1.0 PENGENALAN
IPG Kampus Perempuan Melayu dikenali sebagai Malay Women’s Training College (MWTC) pada tahun 1935 dan seterusnya Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) pada tahun 1956. Ia ditubuhkan bertujuan melatih guru-guru wanita Melayu khususnya untuk mengajar di sekolah-sekolah rendah aliran Melayu.[1] Mulai 25 Ogos 2008, IPPM dikenali sebagai IPG Kampus Perempuan Melayu setelah menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. [2] Maktab perguruan ini juga dianggap unik kerana merupakan satu-satunya institusi yang melatih guru perempuan, berketurunan Melayu dan beragama Islam.[3] Dalam aspek pembangunan sahsiah[4] siswi guru, badan kepimpinan atau Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dilihat memainkan peranan yang penting apabila menjadi peneraju kepada pergerakan aktiviti siswi guru. Justeru itu, kajian ini meneliti peranan JPP dalam membangunkan sahsiah siswi guru menerusi temu bual bersama mantan Yang Dipertua JPP sesi 2004/2005, Puan Ahdarina binti Mohamad dan mantan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Omar bin Abdul.
2.0 SEJARAH BADAN KEPIMPINAN MPPM, 1961-2009
Badan kepimpinan siswi MPPM pertama telah dibentuk pada tahun 1961 setelah pembaharuan dilakukan oleh pengetua baharu ketika itu, Miss Constance White.[5] Badan Wakil Penuntut-penuntut (BWP) ditubuhkan bagi menggantikan Persatuan Pelajar-pelajar dan sistem undian mula digunakan bagi memilih badan kepimpinan pelajar. Sebelum sistem undian diperkenalkan, badan kepimpinan hanya diwakili oleh wakil-wakil dari persatuan dan darjah.[6] Pada tahun 1980, persatuan pelajar di MPPM diwakili oleh Guru-guru Pelatih (GGP) dan Majlis Guru-guru Pelatih (MGGP) sebagai badan tertinggi persatuan tersebut.[7] Tahun 1984 hingga 2001, GGP mula dikenali sebagai Persatuan Guru Pelatih (PGP)[8] dan majlis tertingginya adalah Ahli Majlis Guru Pelatih (AMGP) turut dipilih melalui sistem undian.[9]. Pada tahun 2002, seiring dengan pengenalan program Sarjana Muda di IPG, AMGP telah berubah kepada JPP dan jawatankuasa mula dikenali sebagai Biro. Pemilihan JPP tidak lagi menggunakan sistem undian tetapi berdasarkan pemilihan daripada pensyarah.[10] Biarpun banyak perubahan telah berlaku dalam badan kepimpinan dan persatuan pelajar MPPM, fungsi dan tugas badan kepimpinan masih kekal sama dan tidak mempunyai banyak perubahan iaitu sebagai penghubung antara pelajar dengan pihak pentadbir Maktab.[11]
Struktur organisasi badan kepimpinan
JPP diterajui oleh Pengarah, Timbalan Pengarah sebagai Penasihat dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) sebagai Penolong Penasihat organisasi tersebut. Organisasi JPP terbahagi kepada dua bahagian iaitu jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa-jawatankuasa kecil. Jawatankuasa tertinggi terdiri daripada Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha Agung, Naib Setiausaha Agung, Bendahari Kehormat dan Naib Bendahari Kehormat. Manakala jawatan kuasa kecil terdiri daripada jawatankuasa asrama, agama, sukan, pendidikan, Bahagian Penerangan dan Penerbitan (BPP), sosial dan kebajikan (SOKEBA), hubungan luar serta makanan.[12] Jawatankuasa kecil ini seterusnya akan membentuk organisasi kecil[13] bagi memudahkan setiap jawatankuasa menjalankan tugas yang berkaitan dengan guru pelatih. Selain itu, setiap jawatankuasa mempunyai tugas tersendiri dan hal ini akan menentukan jenis aktiviti yang bakal diuruskan oleh jawatankuasa tersebut.
