PENGENALAN

Bidang komunikasi dan profesion perguruan saling berkait rapat antara satu sama lain bagi mewujudkan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan. Menurut Mansor, Ramli dan Shawaluddin (1984), komunikasi merupakan satu proses sesuatu idea, nilai, sikap dan sebagainya disalur dan dipindahkan serta dikongsikan oleh seseorang individu dengan orang lain. Definisi komunikasi berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) pula merupakan perhubungan (secara langsung atau dengan perantaraan), mengadakan perhubungan (berbincang, bertukar-tukar fikiran) atau menyampaikan maklumat. Guru yang memiliki kemahiran berkomunikasi secara berkesan akan dipandang sebagai individu yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.

      Komunikasi boleh dikategorikan kepada dua, iaitu komunikasi lisan (verbal) dan komunikasi bukan lisan (non-verbal). Komunikasi lisan melibatkan proses pemindahan maklumat secara lisan daripada seorang individu kepada individu yang lain. Komunikasi bukan lisan pula merupakan bahasa tubuh yang merangkumi tiga aspek iaitu tingkah laku badan, ekspresi wajah dan kualiti suara. Hal ini dikukuhkan lagi dengan kajian oleh pakar-pakar komunikasi di dalam buku Psikologi Pendidikan oleh Jalaluddin Rakhmat (2013) yang mengatakan bahawa lebih kurang 10% kesan berlaku dalam proses komunikasi bersemuka melalui perkataan yang digunakan manakala 90% lagi ditentukan oleh bahasa tubuh iaitu bukan lisan. Justeru, kedua-dua elemen komunikasi ini memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelancaran proses PdP serta memastikan seluruh isi pembelajaran yang hendak di ajar dapat disampaikan dengan baik.

KESAN KEGAGALAN KOMUNIKASI SESEORANG GURU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) DI BILIK DARJAH DAN CARA MENGATASINYA.

Suatu persoalan pernah diutarakan oleh penulis yang tersohor di Indonesia tentang “Guru: Pintar Belajar atau Hebat Mengajar?”. Pada umumnya, ramai individu yang beranggapan bahawa guru-guru yang terdiri daripada golongan cerdik pandai mampu melahirkan anak muridnya yang juga pintar. Namun begitu, kebijaksanaan seseorang guru bukan hanya terletak pada kelulusan yang diperoleh oleh mereka sahaja tetapi kemahiran mengajar yang hebat dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar. Guru-guru yang hebat mengajar dalam PdP di bilik darjah rata-ratanya mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan serta teknik pengajaran yang mantap. Oleh itu, kelemahan guru berkomunikasi dengan berkesan akan memberi impak yang besar kepada pembelajaran serta sikap para pelajar.

 2.1 PENGAJARAN YANG DIAJAR OLEH GURU MENJADI SUKAR UNTUK DIFAHAMI

Antara kesan kegagalan komunikasi seseorang guru ketika sesi PdP berlangsung di dalam kelas ialah murid akan sukar memahami perkara yang disampaikan oleh guru. Kesan ini dipengaruhi oleh ketidaksediaan guru dalam menyediakan bahan pembelajaran, menggunakan bahasa dialek di dalam kelas atau mereka hanya bertindak sebagai guru ganti sesuatu subjek.   Murid juga akan berasa tertekan apabila mereka tidak dapat memahami sesuatu topik tersebut terutama menjelang hari peperiksaan. Tekanan yang dihadapi oleh para pelajar mendorong mereka menjadi semakin pasif di dalam kelas, malu hendak bertanya kepada guru serta menganggap subjek tersebut adalah subjek yang mencabar. Menurut Shahabuddin Hashim et.al (2008), ramai guru yang berasal dari negeri-negeri tertentu terbawa-bawa menggunakan loghat negeri asal masing-masing apabila mengajar di sekolah. Hal ini akan menimbulkan pelbagai masalah terutama masalah komunikasi dalam kalangan guru dan pelajar kerana ada istilah yang sama sekali berbeza di antara dua tempat. Justeru, aspek komunikasi amat ditekankan dalam bidang pendidikan kerana guru berhadapan dengan para pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang sosial.

Masalah kegagalan komunikasi ini dapat diatasi melalui persediaan seseorang guru yang rapi sebelum mengajar. Persediaan mengajar merupakan rancangan tindakan yang disediakan oleh guru yang akan digunakan semasa berhadapan dengan pelajar untuk memastikan objektif pelajaran dapat dicapai. Selain itu, intonasi suara yang digunakan juga adalah berbeza semasa subjek memberi penerangan dan bertanyakan soalan. Perbezaan nada suara ini bukan sahaja dapat membezakan maklumat pembelajaran tetapi memastikan idea dapat disampaikan dengan jelas. Guru juga perlu memastikan sebutan yang digunakan mengikut bahasa Melayu baku yang boleh diterima oleh semua pelajar tidak kira dari mana asalnya.

