PENGENALAN
Di Malaysia, sistem pendidikan yang diguna pakai pada hari ini telah mengalami banyak transformasi dari pelbagai aspek supaya pendidikan yang disampaikan kepada masyarakat adalah bermutu dan setanding dengan pendidikan di negara luar. Penyertaan aktif negara dalam Kajian Standard Prestasi Antarabangsa yang merupakan satu indikator bagi menentukan tahap keberhasilan sistem pendidikan negara. Standard Prestasi Antarabangsa dinilai berdasarkan kedudukan sesebuah negara dalam PISA dan TIMSS. Berdasarkan maklumat daripada Organisation for Economic Co-operation and Development. (2016), PISA merupakan satu penilaian yang dianjurkan oleh OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) terhadap pelajar yang berusia 15 tahun yang telah menerima pendidikan secara formal selama sembilan tahun. PISA telah dilaksanakan sejak tahun 2000 dan dijalankan 3 tahun sekali di negara-negara yang menyertainya. Penilaian PISA mencakupi aspek Literasi Saintifik, Literasi Bacaan dan Literasi Matematik bagi mengukur pengetahuan dan kemahiran murid. Penyertaan negara Malaysia dalam PISA adalah pada tahun 2009, 2012 dan pada tahun 2015 dengan catatan rekod yang kurang memuaskan. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2016), menerusi Laporan TIMSS 2015, TIMSS dijalankan oleh IEA (International Assosiation for the Evaluation of Educational Achievement) bermula pada tahun 1995 dan Malaysia telah menyertainya sebanyak 5 kali bermula pada tahun 1999. Penilaian TIMSS berfokuskan pentaksiran Matematik dan Sains untuk melihat keberkesanan pembelajaran Matematik dan Sains dalam kalangan pelajar. Objektif utama Malaysia menyertai kedua-dua instrumen kajian tersebut adalah untuk menambah baik struktur pendidikan negara terutama dalam aspek kurikulum, PdP dan kaedah pentaksiran yang dijalankan di sekolah. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan untuk menaik taraf sistem pendidikan negara.
IMPLIKASI STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Penglibatan Malaysia dalam PISA dan TIMSS memberi impak yang positif terhadap proses pemantapan sistem pendidikan negara seolah-olah sebagai pencetus kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan negara. Dalam usaha meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Standard Prestasi Antarabangsa, pihak KPM mengambil langkah yang drastik dalam menilai semula keberkesanan pendidikan negara. Kemerosotan dalam pencapaian PISA dan TIMSS menyebabkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), pada September 2013. Berdasarkan Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012), terdapat sebelas anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara dan salah satunya adalah, menyediakan kesamarataan akses dalam pendidikan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti setaraf dengan pendidikan antarabangsa. Berdasarkan anjakan tersebut, kerajaan membuat semakan semula terhadap kurikulum pendidikan negara dan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2017. Berdasarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (2016), melalui Buku Penerangan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) (semakan 2017), perbezaaan kurikulum dahulu dan sekarang adalah dari segi kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Kandungan kurikulum diubah serta ditambah baik supaya releven dengan perubahan global serta pedagogi yang dijalankan di dalam kelas adalah berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Berdasarkan Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013), kemerosotan dalam PISA dan TIMSS di Malaysia adalah disebabkan oleh kesukaran pelajar untuk mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Penerapan KBAT merupakan sesuatu yang perlu dalam proses PdP untuk menyediakan murid menjawab penilaian PISA dan TIMSS kerana keseluruhan penilaian tersebut menekankan konsep mengaplikasikan ilmu pengetahuan untuk menyelesaikan masalah. KBAT merupakan elemen pendidikan yang menekankan konsep pembelajaran inkuiri, keupayaan mengaplikasikan pengetahuan, penerapan kemahiran dan nilai semasa proses penaakulan, menggunakan kaedah refleksi untuk menyelasaikan masalah serta membuat keputusan, berinovasi dalam mencipta sesuatu. Perubahan yang dilakukan oleh KPM terutama dari segi perubahan kurikulum adalah semata-mata untuk meningkatkan keberhasilan murid serta meningkatkan kualiti pendidikan negara disamping melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat global.
