (Gordon, 1982 dalam Husairi, 2004).

            Selain itu, penambahbaikan boleh dilakukan terhadap penguasaan kemahiran pengajaran dan isi kandungan mata pelajaran sejarah. Sebelum menguasai sesuatu kemahiran, guru perlu memahami bagaimana kemahiran tersebut dilaksanakan dalam pengajaran. Dalam melaksanakan PAK21, guru perlu meningkatkan kefahaman tentang kemahiran pelaksanaan pengajaran (Nurzarina dan Rosli, 2017). Penguasaan terhadap isi kandungan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan pengajaran Sejarah. Hal ini kerana penguasaan kemahiran dan pengetahuan oleh guru mata pelajaran sejarah dapat mewujudkan pembelajaran sejarah yang bermakna dengan menerapkan elemen kemahiran pemikiran sejarah bagi memastikan murid memahami dan menghayati kandungan sejarah (Monte, 2011 dalam Kaviza, 2018). Malah, fokus kurikulum sejarah mencakupi ilmu pengetahuan, asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS), penerapan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik (EKNS) (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014). Ketiga-tiga komponen ini perlu diintegrasi secara bersepadu oleh guru mata pelajaran sejarah bagi memupuk minat murid terhadap Sejarah. Kejayaan guru mengintegrasi komponen-komponen ini akan membantu murid untuk membina pemahaman asas tentang sejarah negara.

2.4       ANCAMAN

Antara ancaman yang dapat dikenalpasti adalah masa pengajaran yang terhad dan juga kesediaan murid untuk melaksanakan aktiviti. Ancaman ini boleh memberi kesan semasa proses pengajaran berlangsung. Peruntukan masa bagi pengajaran Sejarah adalah sebanyak dua waktu iaitu satu jam pengajaran seminggu. Peruntukan masa ini tidak mencukupi bagi menjalankan pelbagai aktiviti dan kaedah dalam PdP Sejarah. Kajian yang dijalankan oleh Mohamad Azahar (2006 dalam Mohd Haidzir dan Norasmah, 2019), mendapati bahawa tempoh masa pengajaran yang terlalu pendek sehingga guru tidak sempat menjalankan aktiviti pentaksiran. Hal ini menunjukkan bahawa masa yang telah diperuntukkan sememangnya tidak mencukupi untuk melaksanakan keseluruhan pengajaran termasuklah aktiviti pentaksiran. Oleh itu, guru perlu bijak merancang pengajaran berdasarkan peruntukan masa pengajaran disamping menjalankan aktiviti pengajaran yang menyeronokkan.

Selain itu, kesediaan murid dalam melaksanakan aktiviti juga akan mempengaruhi keberkesanan dan kelancaran proses PdP. Antara cabaran yang telah dikenal pasti dalam PAK21 adalah cabaran yang melibatkan kesediaan murid untuk terlibat dalam proses pembelajaran (Husni, et. al, 2018 dalam Mashira, 2019). Kesediaan murid ini turut mempengaruhi motivasi murid untuk belajar. Oleh itu, guru perlu mengetahui latar belakang murid seperti tahap kecerdasan dan gaya pembelajaran murid sebelum menetapkan objektif pembelajaran serta merancang aktiviti. Hal ini bagi memastikan aktiviti yang dirancang adalah bersesuaian dengan kecerdasan murid dan seterusnya membolehkan objektif pembelajaran tercapai.

3.0       RUMUSAN

Pelaksanaan pengajaran makro memberi pengalaman langsung kepada guru pelatih sebagai persediaan menghadapi situasi sebenar di sekolah. Proses merancang pengajaran turut mendedahkan guru pelatih tentang pembinaan RPH yang baik serta bagaimana memilih kaedah, teknik dan kemahiran yang sesuai untuk mencapai matlamat pembelajaran. Melalui pengajaran makro juga, faktor perancangan aktiviti pengajaran, pengurusan masa, penggunaan BBM dan kesediaan murid didapati mempengaruhi pengajaran guru. Refleksi yang dilakukan adalah bagi mengenalpasti kelemahan dan ancaman semasa melaksanakan pengajaran. Penambahbaikan dapat dilakukan terhadap kelemahan semasa pengajaran manakala ancaman akan ditangani dengan lebih baik. Guru akan lebih peka terhadap ancaman yang bakal berlaku dan mereka akan lebih bersedia untuk menangani ancaman tersebut. Amalan refleksi ini perlu diteruskan bagi pengajaran-pengajaran yang akan datang bagi meningkatkan kompetensi guru dalam melaksanakan PdP yang berkesan, menyeronokkan serta memberi makna kepada murid.

RUJUKAN

Abdul Halim Masnan, & Nor Mashitah Mohd Radzi. (2015). Pengetahuan Persediaan Pengajaran Guru Prasekolah Baru. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, 4, 90–108.

Dallat, J. (2013). Set Induction and Closure: Key Teaching Skills. Teaching and Learning, Dundalk Institute of Technology.

Husairi Jikan. (2004). Pengurusan Masa Guru dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Teknik dan Vokasional (Elektif – Sains Pertanian) di Sekolah-sekolah Menengah Daerah Johor Bahru. Laporan projek Ijazah Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia.

Jasmi, K. A., Ilias, M. F., Tamuri, A. H. & Mohd Hamzah, M. I. (2011). Amalan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam Kalangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic Education, 3(1), 2011, ms. 59-74.

Jasmi, K. A., Talip, O., & Ilias, M. F. (2012). Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam Berpusatkan Pelajar (Teaching Strategies and Student-Centered Learning in Islamic Education) in Seminar Antarabangsa Perguruan dan Pendidikan Islam [SEAPPI2012] (International Seminar on Teacher and Islamic Education [SEAPPI2012]), at Le Grandeur Palm Resort, Senai, Johor Bahru, on 8-9 March, 2012, pp. 33-40.

Kanippan, T. M. (2013). Kemahiran dan Amalan Penulisan Refleksi dalam Kalangan Guru di Tiga Buah Sekolah Menengah di daerah Johor Bahru. Laporan Projek Sarjana Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia.

Kaviza, M. (2018). Pengalaman Mengajar atau Latihan Profesional Guru dalam Mempengaruhi Penerapan Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam Mata Pelajaran Sejarah di Sekolah Menengah. EDUCATUM – Journal of Social Science (EJOSS), Vol. 4.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014) Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran: Sejarah Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (t.t.). Pendidikan Abad ke-21. Portal IPGKPM. Diakses pada 24 Mac 2020, dari http://ipgkpm.edu.my/download/PAK21-KPM.pdf.

Mashira Yahaya, Rusyati Hanafiah, Nor Sazila Zakaria, Rohana Osman & Khairul Anuar Bahrin. (2019). Amalan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Guru-guru Sekolah Rendah. Jurnal IPDA, Bil. 26, 2019, ms. 13-24.

Mohd Haidzir Yusof & Norasmah Othman. (2019). Isu dan Permasalahan Pentaksiran Alternatif dalam Sistem Penilaian di Malaysia. e-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2019, pada 24-25 April 2019, di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Nurzarina Amran, & Rosli Roslinda. (2017). Kefahaman guru tentang kemahiran abad ke-21. In S. Z. Ibrahim, A. E. Mat Zain, S. Sharil, & A. N. Zainal Arifin (Eds.), Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (p. 412). Selangor: Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Rajendran Nagappan. (2010). Teaching Thinking Skills at Institutions of Higher Learning : Lessons Learned. Pertanika Journal of Social Science and Humanities, 18, pp. 1–14.