2.2 PELAJAR KURANG BERMINAT UNTUK BELAJAR DI DALAM KELAS

Lanjutan daripada kesan yang telah dinyatakan di atas, kelemahan guru menguasai kemahiran komunikasi akan mengakibatkan para pelajar mula hilang minat untuk belajar. Pelajar yang kurang berminat terhadap sesuatu subjek akan menyebabkan pelajar itu enggan mendengar pengajaran guru malah mereka mengehadkan aktiviti pembelajaran terhadap subjek tersebut. Menurut Robert F.Mager (2007), rasa bosan berlaku disebabkan oleh satu situasi apabila rangsangan yang digunakan kepada pelajar adalah lemah, diulang-ulang atau tidak kerap. Respons untuk menjauhkan diri yang biasa dilakukan ketika di dalam kelas adalah tidak memberikan perhatian kepada guru dan pelajar akan tidur. Malah, tindakan guru itu sendiri yang mewujudkan rasa bosan dalam kalangan pelajar antaranya adalah guru menyampaikan maklumat dalam nada yang sama serta menggunakan bahasa yang agak formal dan pasif. Bilangan pelajar yang terlalu ramai dan bilik darjah yang terlalu panas juga boleh mengganggu penumpuan proses pembelajaran. Keadaan menjadi lebih teruk apabila seseorang guru itu gagal mengawal bilik darjah dengan baik ekoran daripada kegagalan mereka menguasai kemahiran komunikasi yang efektif.

Masalah pelajar hilang minat serta tumpuan di dalam kelas kesan daripada kelemahan komunikasi seseorang guru dapat diselesaikan sekiranya guru tersebut melaksanakan pembelajaran abad ke-21. Hal ini disebabkan oleh kaedah konvensional chalk and talk sudah tidak sesuai dalam bidang pendidikan terutama era ledakan teknologi hari ini. Guru-guru hendaklah mempelbagaikan kaedah pembelajaran di dalam kelas bagi menarik minat pelajar untuk menumpukan perhatian terhadap subjek tersebut seperti penggunaan komputer dan ‘smart board’ dalam PdP di dalam sekolah. Pembangunan teknologi dan maklumat (ICT) dalam dunia pendidikan menyeru para guru untuk bersedia menerima perubahan dan mengurus perubahan tersebut dengan cekap agar proses PdP menjadi lebih segar dan memenuhi keperluan murid.     

2.3 FAKTOR PENYEBAB PENINGKATAN MASALAH DISIPLIN DALAM KALANGAN PELAJAR

Kajian juga mengatakan bahawa guru yang tidak pandai mengajar di dalam kelas adalah punca peningkatan gejala ponteng dalam kalangan pelajar. Segelintir guru yang tidak kreatif dalam pengajaran disebabkan oleh kurang kemahiran berkomunikasi sehingga menyebabkan sesi PdP membosankan akan mendorong pelajar ponteng kelas. Bermula daripada ponteng kelas, mereka akan mula bertindak berani untuk melanggar peraturan sekolah sekali gus melakukan kesalahan-kesalahan yang berat seperti merokok, vandalisme dan lain-lain. Impaknya, masalah disiplin di sekolah akan meningkat setiap tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2007 seramai 21,060 pelajar terlibat dalam masalah ponteng. Peningkatan masalah disiplin juga telah menyebabkan sikap para pelajar menjadi semakin biadap terhadap guru. Oleh hal yang demikian, komunikasi secara berkesan amat penting dalam membendung masalah disiplin pelajar malah para guru seharusnya memanfaatkan proses komunikasi yang baik untuk menasihati pelajar-pelajar yang bermasalah.

Langkah yang wajar diambil oleh guru dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar ialah semua guru berperanan untuk memberikan nasihat dan motivasi kepada para pelajar terutama bagi pelajar yang bermasalah. Tanggungjawab ini bukan sahaja dilaksanakan oleh pihak bimbingan dan kaunseling, tetapi guru-guru yang mengambil berat ke atas kebajikan anak-anak murid mereka. Seterusnya, pelajar hendaklah didedahkan dengan etika komunikasi antara guru dan pelajar agar mereka dapat memelihara adab bersama dengan guru. Sebagai contoh adab ketika berkomunikasi dengan guru adalah bercakap dengan menggunakan bahasa yang baik.

2.4 PRESTASI SEKOLAH DARI SEGI AKADEMIK DAN KOKURIKULUM AKAN MEROSOT

Di samping itu, kesan lain kegagalan komunikasi seseorang guru di dalam bilik darjah ialah prestasi sekolah akan merundum. Berlanjutan daripada peningkatan masalah disiplin para pelajar, imej sekolah secara tidak langsung akan tercemar. Pencapaian sekolah sama ada dari segi akademik mahupun kokurikulum juga akan semakin merosot. Setiap individu yang dilahirkan berbeza daripada individu yang lain. Di dalam sesebuah kelas, terdapat perbezaan individu antara setiap murid tersebut. Jika guru-guru mengamalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran yang sama bagi setiap pelajar, maka pelajar-pelajar yang sederhana serta lemah akan terus menjadi semakin lemah dalam pelajaran. Selain itu, pencapaian dalam bidang kokurikulum juga sukar untuk dicapai sekiranya kemahiran komunikasi dalam diri seseorang guru masih kurang. Hal ini boleh dikaitkan dengan timbulnya persoalan bagaimana seseorang guru ingin melatih para pelajar sekiranya mereka tidak mampu untuk menerangkan cara bermain sesuatu permainan dengan baik. Hasilnya, pasukan permainan tersebut hanya sekadar memenuhi syarat untuk memasuki pertandingan yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah atau pihak pelajaran daerah.