3.0 MATLAMAT DAN BIDANG TUGAS
Matlamat JPP adalah bertujuan untuk membentuk sahsiah. JPP tidak mempunyai matlamat khusus yang bertulis secara jelas, namun secara umumnya JPP bermatlamat untuk membina insan guru.[14] Bina insan guru berkait dengan personaliti[15] yang dimiliki oleh seorang pendidik dan hal ini merujuk kepada sahsiah guru. Matlamat AMGP dan JPP juga dilihat selari dengan tujuan dan objektif PGP ditubuhkan iaitu untuk menyemai semangat dedikasi terhadap ikthisas kecemerlangan dalam profesyen perguruan [16] Matlamat ini sebenarnya jelas menunjukkan peranan AMGP dan JPP dalam membentuk sahsiah dan hal ini telah membawa kepada pelaksanaan aktiviti yang selaras dengan tujuan tersebut.
Seterusnya, peranan dan fungsi badan kepimpinan di Institut Pendidikan Guru (IPG) tertakluk pada Akta 174[17] dan berbeza dengan majlis perwakilan pelajar di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang tertakluk pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.[18] Hal ini menyebabkan perbezaan ketara dari segi peranan badan kepimpinan itu sendiri apabila JPP hanya membantu dan menggalakkan aktiviti yang telah dirancang oleh pihak pentadbir. Namun, di IPT, MPP berperanan untuk menyelia dan menyusun aktiviti yang dirancang menjadikan peranan mereka lebih luas dan produktif. Keadaan ini membataskan pelaksanaan aktiviti yang dirancang oleh siswi sendiri dan perlu melaksanakan aktiviti yang telah dirancang pihak pentadbir.
Hubungan dengan pihak pentadbir
JPP memainkan peranan sebagai penghubung antara siswi dengan pihak pentadbir. JPP bertanggungjawab untuk membawa suara dan pendapat siswi berkaitan hal ehwal kebajikan mereka kepada pihak pentadbir. Bagi mengenalpasti masalah dan isu yang dihadapi siswi, mesyuarat agung yang melibatkan semua ahli PGP diadakan. Antara isu yang dibahaskan adalah disiplin guru pelatih, aliran kewangan, pengumuman siaraya dan prasarana asrama.[19] Pelbagai isu dibahaskan dan mendapat perhatian AMGP untuk dibawa kepada pihak pentadbir. Malah, setiap minggu, YDP atau wakil JPP perlu melaporkan sebarang isu atau masalah yang dihadapi oleh siswi kepada JHEP.[20] Hubungan dengan pihak pentadbir juga penting dalam pengawalan masalah disiplin siswi. JPP berperanan untuk membawa masalah disiplin yang melibatkan siswi ke JHEP untuk tindakan selanjutnya sama ada tindakan daripada pihak pentadbir atau dikenakan akta 174 sekiranya tindakan pihak pentadbir tidak dapat mengatasi masalah tersebut.[21] Hal ini selari dengan objektif PGP untuk bekerjasama dengan pihak pentadbiran maktab dan membaiki serta meninggikan disiplin serta kebajikan am setiap ahli PGP.[22] Selain itu, JPP juga lebih banyak membantu pihak pentadbiran dan JHEP melaksanakan aktiviti-aktiviti institusi dan aktiviti yang dirancang khusus untuk siswi.
4.0 AKTIVITI BADAN PERWAKILAN
Aktiviti JPP dapat dibahagikan kepada dua iaitu aktiviti untuk ahli JPP dan aktiviti untuk siswi guru yang lain. Aktiviti yang dikhususkan untuk JPP adalah bertujuan untuk membentuk kepimpinan dalam diri ahli jawatankuasa. Menurut Puan Ahdarina, mantan YDP 2004-2005, kursus kepimpinan yang dihadiri oleh semua perwakilan pelajar dari semua kampus IPG lain memberi peluang kepada ahli JPP untuk berkongsi idea tentang pelbagai aspek kebajikan guru pelatih di maktab.[23] Kursus kepimpinan bukan sahaja dijadikan platform perkongsian idea, malah menjadi satu medium meningkatkan kemahiran komunikasi dengan kelompok pelajar dari maktab lain.
