Oleh Zazu & Faqi.
PENGENALAN
Pengajaran mikro membenarkan guru pelatih untuk mempraktikkan teknik, strategi atau prosedur pengajaran, mengurangkan rasa bimbang dengan berlatih di persekitaran yang menggalakkan, menguji pendekatan inovatif terhadap konsep pengajaran, berlatih pengajaran berkumpulan dan memperoleh respons terhadap pengajaran dengan kadar yang segera (Nurul et. al, 2011). Oleh itu, satu simulasi dan penilaian ke atas pengajaran mikro telah dilaksanakan oleh pelajar PISMP Sejarah Jun 2018 bagi memenuhi tugasan kerja kursus PRKA3012 Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran disamping memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran mikro yang telah dipelajari. Tugasan ini memerlukan pelajar untuk menilai simulasi pengajaran yang telah dilaksanakan oleh kumpulan yang telah ditetapkan.
Kumpulan pembentang telah memilih untuk melaksanakan simulasi kemahiran peneguhan dan memilih tajuk Kami Rakyat Malaysia dengan standard kandungan Perayaan Masyarakat Malaysia. Kemahiran peneguhan terdiri daripada peneguhan positif, negatif, verbal dan bukan verbal yang bertujuan meningkatkan motivasi murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kumpulan ini telah melaksanakan simulasi kemahiran ini bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan murid untuk menghasilkan sampul duit bagi perayaan kaum-kaun di Malaysia (rujuk lampiran RPH). Kumpulan ini memfokuskan kepada kemahiran guru memberi peneguhan kepada murid bagi menggalakkan mereka untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Melalui simulasi pengajaran yang telah dijalankan, pemerhatian dan analisis telah dijalankan bagi mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang terdapat pada pelaksanaan kemahiran mikro tersebut bagi tujuan penambahbaikan dan meningkatkan kompetensi pengajaran guru.
KEKUATAN
Berdasarkan video simulasi pengajaran, secara keseluruhannya, guru tersebut memberikan penerangan dan arahan terhadap aktiviti yang dijalankan dengan jelas. Hal ini memudahkan murid untuk mengikuti aktiviti yang dirancang oleh guru. Kejelasan dalam memberikan arahan merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu ada pada setiap guru. Kejelasan dan kesuaian penerangan serta arahan oleh guru akan membantu guru untuk mengawal kelas dengan cekap serta dapat menyampaikan isi pelajaran kepada murid dengan berkesan (Farah dan Maslida, 2015). Guru tersebut kerap kali mengulangi arahan bagi memastikan semua murid dapat memahami apa yang mereka lakukan dalam aktiviti tersebut. Kejelasan dan kesesuaian nada arahan guru amatlah penting untuk guru mengawal kelas serta dapat menyampaikan isi pelajaran kepada murid dengan berkesan.
Selain itu, guru juga menerapkan kemahiran peneguhan positif secara verbal dengan menggunakan lisan positif. Peneguhan secara verbal ini banyak menggunakan ungkapan yang mengalakkan serta pujian bagi menghargai usaha murid ketika menjawab soalan dan menyiapkan tugasan yang diberikan. Dapat dilihat di awal pengajaran, guru tersebut menggunakan perkataan “betul” dan tidak menidakkan jawapan murid ketika disoal mengenai sampul duit raya. Tujuan guru sentiasa menggunakan lisan positif ini adalah untuk meningkat motivasi diri murid untuk terus bersemangat dan mengalakkan murid untuk lebih tekun dalam setiap aktiviti pembelajaran. Teori pengukuhan Skinner menyatakan individu perlu dimotivasikan melalui elemen pengukuhan yang positif bagi membentuk tingkah laku yang positif (Rayzila et. al, 2016). Dalam pada itu, guru turut menggunakan perkataan “bagus” bagi memuji tindakan murid yang berjaya menyediakan peralatan seperti yang dikehendaki oleh guru. Dalam hal ini, guru menggunakan reverse psychology terhadap murid yang tidak berjaya menyediakan peralatan seperti yang dikehendaki. Mereka ini akan berasa tercabar dan akan berusaha untuk menyediakan peralatan tersebut di lain waktu. Maka disini dapat dilihat, kemahiran peneguhan posititif dari segi verbal juga mampu untuk membaiki disiplin murid (Zalina et. al, 2016).
