PENGENALAN

Pensejarahan atau historiografi membawa maksud karya atau penulisan berkaitan dengan sesuatu peristiwa bersejarah (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007). Menurut Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Yahaja (1988), pensejarahan dapat diktakrifkan sebagai hasil karya atau penulisan yang ditulis atau dihasilkan oleh ahli sejarah atau sejarawan. Sejarawan akan menghasilkan penulisannya selepas sejarawan tersebut mengkaji dan menyelidik tentang zaman, masyarakat dan peristiwa yang telah berlaku serta sejarawan juga mengkaji mengikut bidang kepakarannya seperti bidang politik, ekonomi dan sosial. Pensejarahan barat merujuk kepada penulisan sejarah negara yang dilakukan oleh penulis barat berdasarkan konteks pensejarahan Malaysia. Kemunculan kuasa kolonial British di Tanah Melayu juga menyumbang dalam penulisan pensejarahan Barat di Tanah Melayu. Antara beberapa pegawai kolonial British yang memainkan peranan penting dalam mengkaji dan melakukan penyelidikan mengenai masyarakat tempatan di Tanah Melayu, iaitu Stamford Raffles, R. O. Winstedt, R. J. Wilkinson dan J.M. Gullick. Terdapat perbezaan dari aspek sentrik, bias, anakronisme dan keobjektifan dalam penulisan kolonial  dan tempatan.

ASPEK BANDING BEZA

SENTRIK DAN BIAS

Sentrik bolehlah diistilahkan sebagai satu kecenderungan atau satu pandangan atau satu pendekatan yang tertumpu kepada sesuatu perkara. la merupakan satu unsur yang boleh muncul dalam bentuk pendekatan yang digunakan atau tema yang diutamakan di dalam penulisan sejarah (Muhammad Yusof, 1992). Persamaan bagi penulis kolonial  dan tempatan adalah kedua-duanya mempunyai sentrik atau tema yang difokuskan dalam penulisan mereka.

Yang membezakan sentrik tersebut adalah kecenderungan penulis tersebut. Karya-karya penulis tempatan dan kolonial  jelas menunjukkan perbezaan dalam aspek sentrik apabila kebanyakan penulis kolonial  cenderung untuk menulis dalam konteks perspektif golongan kolonial  atau Euro-sentrik manakala penulis tempatan lebih kepada Melayu sentrik. Salah seorang penulis sejarah yang menggunakan pendekatan Euro-sentrik ialah Sir Frank Swethenham melalui karyanya yang berjudul British Malaya (1906). Judul buku tersebut memberi gambaran tentang isi kandungan, idea utama atau tema menghuraikan peranan dan kejayaan pihak imperialis British di Tanah Melayu. Terdapat juga penulis tempatan yang menunjukkan sentrik setempat atau etnik seperti Raja Ali Haji yang jelas menunjukkan sentrik Bugis. Hal ini kerana Raja Ali sendiri berketurunan Bugis dan mempengaruhi penulisan beliau dalam Tuhfat al-Nafis (Raja Ali Haji, 1998). Hal ini membuktikan struktur pensejarahan tradisional Melayu adalah bersifat regioncentrisme atau ethnocentrisme yang memberi pengaruh besar terhadap pensejarahan Melayu itu sendiri (Raja, 1972/1973).

Keadaan sentrik ini membawa kepada sikap bias dalam penulisan dan dapat dilihat dalam karya-karya penulis kolonial  dan tempatan. Malah, sentrik ini juga dapat dilihat melalui pandangan negatif suatu kumpulan terhadap kumpulan lain. Misalnya, pandangan negatif penulis kolonial terhadap teks-teks hikayat Melayu adalah semata-mata akibat penekanan Euro-sentrik dan kekurangan peralatan serta kaedah pengkajian yang harus penulis-penulis ini lengkapkan (Muhammad, 1992). Sikap bias ini adalah disebabkan oleh motif pihak tertentu. Malah penulisan-penulisan penjajah dan orientalis Barat yang menulis kitab-kitab sejarah Melayu, di mana dalam penulisan-penulisan ini mereka sengaja menggambarkan kemalasan dan kemunduran orang-orang Melayu (Syed, 1989). Selain itu, antara sikap bias yang dipamerkan penulis kolonial , menurut Muhammad Salleh (Julai 1991) ialah penulisan Windstet dalam persuratan Melayu yang mempunyai dua unsur penjajahan yang amat jelas iaitu keunggulan bangsa penjajah dan kerendahan martabat bangsa yang dijajah. Malah Windstet juga dilihat telah “berani menulis sebuah sejarah sastera Melayu yang agak kacau dan kurang maklumatnya”. Namun begitu, sentrik dalam penulisan tempatan tidak membawa kepada bias yang berlebihan dan membawa kepada stigma negatif terhadap sesuatu peristiwa.