Transformasi pendidikan yang dilakukan oleh pihak KPM dari semasa ke semasa, berpandukan keputusan PISA dan TIMSS dilihat mula membuahkan hasil apabila kejayaan demi kejayaan dicatat dalam sistem pendidikan negara. Tindakan KPM menambah baik kurikulum pendidikan adalah untuk mengembangkan potensi diri pelajar dalam pelbagai aspek dan memupuk pelajar untuk memiliki pemikiran yang divergen. Kesan pelaksanaan dan penerapan KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas dapat membantu melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan praktikal. Penerapan unsur tersebut juga membentuk pelajar yang berfikir secara luar kotak dan mempunyai kebolehan serta sifat daya saing yang tinggi. Hal ini dapat dibuktikan dengan kejayaan para pelajar dalam pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa. Buktinya dapat dilihat menerusi liputan Sinar Online (9 Ogos 2018), mengenai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah yang berjaya memperoleh tiga emas dalam pertandingan World Invention Creativity Olympic (WICO) peringkat antarabangsa yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan. Kejayaan ini menunjukkan bahawa kualiti pendidikan negara telah meningkat sehingga mampu melahirkan pelajar yang berinovasi dan memiliki sifat penerokaan yang tinggi. Ini bermakna, pelaksanaan KSSR dan KSSM (semakan semula) memberi impak yang baik dengan menitikberatkan pendekatan Konstruktivisme dan pendekatan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) dalam proses PdP, di samping penerapan unsur elemen merentas kurikulum bagi membantu pelajar menguasai aspek bahasa, sains dan teknologi, TMK, kreativiti dan inovasi seiring dengan pendekatan yang difokuskan oleh PISA dan TIMSS.
PISA dan TIMSS telah menjadi kayu ukur dalam sistem pendidikan negara terutama dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan. Dapatan tersebut bukan sahaja menunjukkan prestasi pelajar dalam pembelajaran dan pemikiran, namun turut memberikan gambaran terhadap kualiti guru dalam menyampaikan ilmu. Menurut Asmah Hj Ahmad (1989), kegiatan pengajaran guru haruslah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, mengubah tingkah laku dan mengubah kepercayaan serta menimbulkan pembelajaran. Dalam usaha pihak KPM untuk mencapai kedudukan satu pertiga daripada kelompok teratas kedudukan PISA dan TIMSS, pihak KPM telah menjadikan konsep Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) sebagai elemen penting dalam mencapai status sistem pendidikan maju bermula pada tahun 2014. PAK-21 adalah antara pelan transformasi yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 bagi memastikan kemajuan negara dalam bidang pendidikan menjelang tahun 2020. Menerusi PAK 21, elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sangat ditekankan bagi membolehkan pelajar mengakses sebarang maklumat secara menyeluruh dan menjadikan pembelajaran lebih bersifat interaktif serta menarik. Keadaan ini bertepatan dengan anjakan ke-7 dalam PPPM 2013-2025 iaitu untuk memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia dengan menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1 Bestari Net bagi kesemua 10,000 sekolah. Menurut Ainun Rahmah Iberahim et. al. (2017), kemahiran abad ke-21 dapat dikaitkan dengan pelbagai elemen yang diperlukan pada zaman teknologi ini, iaitu meliputi kemahiran berkomunikasi, kemahiran sains dan teknologi, kemahiran berfikir dan sebagainya. Pelaksanaan PAK-21 dalam PdP dilihat amat signifikan untuk membolehkan pelajar bersaing dan menguasai pelbagai kemahiran. Pedagogi pembelajaran abad ke-21 dilihat mampu untuk meningkatkan keputusan PISA dan TIMSS kerana elemen yang diterapkan semasa proses PdP lebih berfokuskan kemahiran berfikir yang memerlukan pelajar berfikir secara praktikal dan kritis dalam menyelesaikan masalah.