Aktiviti yang dikhususkan untuk siswi kebanyakannya dirancang oleh pihak pentadbir dan dikendalikan oleh JPP seperti perhimpunan, program kerohanian, roll call[24] dan fire drill.[25] Menurut Encik Omar, pengendalian perhimpunan mingguan dan bulanan bertujuan untuk melatih siswi guru untuk mengendalikan majlis protokol dan membina keyakinan diri untuk menjadi pengacara.[26] Namun begitu, latihan pengacaraan ini lebih banyak ditimba oleh ahli JPP sendiri kerana pengendalian perhimpunan dan majlis rasmi dilakukan oleh ahli JPP. Hal ini menyebabkan siswi guru lain tidak dapat merasai pengalaman menguruskan sesuatu majlis penting.
Seterusnya, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di MPPM diuruskan oleh jawatankuasa atau biro tertentu mengikut bidang tugas masing-masing. Misalnya, aktiviti kerohanian dikendalikan oleh jawatankuasa agama, manakala aktiviti sukan dan rekreasi akan dikendalikan oleh ahli jawatankuasa sukan.[27] Menurut Puan Ahdarina dan Encik Omar, jawatankuasa yang memainkan peranan penting adalah biro agama dan dakwah.[28] Antara aktiviti-aktiviti yang dianjur dan dikendalikan oleh biro agama adalah usrah, tazkirah dan bimbingan kaunseling oleh biro agama. Buktinya, kebanyakan aktiviti di MPPM adalah berteraskan nilai spiritual dan kerohanian. Usrah dilaksanakan sekali setiap minggu mengikut modul usrah yang telah ditetapkan mengikut kumpulan pelajar.[29] Tazkirah juga diadakan setiap hari di Balai Islam Saidatina Aisyah (BISA) pada waktu tengah hari dan wajib dihadiri oleh semua siswi guru.[30] Aktiviti kerohanian yang dijalankan secara berterusan membuktikan unsur spiritual menjadi asas kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti di MPPM. Hal ini dilihat sebagai satu usaha memantapkan rohani siswi guru yang terdiri daripada pelajar perempuan Melayu beragama Islam. Malah pelaksanaan aktiviti kerohanian ini selari dengan objektif PGP untuk menerapkan nilai-nilai murni dan Islam dalam kalangan ahli PGP.
Kekangan aktiviti
Kekangan yang perlu dihadapi oleh JPP adalah dari segi masa dan komitmen pelajar juga menjejaskan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Kuliah yang padat menyebabkan kebanyakan aktiviti perlu dilakukan pada waktu hujung minggu. Hal ini menyebabkan siswi sukar untuk memberi kerjasama terhadap aktiviti yang dilaksanakan terutamanya pada hujung minggu.[31] Biarpun terdapat kekangan dalam menjalankan aktiviti, namun ia tidak menjadi halangan utama kerana kebanyakan aktiviti adalah yang dirancang oleh pihak pentadbir dan mesti dijalankan sepertimana yang dirancang. Hal ini berbeza dengan aktiviti yang dirancang oleh PGP yang sukar untuk dijalankan kerana memerlukan kelulusan kelulusan daripada JHEP dan akhir sekali mendapat kelulusan daripada Pengarah.[32] Malah, terdapat panduan pelaksanaan aktiviti pelajar yang menggariskan jenis aktiviti yang dibenarkan, format kertas kerja dan format anggaran belanjawan.[33] Prosedur-prosedur ini adalah bagi memastikan aktiviti yang bakal dilaksanakan adalah selari dengan kebudayaan maktab dan tidak melanggar mana-mana peraturan MPPM.
