ULASAN KRITIS

Pengaruh British di Tanah Melayu telah bermula sebelum tahun 1874. Buktinya, Pulau Pinang diberikan kepada pihak Inggeris oleh Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan dikenakan beberapa syarat sebelum tahun 1874[1]. Pada awalnya, kompeni Inggeris yang datang ke Kedah untuk memajak kawasan bagi membina sebuah gudang perniagaan namun, ditolak oleh Sultan kerana akan menjejaskan perniagaan dan hasil di Kuala Kedah[2]. Kedatangan Francis Light ke Kedah pada tahun 1785, adalah untuk meminta persetujuan Sultan Kedah memberikan Pulau Pinang kepadanya sehingga termeterainya Perjanjian Inggeris-Kedah 1786. Persetujuan yang diberikan menunjukkan baginda terdesak untuk mendapatkan perlindungan daripada pihak Inggeris sekiranya diserang oleh musuh. Hal ini dapat dibuktikan dengan beberapa syarat yang dikemukan oleh Sultan Kedah kepada pihak Inggeris sekiranya, pihak Inggeris ingin menduduki Pulau Pinang. Namun, apabila Kerajaan Siam mengancam kerajaan Kedah, bantuan yang diharapkan oleh pihak Inggeris tidak diberikan malah tidak dihiraukan. Buktinya, pada tahun 1787, Francis Light menolak untuk memberikan bantuan ketenteraan kerana khuatir menjejaskan hubungan dengan Siam. Keengganan Inggeris menyebabkan Sultan Kedah cuba untuk menghalau pihak Inggeris dari Pulau Pinang. Antaranya adalah dengan meminta bantuan daripada kapal-kapal lanun yang berada perairan Kedah untuk menyerang Inggeris dan menyekat bekalan makanan ke Pulau Pinang[3]. Namun, segala usaha Sultan gagal untuk menuntut semula Pulau Pinang.

Pengaruh Inggeris di Singapura muncul sebelum tahun 1874, disebabkan oleh masalah pewarisan takhta dan masalah dalaman yang berlaku dalam Kesultanan Johor setelah kemangkatan Sultan Mahmud Shah III. Masalah berlaku apabila, Tengku Abdul Rahman yang dilantik menjadi Sultan, bukannya Long Hussin dengan mengenepikan sistem aturan adat istiadat kerajaan Johor. Long Husin tidak dilantik menjadi Sultan disebabkan oleh ketidakhadiran beliau semasa proses pengkebumian ayahandanya di Lingga kerana menghadiri perkahwinannya di Pahang[4]. Ketibaan Long Hussin di Lingga, disambut baik oleh Tengku Abdul Rahman dan bercadang ingin turun takhta serta memberikan hak yang sepatutnya kepada Long Hussin sebagai putera sulung, namun dihalang oleh Yamtuan Muda Raja Jaafar[5]. Masalah perebutan takhta yang berlaku menyebabkan orang Inggeris dan Belanda cuba mencampuri urusan pemerintahan kerajaan Johor bagi merealisasikan dasar penjajahan mereka sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kerajaan Johor. Kedatangan Inggeris yang diwakili oleh Farquha, menunjukkan bahawa waktu tersebut sudah wujud pengaruh Inggeris dalam kerajaan Johor sehingga terbentuknya satu perjanjian antara Inggeris dan Johor oleh Yamtuan Muda Raja Jaafar[6]. Namun, perjanjian tersebut ditolak oleh Belanda dan ia menegaskan bahawa Johor, Riau dan Lingga masih di bawah kawalannya. Pada tahun 1819, Stamford Raffles berlabuh di Singapura dengan niat untuk memanfaatkan masalah politik tahkta yang berlaku di Johor kerana melihat Singapura sebagai kawasan untuk mengekalkan penjajahan Inggeris di kawasan Timur[7]. Tindakan Raffles yang melantik Long Hussin menjadi Sultan Johor menunjukkan bahawa betapa besarnya pengaruh Inggeris sehingga mampu untuk memecah belahkan kerajaan Johor di mana kepulauan Riau-Lingga berada di bawah pengaruh Belanda manakala Singapura di bawah pengaruh Inggeris. Keadaan ini dapat dilihat bahawa Raffles seorang yang bijak dalam memanfaatkan peluang yang ada untuk mengukuhkan pengaruh Inggeris di Singapura.

Melaka pada awalnya adalah di bawah penguasaan pihak Belanda dan kemudiannya apabila Peperangan Eropah meletus, Melaka diletakkan di bawah penguasaan Inggeris buat sementara sebelum diserahkan kepada Belanda setelah peperangan tamat. Dalam waktu tersebut, Inggeris cuba memusnahkan Kota Melaka supaya perdagangan di Melaka tidak dapat berkembang maju di bawah Belanda dan membangunkan Singapura dan Pulau Pinang. Kemusnahan yang dilakukan menyebabkan Melaka diserahkan sepenuhnya kepada pihak Inggeris melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824[8]. Perjanjian tersebut telah membentuk persempadanan baharu iaitu Melaka diletakkan dibawah Inggeris dan Bangkahulu diberikan kepada Belanda. Perjanjian tersebut juga telah menyebabkan kerajaan Johor terbahagi kepada dua pengaruh. Keadaan ini menjadikan Selat Melaka sebagai sempadan kawasan antara pengaruh kedua-dua belah pihak. Persempadanan baharu tersebut memberi keuntungan kepada mereka kerana dapat memajukan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot. Hal ini demikian kerana Selat Melaka merupakan kawasan strategik yang terlindung dari tiupan angin monsun dan menjadi kawasan tumpuan pedagang untuk singgah berdagang. Kebijaksanaan pihak Inggeris dalam menyetujui perjanjian tersebut menunjukkan bahawa, pihak Inggeris mempunyai pandangan yang jauh dan berwawasan kerana dapat melihat masa hadapan Kota Melaka yang mampu memberikan keuntungan yang besar melalui aktiviti perdagangan di pelabuhannya. Jelaslah bahawa, pengaruh British di Tanah Melayu telah bermula sebelum tahun 1874.


[1]Asmad, 1987. Siri Lambaian Nusa: Kedah. hlm, 20.

[2] Haji Buyong Adil, 1981. Sejarah Kedah. hlm, 39-40.

[3]Asmad, 1987. Siri Lambaian Nusa: Kedah. hlm, 21

[4] Haji Buyong Adil, 1972. Sejarah Singapura. hlm, 58.

[5] Haji Buyong Adil, 1980. Sejarah Johor. hlm, 179.

[6]Ibid, hlm, 183.

[7]Shamsul Baharin, 1962. Malaya dan Tawarikh Dunia. hlm, 155.

[8] Syed Ahmad Syed Kassim, Kmarolzaman Mohd Jidi, Suraya Hani Kmarolzaman, Muhammad Taufik Kamarolzaman & Muhammad Kahiri Aziz, 2012. Melaka: Di sinilah segalanya bermula. hlm, 107.