ANAKRONISME

Anakronisme adalah satu kesalahan dalam penggunaan sistem tertib tarikh atau dinyatakan peristiwa yang berlaku atau diwakilkan sebagai satu yang terkeluar dari masa yang betul dan sewajarnya (Funk-Wagnalls, 1933). Muhammad Yusof (1992) mengelaskan akronisme kepada tiga jenis iaitu anakronisme pada sebuah karya yang sama, anakronisme dengan membanding dua buah teks yang berlainan terhadap peristiwa yang sama dan anakronisme dengan membanding antara sebuah hasil sejarah dengan sumber atau fakta sejarah zaman yang lain. Anakronisme terdapat dalam karya penulis kolonial  dan tempatan. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya anakronisme dalam Sejarah Melayu edisi pertama R. O. Windstet dan Stamford Raffles dan edisi kedua oleh W. G. Shellabear. Satu peristiwa yang masyhur terdapat dalam kedua-dua edisi adalah tentang peminangan Puteri Gunung Ledang oleh sultan Melaka. Tetapi terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-dua edisi ini adalah tentang siapa memerintahkan peminangan ini. Dalam edisi Winstedt (1977 dalam Muhammad Yusof 1992), dikatakan yang berhasrat meminang ialah Sultan Mansur Syah. Petikannya berbunyi begini:

“Maka Sultan Mansur Syah memberi titah pada segala orang besar-besar … bahawa kita hendak beristeri terlebih dan segala raja-raja dalam dunia ini. Maka titah baginda, “Kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan ‘ Maka sembah Laksamana dan Sang Setia, Baiklah, tuanku.”

Edisi Shellabear (1978) pula menyatakan Sultan Mahmud yang memerintahkan peminangan ke atas Puteri Gunung Ledang. Teks ini berbunyi:

“Maka titah Sultan Mahmud, Jikalau beristeri sama anak raja-raja ini, adalah raja-raja lain pun demikian juga; yang kita kehendaki, barang yang siapa pada raja yang lain… Akan sekarang kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang; Laksamana dan Sang Setia kita titahkan Maka sembah Laksamana dan Sang Setia, Baiklah, tuanku.”

Hal ini membuktikan anakronisme berlaku dalam kedua-dua penulisan kolonial  dan tempatan namun berbeza dari segi jenis anakronisme itu sendiri. Penulisan kolonial  menunjukkan akronisme pada sebuah karya yang sama manakala penulisan tempatan mempunyai anakronisme dengan membanding dua buah teks yang berlainan terhadap peristiwa yang sama. Anakronisme dalam penulisan tempatan adalah disebabkan bentuk kesusasteraan sejarah pada masa itu. Seorang penulis mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan pemeritah menjadikan penulis tidak dapat lari dari cengkaman pemerintah (Muhammad Yusof, 1992). Penulisan ketika itu perlu selari dengan kehendak pemerintah dan secara tidak sedar, penulis sebenarnya terikat dengan kuasa sosiopolitik zaman tradisional Melayu.

KEOBJEKTIFAN

Penulis kolonial sememangnya menekankan keobjektifan dalam penulisan mereka. Hal ini kerana mereka telah dilatih dalam kaedah kajian yang mengutamakan sumber rasmi dan bertulis yang kebanyakannya adalah rekod-rekod kolonial (Muhammad Yusof, 1992). Oleh hal itu, penulis Barat berusaha menulis sesuatu sebagaimana ia sebenar-benarnya berlaku (Muhd, 2000). Misalnya Duarte Barbossa (1921 dalam Syed, 2016) dalam The Book of Duarte Barbossa, menyatakan masyarakat Melayu berdasarkan apa yang dilihat oleh beliau ketika tiba di Melaka:

“Mereka halus budi bahasa dan sopan, gemar muzik, dan cenderung saling menyayangi ”

Tentang orang Jawa Muslim di Melaka, Barbossa mempunyai pendapat seperti yang berikut,

Mereka sangat terampil dalam segala jenis pekerjaan, terlatih dalam setiap kadar kebencian; walaupun mereka kurang berdisiplin, namun mereka sangat gagah berani (dan siap untuk setiap jenis kejahatan).

Hal ini membuktikan Barbossa berusaha untuk bersifat objektif dengan mencatatkan sebagaimana keadaan masyarakat tempatan sebenarnya ketika itu walaupun ada sesetengah pernyataan tersebut adalah negatif.