5.0 PEMBANGUNAN SAHSIAH SISWI GURU
Menurut Puan Ahdarina, budaya MPPM yang dilihat rigid dan tertutup dari aspek pemakaian dan peraturan-peraturan yang dijalankan sebenarnya membentuk keperibadian guru dalam kalangan siswi guru.[34] Misalnya dari aspek pemakaian, pakaian yang kurang sopan dan tidak sesuai dengan imej guru adalah tidak digalakkan. Malah, MPPM tidak berdepan dengan masalah disiplin guru pelatih yang besar kerana dasar yang tertutup ini dapat mengawal tingkah laku siswi guru. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan peranan badan kepimpinan seperti AMGP dan JPP dalam membangunkan sahsiah siswi guru apabila bertanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak maktab. Melalui aktiviti dan peranan yang dimainkan oleh JPP, pembangunan sahsiah tidak hanya tertumpu kepada sahsiah siswi guru sahaja, namun memberi kesan signifikan terhadap sahsiah JPP itu sendiri. Puan Ahdarina juga mengakui, memegang jawatan dalam JPP telah membentuk sahsiah dan membina kepimpinan dalam dirinya.[35]
6.0 PENUTUP
Kesimpulannya, JPP sememangnya berperanan dalam membentuk sahsiah siswi guru melalui aktiviti yang telah dijalankan. Usaha AMGP dan JPP ini adalah berterusan untuk melahirkan guru pelatih yang cemerlang khususnya dari segi sahsiah. Pembentukan sahsiah ini penting untuk membina keperibadian guru disamping memenuhi matlamat dan objektif penubuhan persatuan pelajar di MPPM untuk menyemai semangat dedikasi terhadap ikhtisas kecemerlangan dalam profesyen perguruan. Pengisian kerohanian yang diterapkan dalam aktiviti harian siswi juga mampu membina sahsiah guru yang terpuji. Usaha-usaha badan kepimpinan seharusnya dicontohi untuk pembangunan sahsiah guru di masa hadapan.
BIBILIOGRAFI
SUMBER PERTAMA
Laporan Kehadiran Perhimpunan Pagi/Roll-Call, Jabatan Hal Ehwal Pelajar MPPM, dari bilik dokumentasi Muzium IPGKPM pada 9 Mac 2019.
AKTA
Akta 30, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, hlm. 55 – 56, Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia, 2006.
Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, hlm. 60 – 61, Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia, 2012.
LAPORAN/DOKUMEN
Buku Panduan, “Persatuan Guru Pelatih”, MPPM.
Hamidah Baba, “Wawasan Tiada Kecacatan”, MPPM, 1994 dalam Perancangan Perkembangan Lima Tahun 1993-1997, MPPM, 1994.
Laporan Tahunan 2000, MPPM, 2002.
Laporan Tahunan 1992, MPPM, 1992.
Laporan Mesyuarat Agung Tahunan 1993, MPPM, 1993.
MAJALAH
Bingkisan, MPPM, 1962, 1980, 1981, 1984, 1985, 1986, 1987, 1988, 1989, 1991, 1993, 1994, 1995, 1996, 1995/1997.
Srikandi, MPPM, 2005.
INTERNET
Arkib Negara. “Penubuhan Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka.” Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia. Diakses pada 20 Mac 2019. http://www.arkib.gov.my/web/guest/penubuhan-institut-pendidikan-guru-kampus-perempuan-melayu melaka?p_p_id=56_INSTANCE_R9Nv&p_p_lifecycle=0&p_p_state=normal&p_p_mode=view &p_p_col_id=column-inner-3&p_p_col_count=1&page=1
TESIS/DISERTASI/LATIHAN ILMIAH
Aida Yusop. “Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka 1935 – 1993.” Sarjana Muda diss., Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992-1993.
Mohd Hafiz, “Pembangunan Sahsiah Pelajar dan Peranannya dalam Pencegahan Masalah Gejala Sosial: Satu Kajian di Kolej 10 UTM.” Latihan ilmiah, Universiti Teknologi Malaysia, 2016.
SUMBER LISAN
Wawancara dengan Encik Omar bin Abdul pada 11 Mac 2019 di rumah beliau di Batu Berendam, Melaka. Beliau adalah mantan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dari tahun 2003 hingga 2009. Beliau banyak berhubung dengan JPP dalam urusan hal ehwal pelajar MPPM.