Bagi memperbaiki kelemahan ini, para guru yang tidak tahu memberikan penerangan kepada para pelajar tentang sesuatu aktiviti kokurikulum boleh memanggil jurulatih yang berpengalaman daripada luar untuk mengajar pelajar. Guru-guru juga tidak lupa untuk mempelajari cara penerangan yang baik daripada jurulatih tersebut. Tanpa kita sedar, sesebuah pasukan yang kuat serta mempunyai persiapan yang lengkap telah terbentuk. Imej sekolah juga dapat diharumkan sehingga ke arena global

2.5 MELAHIRKAN PELAJAR YANG TIDAK BERKUALITI

Akhir sekali, implikasi yang jelas dilihat sekiranya seseorang guru gagal berkomunikasi dengan baik di dalam bilik darjah adalah melahirkan pelajar yang tidak berkualiti. Hal ini selari dengan peningkatan masalah disiplin dalam kalangan pelajar serta kemerosotan pencapaian akademik dan kokurikulum para pelajar. Pelajar yang tidak berkualiti sukar untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baharu serta mengubah diri mereka ke arah yang lebih baik.

Dalam menangani isu ini, pihak kerajaan pula telah memberi keutamaan melalui usaha untuk memperkasakan peranan guru dalam melahirkan modal insan berkualiti. Lantaran itu, pendidikan hari ini berlaku di mana sahaja dan selama mana manusia bertindak balas terhadap kehidupan seharian. Di sinilah aspek komunikasi bukan lisan seperti mimik muka dan bahasa tubuh ditekankan untuk mendidik para pelajar. Misalnya, guru sentiasa memberikan senyuman kepada para pelajar di dalam kelas. Mereka akan mencontohi sikap guru tersebut dan mempraktikkan dalam kehidupan ketika berhadapan dengan pelbagai kaum. Guru-guru juga seharusnya memberi peluang kepada para pelajar untuk bergiat aktif dan memberi sokongan kepada mereka untuk berani bercakap di khalayak ramai. Oleh itu, kaedah pengajaran yang berkesan dalam konteks komunikasi secara efektif mampu melahirkan pelajar yang berkualiti.

KESIMPULAN

        Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas malah memainkan peranan amat penting iaitu mendidik dan membimbing murid menjadi insan yang berguna, cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa hadapan. Menurut Atan (1988), terdapat tiga aspek utama dalam pembentukan seorang guru yang berkualiti; iaitu sahsiah guru, pengetahuan guru dan juga kemahiran komunikasi yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain menggunakan komunikasi yang efekif supaya perancangan pembelajaran dicapai, guru harus menggunakan kecekapan berkomunikasi agar dapat mempengaruhi murid supaya bermotivasi dalam pelajaran harian. Pengajaran yang baik berlaku apabila terdapat komunikasi dua hala antara guru dan pelajar serta mesej yang hendak disampaikan kepada penerima itu berjaya disampaikan dan difahami seperti mana yang dikehendaki. Maka, jelaslah bahawa aspek komunikasi lisan dan bukan lisan yang berkesan perlu dikuasai oleh guru bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat mencapai matlamat yang disasarkan.

BIBLIOGRAFI

Buku

Atan Long. (1988). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamedah Wok Awang &  Norman The. (            2009). Sekolah sebagai Pembangunan Modal

Insan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Jalaluddin Rakhmat.  (2013). Psikologi Komunikasi. Jakarta : Rosda

Mager. R.F. (2007). Teknik Mendorong Pelajar Belajar. Tanpa Membunuh Semangat

Mereka. Penterjemah. Saat Md Yassin. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara

Malaysia Berhad.

Mansor Ahmad Saman, Ramli Mohamed & Shawaluddin Alias. (1984). Pengantar

Komunikasi. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Shahabuddin Hashim, Dr. Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad. (2008). Pedagogi:

Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional

Publishing Sdn. Bhd.

Kamus

Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka   

Majalah

Aminudin Mansor. (2017). Menuju Ke Arah Pendidikan Berkesan. Dewan Masyarakat,

Ogos. 57-60.

Jurnal

Nor Shafrin Ahmad, Fadzilah Amzah & Rahimi Che Aman. (2009). Kemahiran Komunikasi

Guru Pelatih Universiti Sains Malaysia. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 24, 125–142.

Akhbar Dalam Talian

Sadatul Mahiran Rosli. (2004, Okt 16). Guru Tidak Pandai Mengajar – Antara Punca 

Ponteng Sekolah Semakin Berleluasa Dalam Kalangan Pelajar. Utusan Online. Tarikh diakses pada 12 Februari 2018, daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1016&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

.