Seterusnya, peneguhan gerak isyarat positif juga turut digunakan oleh guru melalui isyarat tangan atau badan. Misalnya di awal aktiviti pengajaran, guru mengangguk kepala dan memberikan senyuman semasa menyebut perkataan ”bagus” apabila murid memberi respon terhadap soalan yang diberikan. Dalam pada itu, isyarat bukan verbal ini juga disertai oleh lisan di mana walaupun guru tidak mengerakkan tangan untuk mengalakkan murid menjawab, guru menggunakan lisan positif untuk memberi semangat kepada murid untuk menjawab. Misalnya guru menyoal murid A dan terus beralih ke murid B supaya dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk menyampaikan pendapat mereka. Aspek diluar kemahiran peneguhan yang guru ini terapkan adalah nilai kebersihan. Penerapan nilai kebersihan di akhir aktiviti akan memberi pengetahuan kepada murid bahawa kebersihan merupakan tanggungjawab bersama dan mereka perlu membersihkan tempat duduk mereka sebelum meneruskan aktiviti seterusnya.
KELEMAHAN
Kelemahan yang dapat dilihat daripada video tersebut, tiada pengukuhan melalui sentuhan. Hal ini demikian kerana ketiadaan murid yang mempengaruhi kelancaran pelaksanaan simulasi pengajaran mikro dan seterusnya menyukarkan guru untuk mempraktikkan kemahiran peneguhan. Dalam konteks situasi sebenar di dalam bilik darjah, sentuhan perlu juga dilakukan seperti mengusap belakang murid sebagai tanda memuji mereka ketika mereka tekun melakukan kerja. Melalui cara ini murid akan berasa lebih dihargai, disayangi dan selamat untuk berada di sekolah. Kelemahan kedua yang juga dapat dikenalpasti adalah penggunaan bahasa tidak formal oleh guru. Di dalam video tersebut, perkataan yang banyak diulang ialah perkataan “okay” yang sepatutnya menggunakan bahasa formal, bahasa Melayu iaitu ‘baiklah’. Bahasa formal atau bahasa ibunda digunakan kerana ia mudah difahami dan jelas kepada murid. Aspek bahasa merupakan alat yang sangat penting dalam proses PdP kerana ia bertujuan untuk menarik perhatian murid dan memudahkan kefahaman murid tentang tajuk yang akan dipelajari (Mohd Khairuddin et.al, 2014). Oleh itu, guru ini perlu lebih peka terhadap penggunaan bahasa standard yang dicampurkan. Hal ini kerana pertuturan yang baik menggunakan bahasa standard adalah lebih mudah difahami oleh murid.
PELUANG
Selain daripada menggunakan lisan positif, guru boleh memberi peneguhan melalui dampingan. Guru boleh mendampingi murid dengan cara mendekati mereka ataupun berdiri di sebelah mereka ketika memberikan pujian terhadap hasil kerja mereka. Hal ini kerana gerak badan guru melalui dampingan dapat mengukuhkan mesej bahawa guru menghargai hasil kerja murid semasa memberi pujian. Mesej ini amat penting bagi mempamerkan keikhlasan guru menghargai usaha murid dan seterusnya memotivasikan mereka untuk meneruskan aktiviti pembelajaran. Kaedah dampingan ini juga boleh dikategorikan sebagai komunikasi bukan verbal apabila menggunakan sentuhan dan gerakan badan untuk menyampaikan mesej. Komunikasi bukan verbal ini mampu membantu keberkesanan komunikasi verbal. Hal ini komunikasi bukan verbal merupakan satu bentuk mesej yang penting kerana boleh menafsir emosi, personaliti, tujuan dan juga status sosial seseorang (Noor et. al, 2018). Keadaan ini juga akan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif melalui hubungan positif guru dan murid yang terbina melalui peneguhan positif ini. Guru juga boleh mempertingkatkan penguasaan berbahasa bagi memudahkan dan melancarkan penyampaian mesej secara verbal.
Guru juga boleh memperbaiki simulasi pengajaran mikro dengan melibatkan murid yang lebih ramai dalam aktiviti simulasi tersebut. Hal ini bagi memastikan keberkesanan pengajaran mikro yang melibatkan kumpulan kecil murid yang terdiri daripada rakan sebaya. Kumpulan murid ini akan memberi respon terhadap aktiviti yang dijalankan dan guru dapat mengaplikasikan kemahiran mikro dengan lebih berkesan. Kehadiran murid ini juga dapat membantu guru mengaplikasikan kemahiran peneguhan bukan verbal yang memerlukan sentuhan secara langsung oleh guru terhadap murid.