Wawancara dengan Puan
Ahdarina binti Mohamad pada 2 Mac 2019 di Pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Beliau pernah memegang jawatan dalam JPP sebagai Naib Yang Dipertua sesi
2003/2004 dan Yang Dipertua sesi 2004/2005. Beliau terlibat secara lansung
dalam pelaksanaan aktiviti oleh JPP dari tahun 2003 hingga 2005.
[1] Portal Rasmi Arkib Negara, diakses di http://www.arkib.gov.my/web/guest/penubuhan-institut-pendidikan-guru-kampus-perempuan-melayu melaka?p_p_id=56_INSTANCE_R9Nv&p_p_lifecycle=0&p_p_state=normal&p_p_mode=view &p_p_col_id=column-inner-3&p_p_col_count=1&page=1 pada 20 Mac 2019.
[2] Ibid.
[3] Aida Yusop. Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka, 1935-1993. Degree diss., Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992-1993.
[4] Menurut Hamidah Baba, pengetua MPPM, dalam Wawasan Tiada Kecacatan menyatakan sahsiah guru pelatih merangkumi sikap bertanggungjawab, memberi komitmen, pro-aktif, reflektif, mempunyai hala tuju, melaksanakan budaya Maktab dan kecemerlangan hasil kerja. Disiplin juga penting bagi melengkapkan pembangunan sahsiah siswi guru. Malah, konsep pembangunan sahsiah pelajar berkait rapat dengan konsep pembangunan manusia dan dilihat penting dalam membina satu generasi pelapis yang bakal memimpin negara di masa akan datang. Bacaan lanjut, Hamidah Baba, “Wawasan Tiada Kecacatan”, MPPM, 1994, hlm. 10 dalam Perancangan Perkembangan Lima Tahun 1993-1997, MPPM, 1994 dan Mohd Hafiz, “Pembangunan Sahsiah Pelajar dan Peranannya dalam Pencegahan Masalah Gejala Sosial: Satu Kajian di Kolej 10 UTM.” Universiti Teknologi Malaysia, 2016, hlm. 5.
[5] Miss Constance White juga telah mewujudkan Pejabat Penuntut-penuntut supaya ahli jawatankuasa dan penuntut yang lain dapat menjalankan urusan berkaitan Maktab. Pada tahun 1962, seramai 298 pelajar telah menjadi badan wakil penuntut-penuntut, terdiri daripada 148 pelajar tahun dua dan 150 pelajar tahun satu. Bingkisan 1962, hlm. 23 dan Aida Yusop, 1992-1993.
[6] Bingkisan 1962, hlm. 23.
[7]Rekod GGP dan MGGP hanya ditemui dalam Bingkisan 1980 dan 1981.
[8] Terdapat tiga buah persatuan pelajar iaitu PGP, Persatuan Guru Pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (PGP KPLI) dan Persatuan Guru-guru Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP). PGP merupakan persatuan pelajar yang utama berdasarkan jumlah ahlinya yang ramai dan tempoh keahlian yang lebih lama. Buku Panduan MPPM, Persatuan Guru Pelatih di bilik dokumentasi Muzium IPG KPM pada 1 April 2019, hlm. 35.
[9] AMGP dan PGP direkodkan dalam majalah Bingkisan 1984, 1985, 1986, 1987, 1988, 1989, 1991, 1993, 1994, 1996, 1995, 1995/1997, Buku Panduan MPPM, hlm. 35-39 , Laporan Tahunan 1992 MPPM, hlm. 67-77. Tarikh perubahan Badan Wakil Penuntut kepada AMGP tidak dijumpai kerana kekurangan sumber pada tahun 1970-an. Pilihanraya telah diadakan untuk memilih BWP, MGGP dan AMGP. Pilihanraya diadakan pada penggal kedua setiap tahun pada bulan September. Majalah Bingkisan dan Laporan Mesyuarat Agung 1993, hlm. 3.
[10] Temu bual bersama Puan Ahdarina.
[11] Temu bual bersama Encik Omar Abdul.