Berbeza dengan penulis tempatan, unsur mitos dan dongeng banyak dimasukkan dalam penulisan mereka. Penggunaan mitos atau lagenda di dalam sesuatu karya dalam pensejarahan tradisional Melayu merupakan salah satu kaedah ataupun cara untuk mengagung-agungkan raja, sifat ketuhanan serta sifat yang luar biasa pada raja (Jelan Harun, 2003). Unsur mitos diperkukuhkan lagi dengan pengamalan konsep daulat dan tulah dalam persekitaran masyarakat Melayu menyebabkan penulisan yang dihasikan lebih mengagungkan raja sehingga memasukkan unsur mitos. Hal ini juga kerana bangsa Melayu pada ketika itu berpegang kuat pada konsep taat, setia dan patuh kepada segenap suruhan pemerintah (Hamid, 2015).  Oleh itu, corak penulisan penulis tempatan begitu mementingkan kesahihan dan keobjektifan dalam penulisan kerana dicampur aduk dengan pelbagai unsur seperti dongeng, mitos, lagenda dan berkisarkan kepada istana semata-mata. Keadaan ini, sepertimana yang diperkatakan oleh Collingwood, sejarah tradisional Melayu tidak mencukupi syarat sejarah sebagai satu sains kerana objektif yang berdasarkan kebenaran dan kenyataan perlu dipertahankan (Raja, 1972/1973). Namun terdapat juga penulis tempatan yang berusaha bersikap objektif seperti Raja Ali Haji dalam karyanya Tuhfat al-Nafis dengan meneliti sumber-sumber yang telah diperolehinya (Raja Ali Haji, 1998). Raja Ali Haji juga menolak unsur berunsur mitos dan menyatakan: “Entahlah sahkah kaul perkataan … itu entah tidak, Allah Ta’ala yang terlebih tahu” (Raja Ali Haji, 1998). Hal ini membuktikan Raja Ali Haji hanya memasukkan sumber-sumber yang dipercayai dalam penulisan beliau. Namun begitu, aliran objektif dan subjektif dilihat wujud bahu-membahu dalam karya tempoh 1800 sehingga 1950-an dan bukan sahaja wujud dalam karya tempatan malah karya sejarahwan dari kalangan pentadbir juga menunjukkan unsur subjektif walaupun mereka berusaha untuk bersifat objektif (Muhd, 2000).

PENUTUP

Kesimpulannya, penulis kolonial dan tempatan menunjukkan persamaan dan perbezaan dalam aspek sentrik, bias, anakronisme dan keobjektifan. Biarpun terdapat perbezaan, namun, kedua-dua penulis ini menyumbang banyak dalam perkembangan pensejarahan di Malaysia khususnya pensejarahan Melayu. Kekurangan penulisan tempatan dapat ditampung dengan penulisan kolonial biarpun terdapat unsur bias dan stigma penulisan tersebut. Kajian mendalam terhadap beberapa aspek penulisan perlulah diteruskan dengan sokongan sumber-sumber lain bagi mengukuhkan salasilah pensejarahan Malaysia. Hal ini juga dapat mengangkat pensejarahan Melayu dalam bidang sejarah khususnya dan menjadi isitimewa dalam bidang sastera.

RUJUKAN

Funk-Wagnalls. (1933). Standard Dictionary of the English Language. Oxford.

Jelani Harun. (2003). Adab ketatanegaraan kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan. (2007). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Yahaja. (1988). Sejarawan dan Pensejarahan:       Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhd Yusof Ibrahim. (2000). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Salleh. (Julai, 1991). “Richard Windstet: sarjana atau/dan penulis Kolonial”?. Akademika – Jurnal Sains dan Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Bil. 39, 17.

Muhammad Yusof Hashim. (1992). Pensejarahan Melayu: Kajian tentang tradisi sejarah Melayu Nusantara. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Raja Ali Haji. (1998). Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan & Dewan Bahasa dan Pustaka. Dikaji dan diperkenalkan oleh: Virginia Matheson Hooker.

Raja Hassan Raja Noor. (1972/1973). Pola-pola Historiografi Tradisional dalam Pensejarahan Melayu. Jebat. Bil 2, 16-24.

Shellabear, W. G. (1978). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Sdn. Bhd.

Swetthenham, F. A. (1960). British Malaya. New York: John Lane Company MDCCCCIIV.

Syed Hussain Alatas. (2016). Mitos Peribumi Malas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussein al-Attas (1989). Mitos Peribumi Malas: Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina dalam Kapitalisme Penjajah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.