ANCAMAN
Ancaman yang dikenalpasti dalam simulasi pengajaran ini adalah kurangnya murid untuk melaksanakan aktiviti. Keadaan ini menyebabkan guru tidak dapat menerapkan kemahiran peneguhan dengan berkesan. Misalnya, guru tidak boleh mengaplikasi peneguhan secara dampingan dan sentuhan tanpa kehadiran murid. Kemahiran ini memerlukan guru untuk berada berhampiran atau di sisi murid. Selain itu, tanpa kehadiran murid juga, aktiviti menghias sampul duit tidak dapat dilaksanakan dengan betul apabila guru tidak dapat menunjukkan langkah-langkah menyediakan sampul tersebut. Malah, ancaman ini turut menyukarkan penilai untuk membuat tafsiran terhadap respons dan hasil kerja murid semasa guru membuat peneguhan positif. Ancaman telah menyukarkan proses simulasi pengajaran mikro yang berfungsi sebagai platform kepada guru pelatih untuk mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari. Hal ini kerana simulasi yang melibatkan kumpulan kecil ini juga adalah bagi mengurangkan masalah kompleks dan memastikan guru pelatih menguasai kemahiran pengajaran secara beransur-ansur (Nurul et. al, 2011).
PENUTUP
Kesimpulannya, simulasi pengajaran mikro amat peting bagi membolehkan guru pelatih meningkatkan penguasaan mereka terhadap kemahiran-kemahiran pengajaran. Malah penguasaan teknik asas dalam pengajaran dapat membantu bakal guru mengajar dengan yakin dan berkesan (Nurul et. al, 2011). Proses perancangan dan pelaksanaan pengajaran mikro seharusnya dimanfaatkan oleh guru pelatih sebagai persediaan mengajar sebelum menghadapi suasana sebenar di sekolah. Selain itu, penilaian yang dilakukan oleh rakan sebaya dan pensyarah perlu diberi perhatian bagi membaiki kelemahan dan mengatasi ancaman yang wujud
semasa pengajaran mikro. Guru juga perlu menguasai kemahiran peneguhan atau pengukuhan ini bagi meningkatkan motivasi murid untuk melibatkan diri secara aktif disamping membina hubungan yang baik antara guru dan murid. Tambahan pula, kemahiran peneguhan ini dapat mengurangkan tingkah laku bermasalah murid di dalam kelas dan seterusnya membantu guru mengawal kelas dengan baik. Jelaslah penguasaan kemahiran-kemahiran mikro dalam membantu meningkatkan kompetensi guru dalam pengajaran mereka serta memastikan keberkesanan pengajaran mereka.
RUJUKAN
Farah Hamid & Maslida Yusof. (2015). Analisis Struktur Fokus Dalam Komunikasi Arahan Guru Dalam Bilik Darjah. Jurnal Melayu, 14 (2). 346-361.
Mohd Khairuddin Abdullah, Khalid Hj Johari, Ag Yusof Ag Chuchu & Halimah Laji. (2014). Komunikasi Guru dalam Bilik Darjah dan Tingkah Laku Delinkuen Murid Sekolah Menengah. Jurnal Pemikir Pendidikan, 5, 59-77.
Noor Afzaliza Nazira Ibrahim, Maizatul Haizan Mahbob & Abdul Latiff Ahmad. (2018). Kepentingan Komunikasi Non Verbal dalam Organisasi. Journal of Social Sciences and Humanities, Vol. 15. No.5 (107-116).
Nurul Hana Jamaludin, Junita Sulaiman, Jamil Abd. Baser & Mohd Bekri Rahim. (November 2011). Keberkesanan Kursus Pengajaran Mikro Terhadap Program Latihan Mengajar di Sekolah. Prosiding Seminar Majlis Dekan-Dekan Pendidikan IPTA 2011: Transformasi Sistem Pendidikan Wadah Kemandirian Guru, pada 27-28 September 2011, di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, pp 571-582.
Rayzila Sofraz, Hanafi Yasin & Mokhtar Tahar. (2016). Penggunaan Peneguhan Positif: ganjaran Videolklip Kanak-Kanak Dalam Pengubahsuaian Tingkah Laku Murid Sindrom Down. Prosiding Seminar Modifikasi Tingkah Laku Murid Pendidikan Khas (Bermasalah Pembelajaran) Peringkat Negeri Johor, pada 13 Ogos 2016.
Zalina Katman, Hanafi Yasin & Mokhtar Tahar. (2016). Penggunaan Peneguhan Positif: Pujian dan Token Ekonomi untuk Modifikasi Tingkahlaku Murid Pendidikan Khas ‘Slow Learner’. Prosiding Seminar Modifikasi Tingkah Laku Pendidikan Khas (Bermasalah Pembelajaran) Peringkat Negeri Johor, pada 13 Ogos 2016.