[12] Jawatankuasa bertambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan kampus dan pentadbiran. Misalnya, jawatankuasa Perhubungan Luar telah diwujudkan pada 1994 bagi menjaga kebajikan kebajikan pelajar-pelajar yang tinggal di luar asrama dengan menubuhkan Tabung Kebajikan Biro Perhubungan Luar. Bingkisan 1994.
[13] Organisasi kecil terdiri daripada pensyarah atau guru penasihat jawatankuasa, pengerusi, naib pengerusi, setiausaha, naib setiausaha, bendahari, naib bendahari dan ahli jawatankuasa. Misalnya, ahli jawatankuasa pendidikan sesi 1992/1993 dalam Bingkisan 1994, hlm. 14.
[14] Temubual bersama Puan Ahdarina Mohamad.
[15] Dimensi personaliti termasuklah kualiti peribadi yang dapat dibahagikan kepada dua iaitu interaksi manusia dan kepimpinan. Selain itu, kualiti yang diperlukan oleh seorang guru adalah bertenaga, keyakinan diri, kebolehan kerja dengan orang ramai dan kebolehan mencipta humor. Khairul Anuar, “Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi.” Akademika 82(2) 2012, hlm. 37-44
[16] Buku Panduan MPPM, hlm. 35.
[17] Akta 174 dalam jadual ketiga, perkara 7(a) memperuntukkan tujuan dan tugas JPP ialah membantu dan menggalakkan, tertakluk kepada arahan Ketua Eksekutif, kemajuan kemudahan bagi pelajar seperti kemudahan rekreasi dan pembekalan makanan dan minuman. Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia, 2012, hlm. 60 – 61.
[18]AUKU 1971 dalam perkara 48 (10)(b) memperuntukkan tujuan dan fungsi MPP ialah tertakluk kepada Naib Canselor, me nyusun dan menyelia kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan rekreasi, aktiviti kerohanian dan keagamaan dan pembekalan makanan dan minuman. Akta 30, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia, 2006, hlm. 55 – 56.
[19] Mesyuarat tersebut dihadiri oleh ahli PGP iaitu dengan melibatkan semua penuntut MPPM. Bacaan lanjut, Mesyuarat Agung Tahunan 1993, laporan, Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka, hlm. 2-12.
[20] Temu bual bersama Encik Omar.
[21] Ibid.
[22] Buku Panduan MPPM, hlm. 35.
[23] Antara kursus kepimpinan yang pernah diadakan adalah Kursus Kepimpinan dan Berpasuan di Lanchang, Pahang, Bingkisan 1995/1997, hlm. 28 dan Kursus Pembinaan Pasukan dan Pengurusan Persatuan di Sukabumi Village Resort, Bingkisan 1996, hlm. 17. Temu bual bersama Puan Ahdarina Mohamad.
[24] Laporan kehadiran perhimpunan/roll call, bilik dokumentasi Muzium IPG KPM, pada 9 Mac 2019
[25] Temu bual bersama Puan Ahdarina Mohamad, temu bual bersama Encik Omar bin Abdul.
[26] Temu bual bersama Encik Omar.
[27] Laporan aktiviti jawatankuasa-jawatankuasa AMGP kebanyakannya dimuatkan dalam majalah Bingkisan dan laporan Mesyuarat Agung 1993, hlm. 5-20.
[28] Temu bual bersama Puan Ahdarina dan temu bual bersama Encik Omar.
[29] Usrah bererti keluarga merupakan satu kumpulan kecil yang terdiri daripada 10 hingga 12 orang ahli dan diketuai oleh seorang naqibah. Setiap usrah akan menjalankan aktiviti berdasarkan modul yang menerapkan unsur kerohanian. Perkongsian ilmu turut diadakan dalam setiap perjumpaan. Temu bual bersama Encik Omar.
[30] Temubual bersama Puan Ahdarina.
[31] Ibid.
[32] Temu bual bersama Encik Omar Abdul.
[33] Ibid.
[34] Temu bual bersama Puan Ahdarina.
[35] Ibid.