Impak pelaksanaan PAK 21 dalam proses PdP dilihat mampu meningkatkan lagi minat murid dalam pembelajaran. Transformasi yang dilakukan dalam aspek pedagogi telah mempengaruhi perkembangan pencapaian pelajar. PAK-21 lebih menekankan peranan pelajar sebagai penggerak dalam proses PdP dan guru hanyalah bertindak sebagai fasilitator yang memberi bimbingan. Corak pembelajaran PAK-21 juga lebih bersifat interaktif dengan melibatkan pelbagai aktiviti semasa PdP untuk menarik minat pelajar dan membuka minda pelajar untuk berkembang. Dalam konteks ini, dapat dilihat bahawa pendidikan bercorakkan tradisional yang hanya menekankan hubungan murid dan buku semata-mata, mula ditinggalkan dan digantikan dengan pembelajaran yang lebih menarik dengan penggunaan TMK. Proses PdP abad ke-21 yang dijalankan bukan semata-mata untuk menanam kefahaman terhadap kandungan matapelajaran yang dipelajari, tetapi turut bertujuan untuk memupuk keupayaan pelajar dalam proses menaakul, membuat unjuran, serta mengaplikasikan pengetahuan secara kreatif mengikut suasana persekitaran mereka. Konsep 4Cs yang ditekankan dalam PAK-21 iaitu Creativity, Collaboration, Communication dan Critical Thinking dapat membentuk pelajar yang seimbang dari segala segi dan menguasai pelbagai kemahiran penting. Keadaan ini menunjukkan bahawa perubahan pendekatan pedagogi tersebut mampu meningkatkan kualiti keberhasilan murid sekaligus meningkatkan kualiti pendidikan negara. Pendidikan bercorakkan abad-21 telah lama digunapakai oleh negara-negara yang menduduki tempat teratas dalam PISA dan TIMSS seperti Finland, Singapura dan negara Eropah banyak menekankan pendidikan secara interaktif disamping memanfaatkan sepenuhnya penggunaan TMK dalam pendidikan. Pelaksanaan PAK-21 dalam pendidikan dapat menjamin keberhasilan pelajar dalam usaha untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Menurut Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015), pendidikan yang berkualiti mampu menghasilkan modal insan yang mampu berfikir kritis, kreatif, inovasi dan bersedia menjadi k-workers kepada negara untuk menempuh cabaran global. Berdasarkan pernyataan tersebut, jelas menunjukkan bahawa kualiti pendidikan amat penting dalam membina kredibiliti negara dengan melahirkan pelajar yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan berkemampuan dalam pelbagai aspek.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, penilaian PISA dan TIMSS merupakan komponen utama yang menggerakkan pihak KPM untuk memastikan sistem pendidikan negara mencapai standard yang tinggi setaraf dengan pendidikan di negara-negara maju yang lain. Pelbagai pendekatan dan transformasi yang telah dilakukan dalam pendidikan bukan semata-mata ingin mencapai hasrat untuk menduduki tempat sepertiga dalam Penilaian Antarabangsa tersebut, namun objektif yang paling penting adalah untuk menghasilkan pelajar yang mampu untuk bersaing secara global dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai aspek. Keadaan ini seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan perkembangan potensi murid secara menyeluruh dan melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Dalam mencapai status pendidikan yang maju, peranan bukan hanya dimainkan oleh pihak KPM sahaja, namun perlu dibantu secara aktif oleh pihak sekeliling terutama pihak guru. Guru-guru perlu bersedia untuk menghadapi sebarang perubahan dari segi aspek reka bentuk kurikulum, dokumen kurikulum, penekanan pedagogi, pentaksiran dan sebagainya. Menurut Norain Mohd Nor et. al (2017), perubahan pesat dalam dunia pendidikan memerlukan guru mereformasi diri dan memiliki ilmu yang lengkap dalam usaha sebagai pendidik. Kesediaan para guru dalam menurut dan menjalankan pelan yang telah dirangka oleh pihak KPM, dapat membantu dalam usaha membentuk kemenjadian pelajar kerana peranan penting guru sebagai badan pelaksana. Kerjasama dan kebergantungan antara pihak Kementerian dan guru amat penting dalam memastikan pendidikan negara supaya mampu mencapai tahap yang maju serta merealisasikan matlamat negara agar tergolong dalam kelompok negara yang menduduki tangga teratas dalam penilaian PISA dan TIMSS.